Gaya Hidup

“Isteri Macam Kak Hasmah Susah Nak Cari,” Tan Sri Rafidah Aziz Dedah Peribadi Menyenangkan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah

Malaysia turut berduka atas pemergian tokoh wanita terbilang, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali. Tanggal 28 September 2026 pasti terpahat sebagaimomen duka apabila doktor wanita perintis negara ini menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.

 Pemergian mengejutkan pendamping setia bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ini menyentuh emosi seluruh rakyat kerana keperibadian Allahyarhamah yang disenangi ramai. Salah seorang individu terkenal negara yang cukup terkesan dengan pemergian Tun Dr Hasmah ialah bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz.  

Tan Sri Rafidah Kenang Peribadi Tun Dr Hasmah

Dalam temu bual bersama Astro Awani, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini berkata sepanjang berkhidmat bersama Tun Dr Mahathir, beliau bukan sekadar tersentuh dengan kelembutan Tun Dr Hasmah sebagai isteri bahkan turut mengagumi pesona wanita hebat tersebut yang sentiasa berada di sisi negarawan ulung berkenaan.  

“Kak Hasmah tu bukan di belakang Tun, di sisi Tun. Saya nak tukarkan pepatah tu, Di sisi seorang lelaki yang berjaya ialah seorang wanita iaitu isterinya. Bukan di belakang. Kak Hasmah di sisi kerana dia sendiri ada tempat dalam masyarakat.  

Di sisi maknanya dia menganggap Tun sebagai suami. Bukan Perdana Menteri. Kalau tengok mereka bercakap berdua sebab saya selalu ikut mereka pergi luar negara (atas urusan kerja). Bila Tun pergi luar negara, saya pun ada dan tengok mereka bergurau, gelak.  

Seorang isteri yang macam Kak Hasmah susah nak cari. Tak ada langsung angkuh, tak ada langsung ‘angin angin’, tak ada nak besarkan diri. Tak pernah. Tu yang saya hormat sangat.”

Sumbangan Tun Dr Hasmah

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Allahyarhamah merupakan anak keenam daripada 10 beradik. Sepanjang hayatnya, Tun Dr Hasmah meninggalkan legasi panjang sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan. Malah turut menabur bakti kepada kesihatan awam, pendidikan dan kebajikan masyarakat. 

“Memandangkan dia wanita pertama kerja doktor Melayu kan, semangat dia untuk maju ke hadapan atas diri dia sendiri dengan keupayaan dia dalam bidang yang tak pernah diteroka oleh wanita. Maka itu jadi contoh bagi kita.

Zaman dulu lagi ni. Ini cerita zaman mak kita, dia dah jadi doktor. Dicontohi bagaimana seorang wanita boleh maju ke hadapan kalau dia berusaha dan gigih. Kak Hasmah memang seorang yang berusaha dan gigih, dia serius dengan kerja dia buat.

Sebagai wanita berazam untuk lakukan yang terbaik, apatah lagi lepas tu jadi pula First Lady. Banyak lagi tanggungjawab dia tapi kita tak pernah tengok dia menonjol-nonjolkan diri First Lady. Dia tetap Kak Hasmah juga. Tak pernah melebih-lebih dari dulu sampailah ke akhirnya.”

Artikel https://www.nona.my/semoga-terus-diberkati-allah-swt-dato-seri-mukhriz-mahathir-titip-doa-buat-ibu-bapa-sempena-usia-perkahwinan-ke-70/

Allahyarham Tun Dr Hasmah berkahwin dengan Tun Dr Mahathir pada 5 Ogos 1956. Mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Marina, Mirzan, Mokhzani dan Mukhriz. Pasangan ini turut mempunyai tiga orang anak angkat iaitu Melinda, Mazhar dan Maizura. 

Share
Published by
Suzi