Persandingan Diraja Tengku Amir Shah & Afzaa Fadini Penuh Istiadat Kesultanan Selangor

Suasana penuh adat dan tradisi mengiringi Istiadat Persandingan Diraja Selangor antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz, yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, malam tadi.

Kredit Foto: mediaselangor

Istiadat penuh bersejarah itu bermula pada pukul 7.45 malam menyaksikan keberangkatan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan mencemar duli menghadiri serta menyaksikan persandingan pasangan pengantin diraja tersebut.

Kredit Foto: mediaselangor

Turut berangkat, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Suasana Penuh Adat

Sekitar pukul 7.45 malam, pasangan mempelai diraja berarak masuk ke Balairung Seri diiringi oleh dua panglima perang dan kerabat diraja mencipta suasana penuh adat.

Kedua-dua mempelai diraja menyerlah dalam persalinan diraja rona kuning cair dengan bermotifkan songket yang menzahirkan keindahan tradisi istana.

Kredit Foto: bernamaofficial

BACA JUGA:

Hadir Rai Hari Bahagia Tengku Amir Shah, Penampilan & Wajah Jelita Puan Nur Lisa Idris Abdullah Jadi Tumpuan!

Upacara Merenjis

Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan memulakan Istiadat Merenjis sebagai simbol restu diraja kepada pasangan mempelai.

Kredit Foto: bernamaofficial

Upacara tersebut diteruskan oleh bonda kepada Tengku Amir Shah, Puan Nurlisa Idris Abdullah, kerabat diraja dan ibu bapa Datin Paduka Seri Afzaa Fadini.

Kredit Foto: bernamaofficial
Kredit Foto: bernamaofficial

Santapan Diraja

Sebagai penutup, Mufti Selangor Datuk Dr. Anhar Opir memimpin bacaan doa sebelum tetamu diraikan dalam Majlis Santapan Diraja di Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.

Kredit Foto: mediaselangor

Istiadat Persandingan Diraja Selangor yang penuh adat ini menjadi lambang penyatuan dua jiwa di bawah naungan kasih dan sejarah Kesultanan Selangor.

Terdahulu, pasangan mempelai diraja ini selamat diijabkabulkan pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.

Kredit Foto: selangorroyalofficial

 

Share
Published by
Amy Mohd