Hanya rasa sedih menghantui apabila bayi yang dikandung, pergi sebelum waktunya. Keguguran adalah suatu momen yang pedih apatah lagi jika dia adalah bayi yang ditunggu-tunggu selama ini.

Kejutan emosi diri dan keluarga pasti sukar dikikis setiap kali melihat bayi yang comel di depan mata. Namun, sebagai wanita yang kuat dugaan ini perlu dihadapi dengan positif dan bijaksana.

Keguguran bermakna kandungan yang berakhir dengan sendirinya sebelum 20 minggu usia kandungan. 10 ke 20% kandungan berakhir dengan keguguran. Ini kerana banyak keguguran berlaku pada awal kandungan sebelum wanita itu sedar bahawa dia telah mengandung.

Hampir 80% jumlah keguguran berlaku dalam tiga bulan pertama kandungan.

Tanda-Tanda Keguguran

(a) Pendarahan sama ada sedikit, banyak atau ketulan darah

Ketika mengandung, tompokan darah boleh menjadi merupakan mimpi ngeri. Hati pasti tertanya-tanya, apakah jenis darah yang keluar. Tompokan darah ini mungkin boleh dilihat secara ketara atau tidak.

Darah boleh dilihat di seluar dalam atau ketika menggunakan tisu tandas. Biasanya tompokan darah adalah perkara biasa di awal kehamilan tetapi anda perlu memberitahu doktor kerana dikhuatiri merupakan tanda awal keguguran.

(b) Sakit pada abdomen, belakang atau ari-ari

Kadang-kadang ibu hamil akan rasa sakit atau kejang di bahagian abdomen dan sakit belakang serta tidak selesa di kawasan ari-ari. Kesakitan yang kerap dan berpanjangan mungkin merupakan kontraksi atau tanda awal keguguran.

(c) Cecair atau tisu keluar daripada vagina

Jika cecair atau tisu yang luar biasa keluar daripada vagina berkemungkinan besar keguguran sudah berlaku.

(d) Demam

Demam panas yang melebihi 37.8°C atau lebih boleh menjadi punca keguguran.

Kajian prenatal misalnya chorionc villus sampling (CVS) iaitu DNA bayi diambil ketika kandungan berusia 11 hingga 13 minggu. Ujian ini diambil untuk melihat sama ada kandungan normal atau tidak. Ujian yang menggunakan jarum suntikan ini membawa sedikit risiko keguguran.

Begitu juga dengan ujian klinikal amniocentesis yang membawa risiko keguguran. Ujian ini ialah diagnostik khas yang melibatkan pengambilan sampel cecair ketuban daripada uterus dan menganalisisnya dalam makmal. Ujian ini untuk melihat sama ada bayi dalam kandungan mempunyai sebarang ketidaknormalan yang serius.

Selain daripada itu masalah keguguran bertambah apabila usia semakin meningkat iaitu 20% pada usia 35 tahun, 40% pada usia 40 tahun, dan 80% pada usia 45 tahun.

Usia ayah bayi juga memainkan peranan dalam keguguran bayi dalam kandungan. Ini kerana wanita yang mengandungkan anak dengan pasangan lebih tua mempunyai risiko yang lebih untuk mengalami keguguran. Masalah ini berlaku disebabkan oleh masalah kromosom pada lelaki.

Jika berlaku tanda-tanda tersebut, ibu-ibu perlu berjumpa dengan doktor untuk mengesahkan keadaan janin yang dikandung. Pemeriksaan teliti seperti ultrasound akan dijalankan juga nasihat tentang penjagaan bayi perlu dilakukan.

Jenis-Jenis Keguguran

(1) Keguguran terancam (threatened miscarriage)

Pesakit akan mengalami pendarahan tetapi pangkal rahim masih tertutup. Separuh daripada pesakit yang mengalami keguguran terancam akan dapat meneruskan kandungan sehingga cukup bulan tanpa kemudaratan pada janin. Biasanya keadaan janin akan sihat.

Ibu yang mengandung perlu berehat sehingga pendarahan atau sakit berhenti. Elak melakukan senaman dan hubungan seks dalam tempoh ini. Walaupun langkah ini tidak terbukti dapat mengurangkan risiko keguguran tapi boleh memberi keselesaan dan kelegaan kepada ibu mengandung. Mungkin juga ibu yang mengandung dalam situasi ini akan dibekalkan hormon untuk menguatkan rahim.

(2) Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage)

Ibu yang mengandung mula mengalami pendarahan dan rasa sakit. Pangkal rahim mula membuka dan apabila situasi ini berlaku kemungkinan besar kandungan gugur terus. Sakit ini berpunca daripada rahim mengeras untuk mengeluarkan janin dan uri.

(3) Keguguran lengkap (complete miscarriage)

Keguguran seperti ini berlaku apabila kesemua kandungan telah keluar dari rahim secara sedar. Keguguran biasanya berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang dan doktor akan melakukan pemeriksaan pintu pangkal rahim sama ada masih ada sebahagian janin yang tertinggal di dalam rahim.

(4) Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage)

Janin dan uri telah gugur keluar tetapi masih ada sebahagian daripada janin dan uri masih tertinggal di dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.

(5) Missed abortion

Embrio gagal untuk berkembang dan telah mati tapi masih kekal dalam rahim. Tanda mengandung tiba-tiba hilang seperti loya dan tegang payudara. Selalunya tiada darah berlaku atau hanya sedikit pendarahan. Pesakit mungkin tidak ada tanda dan hanya menyedari semasa menjalani ujian ultrasound.

(6) Recurrent miscarriage

Jika berlaku tiga keguguran berturut-turut.

(7) Keguguran septik (septic miscarriage)

Ibu mengandung yang dijangkiti kuman dan mengakibatkan infeksi pada rahim. Simptom termasuk demam panas, menggigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendir dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning). Hamizatul Maizan Mohamed

Jangan Lupa Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: