Fesyen

Jimat Tapi Masih Boleh Bergaya, Tiru 8 Tip Ini Ketika Memilih BUSANA RAYA!

Di bulan istimewa lagi mulia, pastinya setiap wanita ingin tampil secantik mungkin. Mulai dari mengenakan mekap agar wajah terlihat cantik dan segar sehinggalah busana yang akan disarungkan. Kini, terdapat banyak koleksi busana lebaran yang terdapat di pasaran hingga membuatkan kita bingung untuk memilihnya. Terdapat pelbagai rekaan dan potongan dari harga puluhan ringgit hingga mencecah ribuan ringgit.

Apa yang pasti, pemilihan busana yang tepat harus menjadi keutamaan agar penampilan tampak menawan dan menyerlah. Namun ada beberapa tip penting agar busana ideal dapat diperolehi agar lebaran anda melakar detik lebih bermakna bersama yang tersayang. Istimewa edisi lebaran kali ini, Nona kongsikan tip memilih busana lebaran tepat dan sempurna.

  1. TETAPKAN BAJET

Dalam menentukan busana yang akan dipilih, peruntukan bajet amatlah penting.  Bagi anda mempunyai bajet yang lebih besar untuk membeli busana lebaran, pilihan yang tersedia ada tentunya lebih banyak. Anda boleh memilih rekaan daripada pereka fesyen yang mengeluarkan koleksi mereka sempena lebaran. Anda boleh memilih busana yang sesuai dengan anggaran dan stail anda.

Namun, bagaimana dengan anda yang mempunyai peruntukan atau bajet yang terbatas? Anda masih boleh membeli busana lebaran tetapi jangan melebihi bajet yang telah ditetapkan. Terdapat banyak pilihan busana yang mempunyai diskaun lebih-lebih lagi saat bulan Ramadan hampir berakhir.

  1. SESUAI DENGAN BENTUK TUBUH

Memilih busana yang sesuai dengan bentuk tubuh adalah perkara yang amat penting. Wanita yang mempunyai bentuk tubuh yang langsing cukup beruntung kerana sesuai menggayakan hampir semua jenis potongan busana.  Bagi mereka yang memiliki bentuk badan yang besar, pilihlah busana yang berpotongan lebih longgar agar anda berasa lebih selesa.

Selain itu, anda dinasihatkan untuk memilih busana yang memiliki penekanan pada bahagian pinggang seperti perincian berbentuk manik, renda dan sebagainya. Penekanan ini akan membantu memberikan ilusi tubuh lebih langsing.

  1. PERHATIKAN FABRIK YANG DIGUNAKAN

Pada hari lebaran, pastinya anda akan melakukan pelbagai aktiviti. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan mungkin menyebabkan anda cepat berpeluh. Manakan tidak dari awal pagi, anda sibuk berkunjung ke rumah jiran tetangga dan melayan tetamu yang hadir untuk beraya. Oleh itu, sebelum memilih busana lebaran, pastikan fabrik yang dipilih tepat dan diperbuat dari bahan yang mampu menyerap peluh dengan baik.

Untuk kesan terbaik, anda boleh memilih busana yang menggunakan fabrik cotton. Selain mampu menyerap peluh, fabrik cotton juga mampu memberi keselesaan yang tiada tara buat si pemakai. Fabrik lain seperti linen, silk dan viscose juga antara fabrik tepat untuk dijadikan pilihan.

  1. PEMILIHAN RONA

Rona pada busana juga perlu dipertimbangkan sebelum memilih sesuatu busana lebaran. Bagi membolehkan busana lebaran anda sesuai digayakan sepanjang masa, anda disarankan untuk memilih rona busana yang terdiri daripada rona neutral dan pastel seperti krim, champagne, dusty pink, lilac,

kuning cair, ungu lembut dan lain-lain lagi.

Rona kedam juga sesuai dijadikan pilihan wanita bertubuh besar kerana ia mampu memberikan ilusi bentuk badan yang lebih langsing dan ramping. Elakkan memilih rona-rona terlalu terang seperti rona neon yang akan membuatkan anda kelihatan lebih besar.

  1. MOTIF BUSANA

Bagi anda yang menggemari busana yang mempunyai motif, anda harus bijak saat memilihnya. Untuk wanita yang mempunyai bentuk tubuh yang besar, anda boleh memilih busana dengan motif yang kecil. Busana dengan motif yang kecil membiaskan ilusi bentuk badan yang langsing. Untuk mereka yang berbadan kecil atau petite, pilih busana dengan motif yang lebih besar.

Sebagai contoh, jika anda suka akan motif flora, anda boleh memilih corak bunga yang lebih besar dengan rona yang sedikit terang kerana ia akan memberikan biasan bentuk badan yang lebih berisi.

  1. SESUAIKAN DENGAN AKTIVITI

Hari lebaran memerlukan kita untuk ziarah menziarahi jiran tetangga dan sanak saudara. Selain fabrik yang nyaman dan selesa, anda juga perlu pastikan busana yang dipilih sesuai dengan aktiviti di hari lebaran nanti. Sebagai contoh, jika anda berkunjung ke rumah sanak saudara menggunakan motosikal, pilihlah pakaian dengan potongan jubah atau yang dipadankan dengan seluar.

Kombinasi jubah dan seluar membuatkan anda mudah untuk bergerak bebas dan tidak menjadi kesukaran saat menunggang motosikal. Bagi anda yang menaiki kereta, anda boleh menggayakan busana lebaran mengikut cita rasa anda.

  1. PILIH BUSANA YANG FLEKSIBEL

Ketika memilih busana lebaran, sebaiknya pilih busana yang boleh digunakan sepanjang masa. Busana lebaran seperti dres dan jubah selalu menjadi trend dan praktikal untuk digayakan. Dengan itu, anda boleh menggunakan busana tersebut untuk lebaran berikutnya. Anda boleh suai padankan busana tersebut dengan koleksi busana yang anda miliki di rumah.

Dengan padanan busana tersebut bersama aksesori yang anda miliki, anda mampu tampil berbeza dan kelihatan trendy dan stailo. Ia juga mampu menjimatkan wang anda dari membeli busana yang baharu.

  1. BUSANA SOPAN

Tidak menjadi kesalahan jika anda ingin melaram di hari lebaran yang disambut setahun sekali. Namun harus diingatkan, bahawa ia harus berpada-pada. Elakkan daripada memakai busana yang terlalu seksi kerana di bulan yang mulia, lebih afdal jika anda menyarungkan busana yang sopan dan lebih tertutup.

Jangan memilih busana yang terlalu jarang hingga menampakkan susuk tubuh anda. Untuk tampil sopan, anda boleh memilih busana berpotongan kurung moden, kurng kedah dan kebaya. Dengan rekaan yang moden dan terkini, nescaya penampilan anda lebih anggun dan menawan.

IKLAN
Share