
Hujung Ogos lalu, Ardell Aryana bersama 22 aktivis terdiri daripada selebriti dan pempengaruh tanah air menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dengan penuh harapan. Tujuan mereka hanya satu, untuk memecahkan kepungan Israel menuju ke Gaza. Seterusnya menyampaikan bantuan makanan, ubat-ubatan dan barangan asas lain kepada rakyat di sana.
Turut sama menyertai Ardell ialah Zizi Kirana, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Farah Lee. Meskipun tubuhnya kecil namun semangat juang figura berusia 35 tahun ini cukup luar biasa. Sepanjang lebih sebulan redah lautan, Ardell turut diuji dengan faktor kesihatan hingga hampir menarik diri.
Tetapi keazaman wanita ini untuk bertemu rakyat di Gaza mengatasi segala-galanya!
Sepanjang pelayaran itu juga isteri pelakon Nadzmi Adhwa ini antara yang paling aktif membuat live di media sosial, menyebarkan misi GSF ini kepada dunia dan setiap kali dia bersiaran raih ratusan ribu tontonan.
Bahkan video live SOS Ardell Aryana sebelum ditahan tentera rejim viral di platform media sosial.
Kapal ‘Mikeno’ yang dinaiki Ardell dikatakan lakar kejayaan tersendiri dalam misi flotilla sebelum ini apabila hanya berada kira-kira 10 batu nautika dari perairan Gaza. Namun usaha mereka untuk hantar bantuan tidak kesampaian setelah ditahan pihak tentera rejim pada 2 Oktober 2025.
Tiada khabar lanjut mengenai Ardell sejak penahanan itu dan mengundang resah pelbagai pihak. Sehinggalah pada 4 Oktober lalu berita pembebasan 23 aktivis Malaysia tiba di Istanbul, Turkiye menjadi perhatian.
Pastinya kelibat Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin dinanti-nantikan ramai. Dalam senyuman, dia sebenarnya menahan kesakitan akibat dicederakan tentera Zionis.
Malah, ‘tudung’ yang dipakainya sewaktu tiba di Istanbul jadi tumpuan kerana ia sebenarnya T-shirt yang dijadikan tudung bagi menutup auratnya.
Memetik laporan Astro Awani, Ardell mendedahkan dia menjadi mangsa buli secara fizikal oleh tentera negara haram Israel sewaktu dalam tahanan. Dia mengalami kecederaan fizikal disebabkan layanan kasar mereka. Bahkan doktor mengesahkan tisu di bahu Ardell koyak, lebam di muka dan rambutnya tercabut.
Selebriti ini turut berkongsi detik cemas ketika tudungnya direntap hingga rambut tercabut. Adegan itu turut disaksikan tentera zionis lain yang bersorak beramai-ramai untuk memalukannya.
Ardell turut tidak menolak kemungkinan menjadi sasaran rejim tersebut kerana pengaruhnya menyebarkan misi GSF di media sosial.
Lebih mengejutkan, tentera Israel turut mengugut mahu membunuh anak-anaknya jika dia enggan memberi kerjasama semasa proses penahanan.
Hari ini 7 Oktober, genap dua tahun Israel ‘membuli’ dan menjajah negara Palestin berdaulat. Hari ini juga aktivis GSF dijangka tiba di tanah air sekitar jam 10 malam nanti dan ia sudah tentu bukan perjuangan terakhir mereka untuk terus menyokong serta membela nasib masyarakat di sana.
This website uses cookies.