
Joheirry Mola
Joheirry Mola dinobatkan Miss World 2026, mencipta sejarah luar biasa apabila seorang guru berusia 24 tahun dari Republik Dominika berjaya menakluk pentas ratu cantik paling berprestij dunia. Di sebalik mahkota dan pesona yang memukau, perjalanan Joheirry jauh lebih menginspirasi. Beliau bukan sekadar model profesional, malah seorang pendidik, wartawan dan graduan pengurusan perniagaan yang sejak sekian lama menjadikan pendidikan serta usaha membantu kanak-kanak kurang bernasib baik sebagai sebahagian daripada misi hidupnya.
Dilahirkan dengan nama penuh Joheirry Mola Dominguez, figura setinggi 175 sentimeter ini merupakan graduan Ijazah Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan dari Universidad Iberoamericana (UNIBE). Fasih berbahasa Sepanyol dan Inggeris, Joheirry turut mengajar Kesusasteraan dan Pengajian Sosial dalam bahasa Inggeris.
Menariknya, wanita cantik ini tidak memilih untuk mengejar populariti semata-mata. Pengalaman sebagai pendidik membuka matanya terhadap jurang peluang yang dihadapi kanak-kanak daripada komuniti kurang bernasib baik.
Daripada kesedaran itu lahir Voices of Tomorrow, sebuah inisiatif pendidikan yang diasaskan dan dipengerusikan sendiri oleh Joheirry. Projek berkenaan memberi peluang kepada kanak-kanak serta golongan muda daripada komuniti rentan mempelajari bahasa Inggeris.
Bagi Joheirry Mola, pendidikan bukan sekadar kerjaya. Penguasaan bahasa mampu membuka pintu kepada pendidikan lebih tinggi, komunikasi dan peluang lebih besar pada masa hadapan. Prinsip tersebut akhirnya menjadi kekuatan utama yang dibawanya ke pentas Miss World 2026.
Pengalamannya juga tidak terhad di bilik darjah. Joheirry pernah menjadi koresponden program Ventana a Quisqueya terbitan Univision New York yang mengetengahkan budaya Republik Dominika, isu sosial serta kisah komuniti Dominika di luar negara.
Tugas sebagai wartawan melatihnya menemubual pelbagai individu, memahami isu kompleks dan menyampaikannya secara jelas kepada khalayak. Kemahiran komunikasi itu kemudiannya menjadi antara kelebihan besar Joheirry ketika berdepan juri dan khalayak antarabangsa.
Sosok Joheirry bukanlah orang baharu dalam dunia pertandingan ratu cantik dan peragaan. Pada 2018, beliau mewakili Republik Dominika dalam pertandingan Miss Teen Américas dan meraih gelaran Princesa de las Américas 2018. Pengalaman tersebut menjadi antara titik awal perjalanan Joheirry dalam industri peragaan sebelum terus aktif sebagai model profesional.
Namun perjalanan menuju mahkota Miss World 2026 bukan kisah seorang peserta yang sejak awal diramal bakal menang. Ketika pertandingan berlangsung di Vietnam, namanya pada awalnya tidak begitu mendapat perhatian berbanding beberapa peserta pilihan. Namun Joheirry perlahan-lahan membuktikan kemampuannya melalui persediaan konsisten, keyakinan, kemahiran komunikasi dan penguasaan pentas.
Kemenangan Joheirry dalam cabaran Top Model bagi rantau Americas & Caribbean menjadi titik penting apabila kejayaan tersebut membawanya ke kelompok Top 40.
Daripada seorang peserta yang kurang mendapat perhatian pada awal pertandingan, namanya mula menjadi sebutan. Joheirry kemudian terus mara melalui Top 20, Top 12 dan Top 6.
Bukan hanya kecantikan fizikal, sikap profesional dan personalitinya turut mendapat perhatian individu yang bekerja bersamanya. Pereka Vietnam, Nguyen Minh Tuan yang bekerjasama dengan Joheirry ketika pertandingan Top Model memuji kemahiran peragaan, sikap mudah bekerjasama dan rasa hormatnya terhadap pasukan.
Kombinasi kecantikan, kecerdasan, kemahiran komunikasi serta pengalaman dalam pendidikan dan kerja komuniti akhirnya menjadikan Joheirry antara peserta paling menyerlah menjelang malam kemuncak.
Pada malam 5 September 2026 di Nha Trang, Vietnam, Joheirry berdepan detik yang bakal mengubah seluruh kehidupannya. Dalam pusingan soal jawab penentuan, beliau tidak memilih jawapan yang terlalu kompleks untuk memikat juri. Sebaliknya, Joheirry kembali kepada perkara yang paling dekat dengan hatinya iaitu pendidikan.
Ketika berbicara mengenai projek Beauty With a Purpose, Joheirry menjelaskan usahanya mengajar bahasa Inggeris kepada kanak-kanak daripada latar belakang kurang bernasib baik. Baginya, kemahiran berbahasa boleh memberikan mereka peluang lebih besar untuk belajar, berkomunikasi dan membina masa depan.
Lebih menyentuh hati, jawapan itu bukan sekadar projek yang diwujudkan untuk pertandingan. Usaha tersebut sudah dilakukannya menerusi Voices of Tomorrow sebelum melangkah ke pentas Miss World.
Akhirnya, Joheirry Mola dinobatkan Miss World 2026 selepas mengatasi persaingan lebih 100 wanita dari seluruh dunia. Elisabeth Reynés dari Sepanyol muncul naib juara pertama, manakala wakil Malaysia, Taanusiya Chetty, meraih kedudukan naib juara kedua.
Kemenangan itu juga cukup bersejarah buat Republik Dominika. Joheirry membawa pulang mahkota Miss World ke negaranya selepas penantian 44 tahun, sejak Mariasela Álvarez memenangi pertandingan tersebut pada 1982.
Daripada seorang guru yang mendidik anak-anak, wartawan yang menyampaikan suara masyarakat hingga akhirnya bergelar ratu dunia, Joheirry membuktikan mahkota paling berharga bukanlah yang diletakkan di atas kepala, tetapi bagaimana seorang wanita menggunakan kedudukannya untuk membuka lebih banyak peluang kepada orang lain.
Artikel berkaitan: Pemimpin Terkaya Di Dunia Naik Gaji Luar Biasa RM11.6 Juta Setahun, Mahu Sumbang RM4.51 Juta Untuk Kebajikan!
This website uses cookies.