
Izzue Islam Rai Birthday Isteri Awin Nurin
Kagum kesetiaan Izzue Islam dan Awin Nurin. Kedua-duanya dilihat saling menyayangi dan melengkapi meskipun usia perkahwinan sudah pun mencecah 13 tahun. Melihat keserasian mereka, tidak hairanlah pasangan selebriti ini sering menjadi tumpuan peminat seni tanah air.
Setiap kali menyambut hari istimewa seperti ulang tahun kelahiran mahupun perkahwinan, ada saja kejutan yang dibuat Izzue mahupun Awin. Jelas terserlah sikap suami isteri ini yang berlumba-lumba membahagiakan hati pasangan. Alhamdulillah.
Terbaharu, Izzue Islam berkongsi momen sambutan ulang tahun hari lahir isteri tercinta di media sosial Instagram miliknya. Pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh berkenaan meraikan hari bermakna pada tanggal 21 Jun itu secara sederhana mengikut kemahuan Awin Nurin.
Namun kesungguhan Izzue merealisasikan impian dan hajat hari lahir isteri tersayang telah mencuit emosi warga maya. Ditambah pula dengan ucapan romantis yang didedikasikan khas buat Awin atau nama penuhnya
Nurinafilah Waharudin.Dalam video yang dikongsikan kelihatan Awin yang mengenakan busana putih sedondon dengan Izzue kelihatan teruja dapat menunggang kuda. Sambil memakai kaca mata hitam, momen romantik tunggang kuda di pantai pastinya menjadi kenangan indah buat mereka berdua.
Titip penyanyi yang juga pengacara ini, “Awin minta nak naik kuda je untuk hadiah hari jadi dia. Jenuh juga mencari tapi alhamdulillah Allah permudahkan semuanya. Selamat Hari Lahir, Sayang Awin Nurin.”
Lebih menyentuh perasaan apabila Izzue menzahirkan isi hati untuk sentiasa berada di sisi wanita kesayangannya itu sehingga ke akhir hayat.
“I tak tahu berapa lama lagi Allah akan pinjamkan you untuk I. Tapi satu benda yang I nak you tahu. Kalau suatu hari nanti rambut kita sama-sama memutih, muka kita sama-sama berkedut dan langkah kita dah tak sekuat hari ini.
I harap tangan yang I pegang nanti masih tangan yang sama I pegang sekarang. Tangan you.”
Tambah Izzue Islam, “Kami diuji belum ada anak. Tapi sepanjang perjalanan ini, you tak pernah jadikan ujian sebagai alasan untuk menyerah. Sebaliknya you memilih untuk terus bertahan, terus percaya dan terus berjalan bersama I.
Mungkin I tak selalu tunjuk dan mungkin I tak pandai meluah dengan kata-kata. Tapi setiap hari, I bersyukur kerana Allah memilih you untuk menjadi teman hidup I.
Bila I tengok you ketawa menunggang kuda di tepi pantai ni, hati I cuma ada satu doa. Ya Allah, bahagiakanlah wanita ini sebagaimana dia telah membahagiakan hidup aku selama ini.”
2 Jun lalu sempena ulang tahun kelahiran ke-36 Izzue Islam dan ulang tahun perkahwinan ke-13 pasangan ini, Awin Nurin membuat kejutan istimewa buat suami tercinta dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah Nissan GTR.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial kelihatan Izzue menitiskan air mata terharu saat menerima kejutan tersebut.
Katanya, “Orang nampak aku dapat GTR. Tapi apa yang orang tak nampak, aku sebenarnya dah dapat hadiah paling besar sejak 13 tahun lalu. Nama dia, Awin Nurin.
Sebab kereta boleh dibeli. Tapi 13 tahun kesetiaan, 13 tahun bertahan, 13 tahun menyokong ketika aku jatuh dan bangun, itu bukan semua orang mampu bagi!”
Meskipun belum dikurniakan rezeki anak namun Allah Maha Adil dan memberi rezeki kepada pasangan ini dalam pelbagai bentuk. Misalnya kira-kira empat tahun lalu, Izzue dan Awin akhirnya berpeluang memiliki kediaman sendiri.
Ternyata, ketiadaan cahaya mata bukan ukuran kebahagiaan bagi pasangan ini. Mereka menerima ketentuan ilahi dengan sebaiknya dan menghargai pasangan masing-masing.
Izzue yang juga bekas ahli kumpulan Fourteen berkahwin dengan pengurusnya, Awin Nurin pada 2 Jun 2013. Semoga segala doa yang dihajati Izzue dan Awin dimakbulkan Allah serta ikatan suci yang dibina ini terus diberkati serta berkekalan hingga ke syurga.
This website uses cookies.