
Kavita Sidhu antara selebriti tanah air yang aktif menyuarakan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Walau berbeza agama, pelakon dan usahawan ini tetap tegas berdiri atas dasar kemanusiaan dalam membela hak rakyat Gaza. Keprihatinan dan keberanian Kavita Sidhu menyokong perjuangan Palestin menjadi inspirasi masyarakat di Malaysia.
Artikel https://www.nona.my/keanggunan-emine-erdogan/
Terbaharu, Kavita Sidhu tidak melepaskan peluang menyambut kepulangan sembilan sukarelawan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kehadirannya di KLIA menarik perhatian ramai apabila tampil anggun dalam persalinan kurung moden putih sambil mengenakan mafla Palestin sebagai tanda solidariti.
Melalui perkongsian di media sosial, Kavita memuat naik momen istimewa bersama salah seorang aktivis FFC x TMTG iaitu Dr. Fauziah Hassan.
Ujarnya, “Kepulangan yang dinanti-nantikan di Lapangan Terbang KLIA hari ini. Selamat kembali kepada semua wira dan wirawati daripada Malaysian Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan misi Thousand Madleens to Gaza (TMTG).”
Kavita Sidhu turut berkongsi rasa terharu menyaksikan kepulangan para aktivis yang sihat dan gembira selepas melalui detik mencabar.
“Saat yang sungguh menyentuh hati apabila melihat Dr. Fauziah dan lapan delegasi lain kelihatan sihat serta gembira.
Kami mendengar banyak kisah luar biasa. Helikopter berlegar rendah di atas kapal, para aktivis menunjukkan keberanian dan ketabahan serta detik-detik tegang dan penuh kemenangan di lautan.
Walaupun kapal mereka ditahan dan para aktivis dipenjarakan, ombak flotilla ini akan terus berlayar, memastikan dunia tidak pernah melupakan dan terus berdiri bersama Gaza.”
Ini bukan kali pertama Kavita Sidhu menyokong perjuangan Palestin. Sejak Oktober 2023, beliau sudah turun padang menyertai himpunan solidariti di Dataran Merdeka bersama ahli politik, selebriti, dan aktivis.
Komitmen berterusan ini menjadikan nama Kavita sinonim dengan suara kemanusiaan dan perjuangan Palestin di Malaysia.
Selain perjuangan kemanusiaan, Kavita Sidhu juga dikenali sebagai individu yang berjiwa lembut dan menghargai budaya Melayu. Model dan penerbit filem ini sering tampil dengan busana tradisional serta meraikan Hari Raya bersama suami tercinta, Roberto Guya.
Meniti usia 54 tahun, Kavita terus memberi inspirasi apabila menerima Ijazah Kedoktoran daripada Wilmington Metropolitan University pada Jun lalu.
Keberanian dan empati yang ditunjukkan oleh Kavita Sidhu membuktikan bahawa perjuangan Palestin melangkaui batas agama dan bangsa.
Sokongan tulusnya terhadap perjuangan Palestin menjadi simbol bahawa kemanusiaan adalah bahasa sejagat yang menyatukan semua insan.
Dengan semangat seperti Kavita Sidhu, perjuangan Palestin akan terus mendapat perhatian dunia dan menggerakkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya berdiri bersama mereka yang tertindas.
This website uses cookies.