Pemergian Allahyarham Ashraf Sinclair, antara bukti bila-bila masa saja manusia akan dijemput Sang Pencipta. Sebagai orang luar, barangkali kita tak merasa sedalam hibanya hati isteri tercinta. Orang yang selama ini berbaring disamping, mengelus rambut dan mendakap tubuh kita… sudah tiada buat selamanya.

Perginya tanpa pesan. Kata orang, terlalu cepat… terlalu muda. Semalam kita ketawa, hari ini dia tiba-tiba sudah tiada. Begitulah suratan ajal, sedikit pun tak terlewat walau sesaat. Bagi yang masih hidup, peristiwa ini seharusnya menjadi ingatan. Siapa tahu esok lusa giliran kita?

IKLAN

Selain persiapan emosi, fizikal dan mental, satu lagi persiapan penting yang harus dititik beratkan adalah persiapan kewangan. Nona mendapatkan pandangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tentang perkara-perkara wajib yang perlu diketahui seorang isteri apabila mendepani berita kematian suami secara tiba-tiba.

1. Jika suami meninggal dunia dan meninggalkan harta tanpa membuat wasiat atau tanpa menghibahkan hartanya semasa hidup, maka semua harta-harta yang halal yang ditinggalkan adalah merupakan harta pusaka yang akan diwarisi oleh isteri dan waris-waris lain mengikut hukum faraid.

2. Jika suami meninggal dunia meninggalkan anak lelaki, anak perempuan, ibu dan bapa, maka mereka juga adalah waris-waris yang berhak mewarisi harta pusaka arwah suami selain daripada isteri.

3. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan, bapa dan adik-beradik, maka waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah suami adalah isteri, anak perempuan dan bapa sahaja. Adik-beradik arwah suami tidak berhak.

4. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan dan adik beradik, maka semua itu adalah merupakan waris-waris yang layak mewarisi harta pusaka arwah suami.

5. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri, anak perempuan berumur 8 tahun dan anak lelaki berumur 2 hari, maka adik-beradik arwah suami tidak berhak ke atas harta pusaka arwah suami walaupun anak lelaki tersebut baru berumur 2 hari.

6. Jika suami meninggal dunia dan 2 hari sebelum itu telah menceraikan isterinya dengan perceraian secara talaq 1, maka isteri tersebut masih lagi berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

7. Jika suami meninggal dunia sebaik sahaja selepas akad nikah dengan isterinya, isterinya tetap berhak ke atas harta pusaka arwah suaminya.

IKLAN

8. Jika suami sebelum meninggal dunia menyatakan mengharamkan harta-hartanya diwarisi oleh isteri dan kemudiannya meninggal dunia, isteri tersebut tetap berhak mewarisi harta pusaka arwah suaminya.

9. Jika suami meninggal dunia meninggalkan harta yang berkongsi bahagian dengan isteri, bahagian yang dimiliki oleh arwah suami merupakan harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris-waris termasuk isteri mengikut hukum faraid.

10. Jika suami meninggal dunia meninggalkan isteri sebagai penama kepada simpanan KWSP, Tabung Haji, Takaful atau seumpamanya, maka isteri hendaklah bertindak sebagai pentadbir untuk membahagikan wang-wang tersebut kepada dirinya dan waris-waris lain yang berhak mengikut hukum faraid.

IKLAN

11. Jika suami meninggal dunia namun harta yang ditinggalkan merupakan harta yang dipinjam, harta yang diamanahkan, harta yang telah diwakafkan, harta yang telah dihibahkan atau harta yang telah dijual, harta-harta tersebut bukan merupakan harta pusaka yang layak diwarisi oleh isteri.

12. Harta pusaka arwah suami yang diperolehi dalam tempoh perkahwinan dengan isteri boleh dituntut oleh isteri sebagai harta sepencarian melalui Mahkamah Syariah.

Untuk lebih mudah, uruskan harta anda di Majlis Agama Islam Selangor, layari www.mais.gov.my

P/S: Jom sebarkan. Penting untuk pengetahuan semua terutamanya para isteri.

#hartapusaka #faraid #islamicestateplanning #MAIS #menjunjungamanah

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI