KKM Dan NCSM Bersatu Tingkatkan Kesedaran serta Pengesanan Awal Kanser Payudara

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad melancarkan kempen ‘Pink October 2025’ bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad  Kredit Instagram Majalah Nona)

Inisiatif berimpak tinggi diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran, meluaskan akses kepada saringan, serta memperkukuh sokongan untuk pesakit dan bekas pesakit kanser payudara.

Kerjasama

Acara selama dua hari yang menghimpunkan peserta dari Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam adalah untuk berkongsi amalan terbaik, membincangkan cabaran, serta bekerjasama mencari penyelesaian bagi memastikan keadilan dalam rawatan dan penjagaan kanser payudara di seluruh rantau ini.

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Alliance & Partnerships for Patient Innovation and Solutions (APPIS) serta disokong oleh Novartis.

Aktiviti Kempen

Kempen ini bermula pada Ogos sehingga Oktober 2025. Salah satu tarikan utamanya ialah Kejohanan Pinky Futsal 2025 yang merupakan pertandingan futsal wanita yang akan diadakan di Pulau Pinang, Perak, dan Johor.

Kejohanan ini akan menghimpunkan pemain wanita dari seluruh Malaysia dalam semangat solidariti dan pemerkasaan, bukan sahaja mempromosikan gaya hidup aktif tetapi juga menekankan kepentingan menjaga kesihatan payudara melalui pengesanan awal dan pemeriksaan berkala.

Antara inisiatif lain menjelang Pink October 2025 ialah APPIS x SEA: Navigating Access to Improve Breast Cancer Care in Southeast Asia, Fasa 7 Program Mammogram Percuma Etiqa, Jelajah Pemeriksaan Mammogram Percuma Peringkat Kebangsaan. Usahasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dan saringan dan pembelaan hak pesakit kanser payudara di seluruh negara melalui Program Jejak Kanser.

“Pink October bukan sekadar satu bulan dalam kalendar. Ia adalah satu gerakan untuk menyelamatkan nyawa. Melalui inisiatif-inisiatif ini, kami membawa pendidikan, akses, dan sokongan terus kepada komuniti yang paling memerlukan,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad.

BACA JUGA: 10 Fakta Menarik Miss World 2025, OPAL SUCHATA Bekas Pejuang Payudara Pada Usia 16 Tahun

“Kadar kelangsungan hidup pesakit kanser payudara meningkat dengan ketara melalui pengesanan awal, dan program-program ini direka untuk menjadikannya realiti bagi semua.

“Pengesanan lewat kekal sebagai cabaran negara dengan 65.1% daripada semua kes kanser di Malaysia dikesan pada peringkat lanjut. Inilah sebabnya mengapa inisiatif Pink October kami dipromosikan melalui pelbagai pendekatan supaya dapat sampai kepada wanita daripada semua lapisan masyarakat,”

kata Timbalan Pengarah Perubatan NCSM, Dr. Vignesvari Subramaniam.

“Daripada program mammogram percuma dan jelajah pemeriksaan bergerak hinggalah forum serantau dan acara sukan komuniti, kami mengambil tindakan untuk membawa pemeriksaan, pendidikan, dan sokongan terus kepada wanita kerana pengesanan awal adalah kunci untuk menyelamatkan nyawa.”

Kesedaran Pengesanan Awal

Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021 menunjukkan bahawa kanser payudara merupakan kanser paling kerap dihidapi wanita, merangkumi 17.6% daripada semua kes dengan kadar insiden piawai umur (ASR) sebanyak 38.9 bagi setiap 100,000 wanita.

Dianggarkan 1 daripada 23 wanita Malaysia akan menerima diagnosis kanser payudara sepanjang hayat mereka, dan lebih separuh (50.5%) dikesan pada peringkat lewat, di mana peluang untuk hidup menurun dengan mendadak. Pengesanan awal boleh menjadikan pesakit 7.5 kali lebih rendah risiko untuk meninggal dunia akibat penyakit ini.

Pengesanan lewat kekal sebagai cabaran negara, dengan 65.1% daripada semua kes kanser di Malaysia dikesan pada peringkat lanjut. Angka ini menekankan betapa mendesaknya keperluan untuk pemeriksaan berkala, perkhidmatan pengesanan yang mudah diakses, serta pendekatan khusus bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan mengurangkan beban kanser payudara di negara ini.

Share
Published by
Amy Mohd