Fesyen

Kuih-Muih & Lagu Pun Boleh Jadi Ilham Spontan Untuk Koleksi MASTULI KHALID!

Label yang terkenal dengan signature loose & structured, Mastuli Khalid sentiasa menampilkan rekaan yang bertunjangkan keselesaan, kualiti dan minimalis yang turut disuntik dengan sedikit elemen maskulin. Pemiliknya, Dayang Fatma Dewi Mastuli Bt. Khalid atau lebih mesra disapa Dewi percaya setiap rekaannya cukup praktikal untuk digayakan samada je majlis kasual ataupun formal sekaligus mencetuskan gaya versatil yang sesuai sesuai dipakai oleh semua peringkat usia tidak kira yang muda mahupun yang tua.

\

BAGAIMANAKAH BOLEH TERCETUSNYA JENAMA MASTULI KHALID?

Semuanya bermula pada hari ulang tahun saya yang ke-26 pada 26 Februari 2013 apabila saya membuat keputusan untuk membuka Butik Pakaian di Kuching, Sarawak yang menjual pakaian seharian wanita Ready To Wear berkonsepkan praktikaliti. Sepanjang setahun ODD Haus beroperasi, saya banyak menerima maklum balas yang positif dari pelanggan mengenai pemilihan pakaian di Butik ODD Haus. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk beralih kepada bidang rekaan pakaian. Setelah itu, saya membuat keputusan untuk mereka sendiri pakaian dibawah jenama Mastuli Khalid.

 

BAGAIMANAKAH PERMULAAN PEMBABITAN ANDA DALAM DUNIA FESYEN?

Jenama Embun (Kuala Lumpur) dan Tuty Cholid (Jakarta) memainkan peranan penting dalam penglibatan saya dalam bidang fesyen kerana saya sering melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti fesyen bagi kedua-dua jenama tersebut. Di sana, saya banyak belajar perkara baru antaranya penganjuran Fashion Show, Models Management, Garments Production dan banyak lagi. Pengalaman tersebut masih segar dalam ingatan saya ke hari ini. Saya boleh katakan kedua-dua jenama tersebut merupakan batu loncatan kepada saya dalam dunia fesyen.

APAKAH YANG MEMBUATKAN ANDA MENCINTAI BIDANG FESYEN DAN SIAPAKAH PENDORONG ANDA SELAMA INI?

Sejak kecil saya membesar bersama orang yang mengemari fesyen dan juga dikelilingi individu-individu yang sebati di dalam dunia fesyen tempatan. Sebelum saya pandai merangkak, ibu sudah menjadikan saya sebagai bahan eksperimen fesyen dan saya amat berterima kasih kepadanya untuk itu. Kakak saya, Camelia Khalid juga sering membawa saya ke majlis-majlis fesyen dan kami gemar bermain Dress Up

sejak kami kecil lagi. Orang yang menjadi tulang belakang saya selama ini semestinya keluarga saya terutamanya ibu dan kakak-kakak saya yang sehingga ke hari ini sentiasa memberi inspirasi kepada saya dalam apa jua aspek.

KONGSIKAN BAGAIMANA ANDA MENDAPAT ILHAM UNTUK MENGHASILKAN SESEBUAH REKAAN?

Kebiasaannya idea saya dalam menghasilkan sesebuah koleksi pakaian datang secara spontan. Kebanyakan inspirasi itu datang daripada semua benda dan perkara yang berada di sekeliling saya  seperti kuih muih, filem, lagu, dan juga suami saya.

 

APAKAH CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MEMASTIKAN JENAMA ANDA BERTAHAN HINGGA KINI?

Cabaran utama yang saya hadapi apabila saya memilih Kuching, Sarawak sebagai tempat bermulanya Mastuli Khalid. Hal ini kerana aspek teknikal, komersil dan pemasaran kebanyakannya dijalankan di Kuala Lumpur. Seluruh pasukan Mastuli Khalid termasuk saya sering berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk memastikan setiap proses berjalan dengan lancar. Namun semuanya membuahkan hasil kerana Mastuli Khalid mampu bertahan sehingga kini, Alhamdulillah.

 

PENDAPAT ANDA MENGENAI INDUSTRI FEYSEN TEMPATAN MASA KINI?

Saya sangat berbangga kerana industri fesyen tempatan semakin berkembang dengan kehadiran dan penglibatan anak muda yang didorong oleh pereka fesyen senior dalam industri fesyen sehingga dapat bersaing dengan label fesyen antarabangsa. Hal ini juga adalah kerana masyarakat kita kini semakin terbuka untuk memilih dan membeli pakaian jenama tempatan.

 

APAKAH PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN?

Saya tidak akan lupakan saat dimana koleksi pertama Mastuli Khalid dikeluarkan kerana semua persediaan dari segi photoshoot, models, styling, dan lain-lain dilakukan buat pertama kali. Bermacam-macam perkara yang bermain di fikiran saya ketika itu dan perkara yang paling saya takuti adalah respon pihak luar mengenai koleksi pertama jenama saya. Namun, Alhamdulillah semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.

IKLAN
Share