
Sofizah Mousin Jaga Al-Quran Dibelinya Sejak Zaman Belajar
Setiap orang pasti ada koleksi barang peribadi yang menyimpan banyak kenangan dan nilai sentimental. Seperti kebanyakan orang, Sofizah Mousin juga tidak terkecuali menjaga barangan ‘istimewa’ miliknya dengan sebaik mungkin. Antara item kesayangan Johan Qariah ini ialah Tafsir Al-Quran yang dibelinya sendiri sejak dahulu.
Meskipun terdapat banyak naskhah kalam suci berkenaan di pasaran namun Sofizah tetap ‘setia’ menjaga naskhah yang satu ini.
Kongsinya di media sosial, “Ada kisah di sebalik tafsir Al-Quran ini. Inilah naskhah yang saya beli sendiri sejak zaman belajar. Dah lusuh sedikit tapi masih terjaga, tak ada koyak. Sampaikan setiap kali tilawah, inilah yang saya guna.
Walaupun saiznya lebih kecil, rasanya keberkatan itu sudah lama bersama. MasyaAllah, walaupun kulitnya makin lama makin pudar, tapi tetap berguna sampai hari ini.
Macam hidup kita, kadang ada fasa koyak sikit, ada fasa jatuh bangun. Tapi perjalanan tetap diteruskan. Banyak benda dalam hidup tidak kekal dan mungkin berubah. Kerja berubah. Kawan berubah. Fasa hidup berubah.
Tapi Al-Quran… tak pernah berubah. Ayat-ayatnya tetap sama. Dan mungkin itu yang paling kita perlukan.”
Bersempena kedatangan bulan penuh keberkatan, Ramadan, Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022 ini terlibat dengan pelbagai program televisyen berunsurkan pengisian ilmu Islam dan Al-Quran.
Selain memenuhi jemputan sebagai tetamu dan juri program islamik, Sofizah juga merupakan seorang pendidik.
Dalam kesibukan dengan tuntutan tugas mendidik anak bangsa dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, dia juga tidak ketinggalan mengejar impian menimba ilmu Al-Quran.
Mengimbas kembali detik gemilang dinobatkan sebagai juara Tilawah Al-Quran, Sofizah dilapor tiga kali menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan sebelum memenanginya.
Berkat kelunakan taranum, tajwid dan fasahah yang tepat serta ketenangan Sofizah Mousin mengalunkan bacaan berjaya menambat hati juri pertandingan.
Wanita hebat ini mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Asrol Saidi dan menyambut ulang tahun perkahwinan ke-10 pada Mac 2026.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Orked Mur Mikayla dan Iris Marissa.
Difahamkan, Sofizah Mousin pernah bertugas sebagai guru mata pelajaran Geografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. Kini, dia merupakan pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam, Selangor.
Semoga usaha murni wanita ini mengajak khalayak mencintai dan mendalami ilmu Al-Quran dipermudah serta sentiasa menyuntik inspirasi.
This website uses cookies.