
Linda Onn Sukses Jadi Usahawan
Diam-diam ubi berisi Linda Onn! Dia yang dulunya mempunyai nama besar dalam industri penyiaran dan penyampai radio popular kini makin sukses dalam dunia perniagaan.
Bersandarkan pengalamannya selama lebih dua dekad dalam bidang radio, Linda pada hujung Disember lalu dilantik menjadi juri bagi program radio Best FM Malaysia iaitu The Next Bestchamp Baru Best (BBB). Dalam masa sama, Linda masih aktif menerima tawaran sebagai pengacara.
Ketika era kegemilangan Linda Onn, figura berusia 48 tahun ini pernah mengasah potensi diri dengan mencuba bakat sebagai hos TV dan pelakon. Tidak cukup dengan kerjaya dalam bidang seni, dia mengorak langkah lebih berani dengan menceburi bidang keusahawanan.
Sekitar tahun 2004, Linda Onn atau nama penuhnya Rozlindah Onn membuka cawangan sulung restoran My Mom’s Chicken Rice.
Memasuki tahun ke-22 penubuhannya, isteri kepada Ungku Azhar ini sudah pun mempunyai enam cawangan iaitu di MyTown, KL; Lotus’s Ampang, Lotus’s Setia Alam, Lotus’s Rawang, Lotus’s Rimbayu dan Lotus’s Melaka Cheng. Hebat!
Dalam kesibukan mengendalikan rangkaian restoran ini, Linda turut memanfaatkan masa dengan menyertai program podcast dan mengusahakan produk minyak wangi keluarannya iaitu Anaricca.
Walau tidak menang tangan menguruskan keluarga, bisnes, kerjaya dan tanggungjawab sebagai ibu, Linda optimis mengejar cita-cita.
Kalau jiwa tak kental dan tak bijak bab pengurusan masa, pasti semua yang diimpikan Linda Onn tak mampu jadi kenyataan macam sekarang.
Berpengalaman lebih 20 tahun sebagai DJ, Linda pernah berkhidmat di stesen radio Kool FM, Era FM, Sinar FM dan Suria FM.
Linda Onn mendirikan rumah tangga dengan kerabat diraja Johor iaitu Ungku Azhar Ungku Maznan pada 27 Disember 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Ungku Zara.
This website uses cookies.