
Nor Albaniah Cekal Jalani Hidup Sejak Kehilangan Suami
Kehilangan insan tersayang secara mengejut pastinya meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan seseorang. Tidak terkecuali, Nor Albaniah Raffie yang ‘hilang’ sosok seorang suami pada 30 tahun lalu.
Walau kesedihan yang ditanggung masih bersisa hingga sekarang namun demi meneruskan kehidupan, pelakon popular era 90an ini cekal menempuh hari-hari mendatang.
Nor Albaniah atau mesra disapa Nor kini berusia 56 tahun. Masih aktif mewarnai industri seni, personaliti ini juga disegani dalam kalangan rakan-rakan artis kerana ‘kaya’ dengan senyuman dan optimis orangnya.
Walau kedutan halus jelas kelihatan di raut wajahnya namun tak dinafikan Nor kelihatan jelita dalam kelas tersendiri. Pendek kata, memang
natural beauty.Malah dia pernah menyertai pertandingan Ratu Cantik pada lewat tahun 1980. Tidak hairanlah selebriti ini pandai menjaga penampilan diri dan sering kelihatan bergaya.
Menelusuri kerjaya seninya, dia mula menceburi industri pada tahun 1989. Difahamkan Nor bergelar pelakon seawal usia 19 tahun ketika ditawarkan watak Tengku Noraini dalam filem Kolej 56 oleh Ahmad Fauzee.
Sejak detik itu hingga, Nor antara pelakon veteran wanita yang masih aktif berlakon sampai ke hari ini.
Jelitawan ini juga pernah mendirikan rumah tangga dengan pelumba kereta iaitu Sudarman Daud pada tahun 1994 dan dikurniakan seorang anak perempuan diberi nama Syarra.
Kira-kira dua tahun bergelar isteri, Nor diduga dengan pemergian suami tercinta pada 10 Jun 1996.
Aktif mengemaskini perkembangan diri di media sosial, salah satu hantaran Nor Albaniah mengenai kehidupan sarat dengan nasihat dan semangat untuk terus berjuang.
Titipnya, “Belajar lupakan yang sakit. Simpan lama-lama bukan akan buat kita jadi baik. Akan makan diri kita slow-slow. Dekat dengan orang yang hargai dan sayang kita, takkan mampu selesaikan semua tu seorang diri.
Selebihnya biar Allah yang tentukan. Buat sebaik mungkin untuk orang yang hargai dan sayang kita. Kalau tak berjaya, kita buat lagi selagi kita kuat. Kalau dah tak kuat, berundur. Bukan buang, biar Allah yang tentukan.”
Sepanjang pembabitan Nor sebagai pelakon, dia sudah membintangi pelbagai filem dan drama. Antaranya filem Main-Main Hantu, Kekasih Awal dan Akhir, Gerak Khas, dan Nenek Bongkok Tiga.
Moga Nor Albaniah terus tabah menjalani kehidupan dan sentisa memberi aura serta semangat positif buat kaum wanita.
This website uses cookies.