Manifestasi Orkid Hitam Taruhan Sulung ARUNSAYFULL Di Pentas KLFW 2022

Dua anak muda yang dikenali sebagai Arunsayfull, berganding bahu buat julung kalinya di lantai runway Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW 2022).

Pereka duo, Saiful (kiri) dan Arun sebagai pengasas Arunsayfull yang kian dikenali.

Pereka duo ini mempersembahkan sebuah koleksi fesyen penuh gah, The Black Orkid Pradesha untuk tatapan pengunjung KLFW 2022. Keluar dari zon selesa, koleksi yang terdiri daripada 13 helaian persalinan high fashion

ini ternyata memberikan jiwa baru buat Arunsayfull sepanjang bergelar pereka fesyen.

Sentuhan istimewa yang dikhususkan untuk KLFW 2022, mengetengahkan bunga orkid dalam dimensi berbeza yang dinilai melalui cakra mata ketiga. Malah, seperti mana di dalam kebanyakan koleksi Arunsayfull sebelum ini, aspek kemewahan turut menjadi sentuhannya untuk koleksi istimewa KLFW 2022.

“Kami ingin mempersembahkan koleksi yang akan membuka mata para pemain dalam industri fesyen tanah air. Di pentas KLFW, terdapat 13 persalinan yang kami persembahkan. Di mana koleksi-koleksi ini disasarkan khusus buat pada golongan elit dan fashionista,” kata pereka fesyen duo berkenaan.

Arunsayfull merupakan sebuah jenama tempatan yang terdiri daripada 2 orang pereka muda yang sangat berbakat besar iaitu Arun Mateen berusia 27 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang manakala Saiful Izham yang berusia 35 tahun yang berasal dari Kulim, Kedah.

Rekaan Arunsayfull juga cukup dikenali dengan potongan dan pemakaian material yang mewah serta perincian mahupun sulaman manik yang mewah. Kata mereka, menyertai KLFW merupakan impian para fesyen industri kerana acara ini adalah acara tahunan yang paling dinantikan oleh pengemar fesyen dan untuk berada di pentas berprestij ini pastinya terdapat pelbagai halangan dan cabaran.

“Sering kali kita melihat, ramai dikalangan pereka fesyen tanah air yang menggunakan platform KLFW sebagai batu loncatan bagi mengembangkan lagi jenama dan juga rekaan mereka.

Kami juga tidak terlepas. Peluang keemasan ini kami nantikan untuk menampilkan identiti sebenar Arunsayfull.

“Malah dengan adanya KLFW, kami berupaya untuk menonjolkan jiwa sebenar sentuhan Arunsayfull di dalam setiap rekaan kami,” kata Arun & Saiful.

Namun, mereka tetap mengakui, bahawa jenama ini memerlukan masa yang agak lama untuk membuktikan bahawa jenama mereka layak untuk berada sebaris dengan jenama yang lain.

IKLAN
Share