
Semerbak aroma air tangan sotong goreng kunyit sempena birthday isteri ke-60, ahli politik Dato’ Seri Azmin Ali rupanya mahir memasak dan ada 7 cucu.
Lambang suami penyayang dan menghargai isteri, momen Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memasak untuk seisi keluarganya mencuit tumpuan netizen.
Kalau lelaki tak pandai memasak, itu biasa. Memang naluri lelaki bukan ke dapur tapi berbeza dengan perwatakan ahli politik yang juga mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi ini, beliau seorang yang mahir di dapur sejak zaman Universiti lagi.
Isteri beliau, Datin Seri Shamshida Taharin dilahirkan pada 18 Ogos 1965. Wanita yang menyenangi majlis ilmu itu menggalas beberapa jawatan penting dalam badan NGO antaranya sebagai Penaung di Rumah Ngaji (Quran). Pasangan ini dikatakan mula menjalin kasih sejak zaman sama-sama menuntut di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat.
Baru-baru ini, perkongsian Dato’ Seri Azmin Ali ketika sambutan hari jadi isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin di kediaman mereka di Kuala Lumpur menyerlahkan bakatnya. Memang mahir, tengok cara pegang pisau pun tahu…
Abang kepada selebriti Azwan Ali dan bapa kepada 6 cahaya mata ini terbuka menceritakan momen istimewa itu.
Dalam majlis indah bertemakan rona putih dan krim pada 20 Ogos 2025, keluarga besar Dato’ Seri Azmin Ali berkumpul bagi merayakan sambutan hari jadi ke-60 permaisuri di hati mereka.
“Hari ini pulang awal dari pejabat. Sampai rumah, solat Zohor langsung masuk ke dapur untuk masak beberapa jenis lauk untuk makan malam bersama keluarga sempena Hari Ulangtahun Kelahiran Shida semalam.
Dua lauk yang saya masak sendiri hari ini adalah masakan yang saya baru belajar iaitu kari ikan istimewa dan sotong goreng kunyit,” tulis beliau.
Sambil berkongsi gambar masakannya, terlihat menu-menu yang disediakan untuk acara tersebut iaitu Kari Kepala Ikan, Sotong Goreng Kunyit by Chef Min, Ayam Masak Kicap, Ayam 65, Telur Masin dan nasi.
Namun paling menyeronokkan, tentu sekali kala melihat pasangan Dato’ Seri Azmin dan Datin Seri Shamshida Taharin dikelilingi anak menantu serta cucu-cucu seramai tujuh orang. Comel-comel cucu mereka, semua mewarisi wajah jelita dan tampan nenda tercinta!
Bertuah ada suami yang pandai memasak. Sejak dulu Datin Seri Shamshida Taharin memang sering memuji air tangan suaminya, terutama sekali ketika menjelang musim perayaan dimana Dato’ Seri Azmin sendiri akan memasak lauk-pauk juadah raya seperti rendang. Pasti meriah dapur bila beliau turun padang, singsing lengan dan membawang!
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/aktres-filem-main-main-hantu-dato-nancie-foo-minat-main-golf-cergas-usia-68-tahun/
This website uses cookies.