Mewah & Minimalis, Gaun Pengantin BRITNEY SPEARS Disiapkan Versace Selama 700 Jam!

Gaun pengantin dari Versace menjadi pilihan Britney Spears, penyanyi antarabangsa yang terkenal dengan gelaran ‘Princess of Pop’ di majlis perkahwinannya baru-baru ini.

Britney dan Sam Asghari tampil glamor dalam busana eksklusif rekaan Pengarah Kreatif Versace iaitu Donatella Versace.

Gaun putih polos yang dihasilkan daripada sutera cady yang menyerlahkan aura elegan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Baby One More Time’.

Gaun silhouette klasik itu dilengapi dengan perincian off-shoulder serta belahan tinggi di bahagian kain. Sebagai penyeri si bahagian belakang gaun, ditambahkan kancing berupa deretan mutiara.

Di samping itu, gaun turut dilengkapi dengan layah sepanjang tiga meter.

Menurut Donatella Versace, saat mereka gaun pengantin buat Britney, ia umpama satu mimpi.

Dikhabarkan, ia mengambil masa selama 700 jam bagi menyiapkan gaun istimewa itu. Untuk memaksimumkan penampilan Britney di hari bahagianya itu, sepasang sarung tangan tulle dihiasai perincian mutiara dan sebuah choker putih melingkari lehernya.

Mendominasi trend aksesori 90an, choker yang dipakai Britney menjadi simbolik kepada era kegemilangannya sebagai ikon pop ketika itu. Begitu juga bagi Donatella Versace yang kariernya berkembang pada era 90an di mana dia menjadi pewaris bisnes keluarga Versace sepeninggalan kakaknya, Gianni Versace.

Maka, tak hairanlah apabila Britney meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Donatella Versace untuk menyiapkan gaun pengantinnya. Tambahan pula, kedua-duanya sudah menjadi sahabat sejak sekian lama.

Bukan itu saja, tuksedo untuk pegantin lelaki turut disiapkan oleh tenaga kerja Atelier Versace. Seterusnya, Donatella Versace turut merancang untuk menghasilkan beberapa koleksi busana untuk after-party pasangan tersebut.

Majis perkahwinan Britney dan Sam yang berkonsepkan intimate wedding itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan selebriti terkenal antaranya Madonna, Selena Gomez, Paris Hilton dan Drew Barrymore.

Majlis diadakan di kediaman peribadi Britney di kawasan elit Thousand Oaks, Los Angeles.

Britney kini kembali bergelar isteri di usia 40 tahun setelah dua kali gagal dalam perkahwinan terdahulu. Semoga Britney dan Sam kekal bahagia selamanya.

IKLAN
Share