Nia Ramadhani Membelanjakan RM142,000 Setahun Untuk Kos Persekolahan Anaknya, Mikhayla Zalindra Bakrie

1324

Suatu ketika dahulu sinetron dari Negara Seberang, Bawang Putih Bawang Merah telah menjadi fenomena di kalangan penggemar drama. Watak Bawang Merah yang ‘jahat’ benar-benar memberi kesan yang mendalam pada penontonnya lantas mengangkat nama pendukung wataknya, Nia Ramadhani. Ke mana sahaja Nia pergi nama Bawang Merah seolah-olah melekat dengan dirinya.

Namun Nia telah meninggalkan kerjaya seninya setelah berkahwin dengan Ardiansyah Bakrie. Berkahwin dalam usia yang muda tidak membuatkan wanita tinggi lampai ini terus dilupakan. Nia mempunyai 11.8 juta pengikut di laman Instagram. Wajah cantiknya sentiasa menjadi buruan lensa kamera dan menjadi penghias muka depan majalah di Indonesia.

Ibu kepada tiga orang anak ini telah melahirkan anak pertamanya pada 2 Jun 2012 dan diberi nama Mikhayla Zalindra Bakrie. Manakala anak keduanya lahir pada 17 November 2015, Mainaka Zanatti Bakrie dan anak ketiganya pula, Magika Zalardi Bakrie lahir pada 10 Mei 2017.

Nyata Nia seorang ibu yang penyayang dan sentiasa mengambil berat tentang masa depan anak-anaknya dengan menghantar ke sekolah yang terbaik. Baru-baru ini Nia telah mendedahkan bahawa telah membelanjakan 500 juta rupiah (RM142,000) setahun untuk kos persekolahan anaknya. Pendedahan ini dilakukan Nia menerusi salah sebuah temu bual di program Ngopi Dara yang disiarkan di stesen televisyen Trans TV.

Dalam temu bual tersebut, pengacara program tersebut, Jessica Iskandar bertanya tentang anak sulung Nia yang gemar merakam video tarian di sebuah aplikasi popular. Jawab Nia, “Ya, saya bayar belanja sekolahnya mahal-mahal, setahun 500 juta rupiah. Tapi dia katakan kepada saya, cita-citanya cuma mahu merakamkan video di dalam aplikasi terbabit,” gurau Nia.

Mikhayla bersekolah di British School Jakarta dan menerusi pemerhatian di internet, perbelanjaan untuk memasuki sekolah terbabit boleh mencapai sehingga ratusan juta rupiah. Bayaran masuk untuk ke sekolah tersebut sahaja bermula dari 30 juta rupiah dan itu tidak termasuk dengan perbelanjaan lain.

Beruntung Mikhayla dapat belajar di sekolah yang terbaik dan menuntut perbelanjaan yang tinggi.

Sumber: Astro Awani

Jangan Lupa Komen