NURUL IZZAH Sinonim Dengan Tudung Bawal Rona Pastel, Lilit Macam Mana Pun Cantik!

Anak perempuan kepada ahli politik terkenal tanah air, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ini sememangnya memiliki aura luar biasa. Selain petah berbicara, Nurul Izzah juga merupakan antara muslimah yang menjadi inspirasi dan ikutan ramai kerana keperibadian yang menarik serta dikurniakan rupa paras yang cantik.

Sejak awal pembabitannya dalam arena politik hingga ke hari ini, Nurul Izzah dilihat selesa dengan gaya sederhana dan tidak keterlaluan. Walau ringkas tapi penampilannya tetap memukau pandangan.

Masih aktif dalam bidang yang diceburi, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini tetap setia menggayakan tudung jenis bawal atau square. Malah, dia juga gemar memakai tudung polos berbanding yang bercorak. Mengintai laman media sosial milik Nurul Izzah, kebanyakan koleksi hijab bawal miliknya adalah dari rona lembut dan pastel. Antaranya warna nude, ungu, peach, pink dan kelabu.

Tengok lilitan tudung Nurul Izzah pun sangat mudah dan senang. Tak perlu pakai banyak jarum dan kerongsang. Dalam masa kurang lima minit pun dah siap. Paling penting, Nurul Izzah akan memastikan tudung yang dipakai labuh menutupi dada dan kemas!

Adik-beradik perempuan Nurul Izzah

Ketika menjadi penghias Majalah Nona bersama adik-beradik perempuannya, Nurul Izzah mengakui kebanyakan gaya hijabnya ditata rias oleh adik perempuan sendiri, Nurul Nuha Anwar. Pun begitu, dia disifatkan seorang kakak yang penyayang dan menjadi tempat mengadu serta rujukan adik-beradik. Bahkan, dalam kalangan adik-beradik dia juga antara yang paling aktif dalam media sosial.

Nurul Izzah di samping abangnya

19 November ini genap 40 tahun usia Nurul Izzah. Meskipun aktif mengembangkan kerjaya politik namun dia tetap memberi sepenuh perhatian dan mengutamakan dua permata hatinya iaitu Raja Nur Safiyah dan Raja Harith. Nurul Izzah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

IKLAN
Share