
Rezeki Allah SWT hadir tanpa diduga. Jemputan ke Tanah Suci untuk melaksanakan rukun Islam kelima baru-baru ini nyata membuatkan Nur Liyana Abdul Rahman sebak dapat tunai haji. Apatah lagi dia menerima panggilan tersebut pada saat-saat akhir menuju 10 Zulhijjah.
Meskipun pada awalnya, usahawan jenama LeeyanaRahman ini ragu-ragu untuk berangkat ke Mekah kerana keadaan diri yang sedang hamil. Namun segala perasaan itu hilang selepas dia menerima kelulusan visa daripada kerajaan Arab Saudi.
Berkongsi momen sebelum berangkat ke sana di Instagram, ibu dua cahaya mata ini kelihatan berpurdah dan berjubah putih sambil ditemani suami tercinta, Muhamad Hafiz Abdul Hamid yang bakal mengerjakan haji bersama-sama.

Memanjat kesyukuran menjadi duyufurrahman tahun ini, kongsi Liyana, “Ya Allah, maafkan hati yang kadang kurang yakin, padahal semuanya telah engkau jamin.
Awal-awal berat hati nak sahut panggilan haji ni sebab fikir masih alahan. Tapi bila dapat tahu visa lulus, alahan hilang terus! Panggilan last minute yang sangat bermakna. Dia panggil tepat pada masanya, saat hati mental emosi tengah lemah.
Allah Maha Baik. Dalam pada dia bagi ujian berat yang tak mampu untuk ditanggung, tapi sebenarnya Dia selitkan 1001 hikmah dari ujian tu.”
Tambahnya lagi, “Saya mohon maaf sekiranya ada kesalahan / khilaf dari saya sengaja atau tak sengaja sepanjang kita kenal.
Saya juga mohon doa dari sahabat semua, mohon doakan semoga perjalanan haji kami dipermudahkan, dimakbulkan semua doa-doa, kandungan dipelihara Allah, balik dengan hati yang tenang dan mendapat haji mabrur.”

Liyana dan suami pada Februari lalu membawa kakitangan LeeyanaRahman mengerjakan umrah. Berkat niat murni dan tak lokek berkongsi rezeki, mereka berdua sekali lagi dijemput ke Tanah Suci kali ini bagi menunaikan ibadah haji.
Turut sama berangkat mengerjakan haji bersama Liyana ialah usahawan yang juga pengasas Minaz, Hafiza Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Pija.
Liyana kini hamil anak ketiga. Hasil perkongsian hidup hampir 11 tahun dengan Hafiz Abdul Hamid, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tyara Luthfia dan Hanna Qhalisya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Biarlah Allah Sempurnakan Takdir Yang Tertulis Untuk Saya” Luahan Pesakit Positif COVID-19

Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman. Ketakutan akan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan ada kedamaian… semuanya pasti dengan izin Allah SWT.
Janganlah kita merasa terhimpit walau sejengkal pun kerana keadaan pasti akan berubah, baik atau sebaliknya, hanya Dia yang tentukan.
Kisah pilu yang diceritakan oleh Puan Ida, seorang pesakit positif COVID-19 dan kini masih dirawat di Hospital Sungai Buloh jelas menguji keimanan seorang manusia. Semoga wanita hebat ini kembali sembuh dan tidak serik berdoa untuk kesembuhan mereka.
Ini kisah saya menghadapi dugaan COVID-19. Penghujung jalan kisah ini, saya hanya serahkan kepada-Nya…
Saya Ida, berusia 36 tahun. Kini bertugas sebagai setiausaha di sebuah jabatan kerajaan di Putrajaya. Telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 dan kami dikurniakan lima cahaya mata, berusia lingkungan setahun hingga 13 tahun.
Suami saya Adi, juga berusia 36 tahun dan dia baru sahaja menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam, sebelum kini berniaga sepenuh masa. Kami sekarang menetap bersama ibu saya dan 2 orang anak saudara berumur 19 dan 14 tahun.
Suami mula terlibat dengan aktiviti dakwah dan tabligh sejak tahun 2010. Alhamdulillah sejak itu, kehidupan kami sedikit demi sedikit mula berubah. Dari segi cara hidup, ibadat, keyakinan diri mengikut kesesuaian kehendak agama dan sunnah Nabi Muhammad SAW…. InsyaAllah. Itulah sedikit sebanyak kisah latar belakang saya dan keluarga.
Musibah
Secara umum mengetahui salah satu kluster besar yang terlibat dengan isu ini adalah daripada perhimpunan tabliqh Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling pada 28 Februari hingga 2 Mac 2020. Suami saya salah seorang yang telah hadir pada ijtimak tersebut.
Selang beberapa hari pulang, sekitar tanggal 7 Mac, suami saya mula menunjukkan simptom demam panas dan sakit-sakit sendi. Saya sangka hanya demam biasa, cukup diberi Panadol saja. Tapi selepas tu dia mula batuk, sakit tekak, hilang deria bau dan rasa, malah tiba-tiba hilang selera makan.
Memandangkan keadaannya terus berlarutan, pada 10 Mac saya telah membawa suami ke klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Doktor menjalankan prosedur biasa dan ambil darah suami. Berdasarkan keputusan darah, doktor memberitahu, “Nampak macam denggi,” dan suami diminta untuk lakukan ujian darah pada hari berikutnya.
Pada malam tersebut saya pula demam dan sakit-sakit badan. Saya ambil Panadol dan keesokannya, demam saya hilang. Saya pergi ke pejabat macam biasa tapi separuh hari sebab nak bawa suami untuk repeat blood test. Waktu itu, saya tiba-tiba mula batuk dan sakit tekak. Terasa sangat sakit yang teruk sehingga suara menjadi serak.
Saya bawa suami ke klinik kesihatan pada waktu petang dan masa doktor review keputusan blood test suami, dimaklumkan keputusan darah semakin baik dan mungkin hanya terkena demam virus.
Pada masa yang sama suami bertanya kepada doktor, adakah benar sesiapa yang terlibat dengan ijtimak di Sri Petaling perlu ke hospital untuk menjalani saringan COVID-19? Doktor jawab ‘Ya’ dan atas nasihatnya, kami ke Hospital Putrajaya untuk melakukan prosedur tersebut. Saya bawa bersama keputusan blood test suami.
Tiba di hospital, doktor bertanya serba sedikit pada suami dan melihat keputusan blood test yang kami bawa. Katanya, “Likely not COVID-19.” Doktor nasihatkan suami supaya memaklumkan pada kawan-kawan lain yang terlibat dengan ijtimak tersebut jangan panik dan sekiranya ada simptom pergilah ke klinik kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.
Kami pun pulang dengan perasaan tenang. Kesihatan suami juga sudah semakin baik daripada sebelumnya. Malam tersebut saya pula kembali demam menggigil dan lebih teruk dari malam sebelumnya.
Esoknya saya maklumkan boss, saya mohon cuti kerana tak sihat. Pada 13 Mac, saya masih demam, batuk dan suara saya sudah tiada, hilang deria bau dan rasa. Saya terus ke klinik kesihatan untuk dapatkan rawatan tetapi diminta untuk terus ke hospital kerana suami saya terlibat dengan ijtimak.

Terus terang memang saya agak geram dan rasa nak marah pada waktu itu. Perasaan bercampur baur dengan badan tak sihat, rasa macam kena tolak-tolak. Allahuakbar, sampai suami saya kata, “Sabarlah, jangan marah. Kita taat je…” Astarghfirullah.
Sampai di hospital, doktor ambil sampel darah. Masa doktor review keputusan blood test tu, dia mintak saya dan suami buat ujian COVID-19 (swab test) sebagai langkah berjaga-jaga.
Selepas tu doktor beritahu, “Kuarantin untuk orang yang buat test ni adalah 3 hari sampai keluar keputusan.” Dalam tempoh 3 hari ni, pihak hospital akan hubungi untuk maklumkan keputusan sama ada positif atau negatif. Kalau tak terima panggilan, keputusannya adalah negatif…” Doktor juga beri saya cuti sakit selama 3 hari sesuai dengan waktu kuarantin.
3 hari berlalu tanpa ada panggilan daripada pihak hospital. Saya beranggapan keputusan kami negatif dan keadaan kesihatan kami bertambah baik, tidak nampak develops symptom.
16 Mac, saya pergi ke pejabat seperti biasa. Waktu tu saya masih ada sedikit batuk dan suara masih belum pulih sepenuhnya.
17 Mac, setibanya di pejabat saya terima WhatsApp daripada bos, “Kepada pegawai yang kurang sihat diberi cuti tanpa rekod sehingga Jumaat.” Saya terus balik ke rumah, tanpa berfikir ape pun ketika itu, selain rasa syukur…. alhamdulillah.
Tanggal 18 Mac 2020, jam menunjukkan lebih kurang 1.40 tengah hari, saya menerima panggilan daripada doktor di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya. Waktu itu hati rasa berdebar dan berharap, “Ya Allah, janganlah ada berita yang tak baik…”
Positif COVID-19
Namun apa yang semua orang elakkan rupa-rupanya Allah rezekikan pada saya dan suami. Astagfirullah…. Setelah 6 hari baru saya dimaklumkan keputusan saya dan suami positif. Air mata tak boleh ditahan lagi. Allahuakbar, saya maklumkan pada doktor, mintak bagi saya masa untuk bertenang dan saya nak solat.
Waktu tu, macam-macam perkara bermain di fikiran. Macam mana dengan orang lain yang saya dah jumpa. Saya ke pejabat, keluarga besar saya, ipar duai, anak-anak dan ibu bapa mertua saya yang datang bertandang ke rumah. Adik saya sekeluarga daripada Ipoh datang ke rumah juga.
Allahuakbar, itulah perkara yang paling dirisaukan masa tu. Takut sayalah jadi punca orang lain dapat virus ni. Malam tu jugak saya dan suami dihantar ke Hospital Sungai Buloh, anak-anak bersama Ibu saya di rumah.
Namun saya sangat bersyukur, alhamdulillah selama saya dan suami demam, anak-anak dan ibu saya tak terkesan. Mereka semua sihat walaupun anak bongsu saya masih menyusu badan. Sesuai dengan prosedur KKM semua yang ada direct contact dengan kami perlu buat swab test.
Alhamdulillah, Maha Baiknya Allah. Semua mereka negatif. Bos, rakan-rakan di pejabat dan keluarga saya semua Allah pelihara daripada virus ni. Syukur alhamdulillah, itu saja sudah membuatkan saya kembali tenang.

Suasana Hospital
Dalam fasa ujian ini, suami saya lebih tenang dan sentiasa cuba menenangkan semua pihak. Suami beritahu saya, “Apa yang terjadi, ini semua dengan kehendak Allah. Walaupun kita dah berusaha pergi klinik, hospital dan ikut semua nasihat doktor tapi ini kehendak Allah.
Kita hanya mampu berusaha tapi keputusannya tetap apa yang Allah kehendaki,” kata-kata dia buat saya sedar yang saya kena redha dengan ujian ini. Suami bagi tahu lagi, “Umi, yakinlah apa sahaja yang Allah takdirkan terjadi pasti akan terjadi dan apa sahaja yang Allah takdirkan tidak terjadi pasti tidak akan terjadi.”
Kepada anak-anak yang ditinggalkan, saya minta mereka jaga diri dan kesihatan. Walaupn saya dan suami tiada di rumah, rutin harian terutamanya amalan agama mesti dihidupkan seperti biasa. Sebelum arahan masjid dan surau ditutup, menjadi amalan suami dan anak-anak lelaki saya akan solat 5 waktu berjemaah di surau tetapi kerana perintah PKP tersebut, rumahlah yang menjadi surau kami.
Laungkan azan menjelang waktu solat dan solatlah secara berjemaah. Bacaan Al-Quran dan hadis (taklim) perlu berjalan seperti biasa. Saya pesan kepada anak sulung saya, memandangkan dia lelaki yang paling besar ada di rumah, dia perlu jaga keluarga dan ambil tanggungjawab ini sementara kami di hospital.
Alhamdulillah selama di hospital ini, saya dan suami sihat dan semakin baik. Selera makan pun dah bertambah. Setiap 2 hari akan buat swab test, sehinggalah test negatif, baru boleh discaj. Memandangkan tiada rawatan yang spesifik untuk virus ni, doktor hanya beri rawatan Vitamin C dan ubat kumur.
Barisan frontliners di sini, masyaAllah… Syabas dan tahniah untuk mereka semua. Sentiasa sabar, tenang dan profesional walaupun wabak ini masih baru dan arahan kepada mereka juga sentiasa bertukar mengikut keadaan. Tapi mereka sentiasa positif dan bersemangat menggalas tanggungjawab. Kepada mereka, semoga bakti yang dicurahkan akan Allah terima sebagai amalan soleh dan dibalas dengan sebaik-baik balasan… Aamin.
Saya harus terus positif dan bersemangat berjuang dalam keadan ini. Cuma pada waktu mula-mula dapat tahu saya positif COVID-19, memang rasa sangat down. Keadaan sekeliling buat saya tertekan. Saya terfikir anak-anak yang nak ditinggalkan, stigma masyarakat khasnya di tempat kerja.
Saya rasa seperti penjenayah yang sengaja mendedahkan orang lain dalam situasi yang bahaya, padahal saya tak tahu pun yang saya positif. Keputusan pun hanya diketahui selepas 6 hari ujian dilakukan.
Suami ambil inisiatif untuk buat voice note, cerita serba sedikit tentang kronologi kes kami dan apabila mereka dah dengar, Allah mudahkan mereka faham akan situasi sebenarnya. Selepas tu, alhamdulillah mereka semua mula mendoakan dan memberi kata-kata semangat untuk saya terus kuat dalam menghadapi ujian ini.
Alhamdulillah setakat hari ini, Allah hadiahkan ketenangan dan ringankan beban perasaan saya. Allah angkat keluh-kesah saya dan ganti dengan ketenangan jiwa. Cantik sekali aturan-Nya. Selama saya dan suami di sini, sentiasa ada rakan-rakan yang membantu menghantarkan pelbagai makanan untuk ibu dan anak-anak di rumah. Hampir setiap hari pasti ada sahaja makanan di luar rumah. Hebat Allah, benarlah janji-janji Allah.
Apa pun keadaan kita sekarang, bersyukurlah. Baik atau tidak, Allah tak pernah zalim pada hamba-Nya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Itulah paling utama. Betulkan amalan kita kerana bersama-sama amalan agama itu ada janji-janji Allah. Kita ikut semua nasihat doktor dengan baik dan yakinlah yang menyembuhkan itu hanya Allah. Kepada masyarakat di luar sana yang Allah selamatkan daripad ujian ini, bersyukurlah. Doakan kebaikan kepada semua.
Saya sentiasa pujuk hati untuk redha, inilah yang terbaik untuk saya di sisi Allah. Saya selalu cakap pada diri sendiri “Biarlah Allah sempurnakan takdir yang Dia dah tulis untuk saya…” Alhamdulillah satu persatu kebaikan Allah zahirkan bila mana yakin kita itu betul.
Semoga Allah selamatkan saya, keluarga, seluruh rakyat Malaysia dan umat seluruh alam daripada azab-Nya. Semoga dengan ujian ini kita semua lebih dekat dengan Allah, lebih yakin dengan janji-janji-Nya. Semoga Allah bebaskan saya daripada virus ini dan saya dapat pulang kepangkuan keluarga secepat mungkin… Aamin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Inilah Wajah Miss Universe Malaysia 2018. JANE TEOH Mengungguli Mahkota Mengalahkan 17 Finalis Yang Lain

Tahun ini menyaksikan 18 gadis telah terpilih pada pusingan awal pencarian Miss Universe Malaysia 2018, di bawah seliaan direktor kebangsaan Datin Elaine Daly, malam ini seorang peserta akan di mahkotakan sebagai pemenang.
Namun begitu daripada 18 hanya 17 finalis sahaja yang meneruskan perjuangan. Pada malam kemuncak mereka dikecilkan kepada 10 finalis dan berdasarkan jawapan sesi soal jawab hanya empat yang mara ke peringkat akhir. Mungkin ada yang terkejut dengan keputusan juri memandangkan ada peserta kegemaran ramai seperti Natasha Aprilia Benggon dan Chermaine Chew tidak berjaya lolos memasuki peringkat empat terbaik. Namun semuanya berbalik kepada sesi soal jawab yang mencabar pemikiran mereka secara spontan.

Seperti yang diutarakan pengacara karpet merah kepada salah seorang juri iaitu Dato’ Hans Isaac mengenai keputusan untuk tangga empat teratas beliau menjawab, “Semuanya berbalik kepada persediaan peserta itu sendiri malam ini. Bagi saya semua yang berada di sini memiliki kelebihan masing-masing. Ada yang menonjolkan prestasi yang baik sepanjang pertandingan pusingan awal namun sayangnya malam ini mereka kurang menyerlah.”

Penulis kira empat peserta terakhir ini iaitu Jane Teoh, Alexis Sue-ann, Jasebel Shalani dan Liliana Fernandes memiliki jawapan yang cukup bernas dan aura yang cukup meyakinkan bagi membolehkan mereka berada di posisi empat terbaik. Untuk sesi soal jawab di peringkat ini mereka semua diberikan satu soalan yang sama berbunyi, jika anda bergelar Miss Universe Malaysia 2018 apakah legasi yang anda mahu tinggalkan di saat akhir kemahkotaan nanti?
Boleh dikatakan mereka semua memberikan jawapan yang dekat di hati masing-masing dan cukup meyakinkan, di saat ini tiada jawapan yang salah kerana itu adalah harapan dan impian yang mereka mahukan. It is all up to the judges now to pick the best girl who will represent Malaysia at the world stage.
Dan inilah Miss Universe Malaysia 2018, JANE TEOH berusia 20 tahun yang berasal dari Pulau Pinang.


Tempat kedua dimenangi oleh Alexis SueAnn, tempat ketiga dan ke mpat pula dimenangi oleh Liliana Fernandes dan Jasebel Shalani. Keputusan telah pun diputuskan dan diharapkan semua peminat-peminat dunia ratu cantik Malaysia akan menyokong Jane di peringkat antarabangsa pula nanti. Semestinya setahun persiapan untuk menghadapi pertandingan Miss Universe 2018 akan menyaksikan perubahan dan juga transformasi kepada ratu cantik Malaysia yang paling baru ini
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Didik Anak Berpuasa? Umur Berapa Tahun Perlu Dimulakan? Persoalan Yang Sering Berlegar Di Fikiran Ibubapa

“Tahun ni adik dah kena mula puasa tau. Tak dapat puasa penuh satu hari, setengah hari pun boleh. Nanti bila adik dah besar sikit kena puasa penuh ya.”
Bila tiba bulan Ramadan, bagi ibubapa yang mempunyai anak kecil dalam lingkungan 5 hingga 8 tahun pasti akan mengungkapkan dialog di atas untuk menggalakkan anak-anak untuk belajar mengerjakan rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.
Sebenarnya pada umur berapakah kanak-kanak perlu diberi pendedahan tentang ibadat puasa? Laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikel Irsyad Fatwa Ramadan merungkai perkara tersebut.

Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh. Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ
Maksudnya: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.
Sunan Abi Dawud (4402)
Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyubi:
(وَالْعَقْلُ) أَيْ التَّمْيِيزُ فَيَصِحُّ صَوْمُ الْمُمَيِّزِ
Maksudnya: (Dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah beraqal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. (Rujuk Hasyiyata al-Qalyubi wa ‘Umairah 2/76)

Timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa? Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawall umur tujuh tahun, dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia engggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadith suruhan mendidik anak-anak untuk solat:
مُرُوا الصَّبِيَّ بِالصَّلاَةِ إِذَا بَلَغَ سَبْعَ سِنِينَ وَإِذَا بَلَغَ عَشْرَ سِنِينَ فَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا
Maksudnya: Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun, dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).
Sunan Abi Dawud (494) (Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, hlm. 38 dan Fiqh al-Siyam hlm. 23)

Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut, dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa.
Tuntasnya bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun, dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hukum ini diqiyaskan dengan hadith mendidik anak-anak untuk solat yang dinyatakan di atas.
Wallahu a’lam.
Artikel disediakan oleh Unit Buhuth,Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan https://www.muftiwp.gov.my/ Foto: Pixabay.com
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


