Fesyen

Pereka Muda & Berdarah Melayu, Batik Masih Menjadi Tangunggjawab RIDZUAN ALIAS

Menyertai pertandingan Piala Seri Indon suatu ketika dahulu membawa tuah kepada figura bernama Ridzuan Alias. Labelnya kian dikenali dek sentuhan elemen batik dalam rekaanya dan kian menempa nama dalam industri fesyen tanah air. Anak ke tiga dari lima orang adik beradik yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur ini juga merupakan Pengarah Kreatif bagi jenama terkenal, KREE. Pengalaman Ridzuan dalam bidang fesyen jelas terbukti apabila setiap hasil rekaanya mendapat perhatian ramai.

BAGAIMANAKAH ANDA BOLEH MENCEBURI BIDANG FESYEN?

Salah satu sebab saya ceburi bidang fesyen ialah kerana minat yang amat mendalam dari kecil lagi. Saya mulai eksplorasi seni reka melalui latihan industri bersama pereka fesyen, Rico Rinaldi. Selepas itu saya mula dilatih untuk mengetuai kumpulan kreatif di KREE. Kini saya menggalas tugas sebagai Pengarah Kreatif di KREE dan juga Ridzuan Alias.

 

APAKAH YANG MEMBUATKAN ANDA MENCINTAI BIDANG FESYEN DAN SIAPAKAH TULANG BELAKANG ANDA SELAMA INI?

Saya menggunakan fesyen sebagai medium untuk saya mengekspresikan diri saya. Saya mencintai fesyen kerana ia sangat luas dan bagi saya, industri ini tidak pernah membosankan. Ianya boleh berkembang lagi dengan orang-orang yang mempunyai minat yang mendalam terhadap fesyen. Sumber dorongan saya pastinya keluarga saya, terutamanya ibu bapa saya yang tidak pernah membantah saya untuk menceburi bidang fesyen. Malah semangat dan dorongan yang diberikan amat bermakna buat perjalanan karier saya. Guru seni saya iaitu Cikgu Lydiawati juga antara pendorong saya yang hebat kerana beliaulah insan yang banyak memberi tunjuk ajar dalam bidang seni.

APAKAH SIGNATURE JENAMA ANDA DAN MENGAPA REKAAN ANDA BANYAK BERUNSURKAN SENI BATIK?

Ridzuan Alias adalah warna, over the top dan lapisan. Manakala KREE pula ialah attention.  Batik ialah tanggungjawab saya sebagai anak muda yang berdarah melayu dan perlu diadaptasikan mengikut kesesuaian masa sekarang. Batik ialah seni yang dicorak pada fabrik. Ianya halus dan cukup personal.

KONGSIKAN KOLEKSI TERBAHARU ANDA

Koleksi terbaru Ridzuan Alias yang dipentaskan pada Kuala Lumpur Fashion Week 2018 untuk musim Panas 2019 ialah batik yang digabungkan dengan pelbagai fabrik. Bertemakan unsur seni Tibet. Manakala koleksi KREE yang turut sama dipentaskan di KLFW 18 bertemakan Power Dressing yang mengisahkan kuasa, tanggungjawab dan kerjaya seseorang suri.

 

APAKAH KEKUATAN JENAMA ANDA DAN BAGAIMANAKAN ANDA MENDAPAT INSPIRASI UNTUK MENGHASILKAN SESUATU REKAAN?

Saya banyak menitikberatkan pendapat si pemakai. Jadi saya perlu sentiasa relevan dan mengikut peredaran masa. Saya juga sukakan kesegaran di dalam penghasilan rekaan koleksi saya. Manakala saya mendapat inspirasi dan ilham adalah dari si pemakai itu sendiri. Dari situ saya mula olahkan satu persatu agar ianya sesuai dengan si pemakai dan sesuai dengan konsep yang diingini.

APAKAH PANDANGAN ANDA MENGENAI INDUSTRI FESYEN TEMPATAN BUAT MASA SEKARANG?

Pada pendapat saya, industri fesyen tempatan masa kini amat memberangsangkan. Terdapat banyak jenama baru yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dan ia merupakan impak yang positif dalam industri fesyen tanah air. Ia juga adalah persaingan yang sihat. Pereka baru perlu lebih menonjol untuk industri fesyen menjadi lebih inovatif, berani dan segar. Jangan simpan bakat itu. Saya berharap agar satu hari nanti, kita bakal berdiri setanding dengan kota-kota fesyen lain.

BAGAIMANAKAH ANDA MELIHAT JENAMA ANDA PADA 5 TAHUN AKAN DATANG?

Impian saya untuk Ridzuan Alias dalam masa 5 tahun ialah label saya berkembang serta relevan untuk masyarakat. Selaian itu, saya juga ingin melangkah lebih jauh dalam bidang yang saya ceburi bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa, InsyaAllah.

 

KONGSIKAN SERBA SEDIKIT PENGALAMAN YANG SUKAR DILUPAKAN SEPANJANG BERGELAR PEREKA FESYEN

Pengalaman yang paling sukar untuk saya lupakan ialah saya perlu siapkan tiga koleksi besar dan berbeza dalam waktu yang amat singkat. Selain itu, pengalaman yang boleh saya kongsikan ialah cabaran untuk memberi kepuasan buat pelanggan kesayangan kami. Untuk mencapai kepuasan 100 peratus itu, kami perlu bekerja 300 peratus. Namun pengalaman itulah yang mematangkan saya dan menjadikan saya seorang yang lebih positif.

SIAPAKAH FESYEN PILIHAN ANDA?

Ikon pereka tempatan saya ialah Dato Bernard Chandran kerana beliau mempunyai nilai estetika yang tinggi, beliau teguh dalam pegangan itu dan beliau sangat berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan di luar jangkaan. Ikon antarabangsa pilihan saya pula ialah Oscar De La Renta. Ini kerana rekaan beliau sangat menepati trend, permintaan dan super amazing detailing. Saya sentiasa nantikan setiap kali pementasan fesyen beliau!

 

NASIHAT ANDA BUAT PEREKA BAHARU?

Nasihat saya ialah perlu berani dan jangan takut  untuk mencuba dan terokai perkara-perkara baharu. Ia adalah proses yang boleh menjadikan kita sebagai pereka yang lebih baik. Selain itu, sentiasa berpegang teguh pada pendirian. Ketahui kelebihan anda sebagai pereka dan jadikan ia sebagai signature dalam setiap rekaan. Paling penting jangan cepat mengalah dan berputus asa.

IKLAN
Share