
Sammi Cheng Awet Muda Usia 53 Tahun
Mereka yang membesar pada era 90an pasti kenal dengan figura jelita ini. Tengok Sammi Cheng, terus ingat wajah cantik dan kulit mulusnya dalam iklan televisyen produk penjagaan kulit terkemuka dunia, SK ll.
Sammi atau nama penuhnya Cheng Sau Man pernah dilantik sebagai duta jenama berkenaan bagi pasaran Asia pada tahun 2004. Raut wajah menawannya yang menghiasi kaca televisyen memikat sebilangan besar peminat seni di negara ini sampai sekarang.
Antara filem lakonan Sammi Cheng yang terkesan di ingatan penonton termasuklah Needing You, Infernal Affairs dan Summer Holiday.
Melihat penampilannya hari ini pasti ada yang tidak menyangka dia sudah pun mencecah usia 50an. Selain masih aktif membintangi filem dan drama, Sammi juga ligat menjayakan konsert dengan tarian lincah ketika berada di atas pentas.
Memang kagum tengok stamina Sammi Cheng sewaktu membuat persembahan. Demi mengekalkan kecergasan fizikal, figura ini rajin pergi ke gym dan mengamalkan rutin senaman harian. Ogos nanti, Sammi bakal menginjak usia 54 tahun.
Sammi Cheng diberi gelaran Ratu Pop Kantonis (Cantapop) apabila albumnya pernah mencatat jutaan jualan di seluruh Asia. Dia dilahirkan pada 19 Ogos 1972 dan dilapor menceburi industri seni sejak berusia 16 tahun melalui pertandingan nyanyian pada tahun 1988.
Difahamkan karier lakonan Sammi bermula dengan drama TV dan filem komedi romantis Needing You bersama pelakon kacak, Andy Lau berjaya melonjakkan namanya.
Sammi Cheng pernah memenangi Anugerah Artis Wanita Hong Kong Popular dalam Jade Sold Gold Best Ten Music Awards sebanyak tiga kali dan Anugerah MTV Asia paling digemari dari tahun 2002 hingga 2004.
Di sebalik dunia glamor dan kemahsyurannya di persada hiburan Hong Kong, Sammi mengambil keputusan berehat daripada karier seni selama lebih dua tahun sekitar 2004.
Memetik laporan media Hong Kong, isteri Andy Hui ini mendedahkan sepanjang tempoh itu dia mengalami depresi yang teruk dan berjuang mengatasinya.
Namun hasil sokongan insan tersayang dan khidmat terapi, Sammi berjaya keluar daripada penderitaan itu. Buktinya, dia berjaya merangkul anugerah Best Actress, 41st Hong Kong Film Awards 2023 menerusi lakonan ‘Lost Love’.
This website uses cookies.