“Inspirasi Usahawan Muda & Mahasiswa” Dato’ Sri Siti Nurhaliza Dilantik Sebagai Profesor Adjung UiTM

Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengorak langkah signifikan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan universiti melalui pelantikan Yang Berbahagia Dato’ Sri Siti Nurhaliza binti Tarudin sebagai Profesor Adjung Keusahawanan UiTM.

Pelantikan rasmi disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc dalam satu majlis penuh bermakna di Bangunan Canseleri, UiTM Shah Alam.

Kredit Foto: Facebook Naib Canselor Universiti Teknologi MARA

Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi universiti, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) selaku fakulti pengusul pelantikan, serta wakil industri.

Ikon Keusahawanan

Pelantikan Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai Profesor Adjung Keusahawanan UiTM merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau bukan sahaja sebagai ikon seni negara, tetapi juga sebagai usahawan wanita berdaya saing yang berjaya membina empayar perniagaan tersendiri.

Kredit Foto: IG ctdk

Kejayaannya menampilkan gabungan antara kreativiti, integriti, dan daya inovasi dalam mengangkat jenama tempatan ke peringkat antarabangsa menjadi inspirasi kepada ribuan usahawan muda dan mahasiswa di seluruh negara.

Komitmen UiTM

Dalam ucapan beliau, Naib Canselor UiTM menzahirkan penghargaan dan tahniah atas kesediaan Dato’ Sri menerima pelantikan tersebut.

“UiTM amat berbangga menerima Dato’ Sri Siti Nurhaliza sebagai sebahagian daripada keluarga besar universiti. Pelantikan ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan beliau dalam industri kreatif dan keusahawanan, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam kolaborasi antara dunia akademia dan industri.”

Beliau menegaskan bahawa UiTM sentiasa komited untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berjiwa usahawan, berpemikiran strategik dan berdaya tahan.

“Pelantikan ini memperkukuh ekosistem keusahawanan UiTM dan membuka ruang kepada pelajar untuk menimba ilmu terus daripada tokoh yang telah membina empayar perniagaan dengan nilai, kejujuran dan ketekunan.”

Peranann Sebagai Profesor Adjung UiTM

Sebagai Profesor Adjung Keusahawanan UiTM, Dato’ Sri Siti Nurhaliza akan memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar dan warga akademik melalui perkongsian pengalaman sebenar dunia keusahawanan termasuk sesi masterclass, entrepreneurship

forum, dan industry mentorship.

Beliau juga akan membantu memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan industri kreatif serta membuka peluang kerjasama rentas bidang dalam pengkomersialan idea dan inovasi pelajar.

Inspirasi

Dalam ucapannya, Dato’ Sri menyatakan rasa terharu dan kesyukuran atas kepercayaan yang diberikan.

“Saya amat berbesar hati menerima pelantikan ini. Keusahawanan bagi saya bukan hanya tentang keuntungan tetapi tentang nilai, kejujuran dan tanggungjawab sosial. Saya berharap dapat berkongsi pengalaman sebenar dunia perniagaan agar pelajar memahami bahawa kejayaan datang daripada usaha gigih, kesungguhan dan keikhlasan.”

BACA JUGA: Nyanyikan Lagu Tema Hari Kebangsaan 2025 “Lagu-Lagu Seumpama Ini Sangat Dekat Dengan Jiwa & Portfolio Karier Saya” DATO’ SRI SITI NURHALIZA

Peranan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) UiTM

Naib Canselor turut merakamkan penghargaan kepada Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) atas inisiatif mencadangkan pelantikan ini sebagai usaha memperkukuh agenda keusahawanan universiti.

“FPP telah memainkan peranan penting dalam menjayakan pelantikan ini. Ia langkah strategik yang mendekatkan dunia akademia dengan industri dan memperkukuh jaringan ilmu serta pengalaman sebenar kepada pelajar.”

UiTM Menuju Aspirasi Universiti Bertaraf Global

Pelantikan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa pelajar agar menjadi usahawan berdaya tahan dan beretika, sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi “Globally Renowned University by 2025”.

UiTM percaya bahawa kolaborasi strategik dengan tokoh industri berpengaruh seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza akan melahirkan generasi baharu graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi juga mampu menjadi pemimpin dan pencipta peluang dalam dunia keusahawanan global.

Share
Published by
Amy Mohd