
Puteri Sirivannavari
Puteri Sirivannavari membuktikan pengaruhnya di pentas antarabangsa apabila mencuri perhatian sepanjang lawatan rasmi Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn ke Paris. Bukan sekadar mengiringi baginda dalam kunjungan bersejarah ke Perancis, anakanda diraja itu turut mengangkat warisan fesyen Thailand menerusi penampilan anggun dalam busana tradisional Thai Dusit, sekali gus memperlihatkan bagaimana budaya tempatan mampu diketengahkan dengan penuh elegan di pentas dunia.
aaaaaaaasssDi sebalik istiadat diraja dan protokol ketat, Puteri Sirivannavari yang berusia 29 tahun itu berjaya mencuri perhatian antarabangsa apabila tampil memperkenalkan keindahan warisan fesyen Thailand di pentas global.
Kunjungan bersejarah itu berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-170 hubungan diplomatik antara Thailand dan Perancis. Raja Maha Vajiralongkorn bersama Raja Permaisuri Suthida memenuhi jemputan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isteri, Brigitte Macron di Istana Élysée dalam satu majlis santapan negara yang penuh istiadat.
Turut mengiringi pasangan diraja ialah Puteri Sirivannavari, anakanda Raja Maha Vajiralongkorn bersama bekas permaisuri, Sujarinee Vivacharawongse. Kehadirannya bukan sekadar sebagai wakil keluarga diraja, malah sebagai ikon budaya moden Thailand yang semakin dikenali di pentas antarabangsa.
Lawatan ini turut membawa makna yang cukup mendalam kerana merupakan lawatan rasmi pertama Raja Rama X ke Perancis selepas negara itu melalui tempoh berkabung susulan pemergian Puteri Soamsawali pada awal Jun lalu. Ia juga menjadi lawatan rasmi kedua baginda ke luar negara sejak menaiki takhta pada tahun 2016.
Ketibaan delegasi diraja Thailand di Istana Élysée disambut penuh penghormatan oleh Presiden Emmanuel Macron. Raja dan Raja Permaisuri berjalan seiring bersama pasangan presiden di atas hamparan karpet merah menuju ke pintu utama istana, manakala Puteri Sirivannavari mengikuti dari belakang.
Satu detik spontan menjadi perhatian jurugambar antarabangsa apabila Puteri Sirivannavari berhenti seketika untuk memberikan pose kepada jurugambar yang menunggu di hadapan istana.
Walaupun tindakan tersebut dikatakan sedikit menyimpang daripada protokol diraja yang lazimnya sangat ketat, ia memperlihatkan keyakinan serta karisma seorang puteri moden yang selesa berinteraksi dengan media antarabangsa.
Lebih daripada sekadar penampilan elegan, Puteri Sirivannavari menggunakan pentas berprestij itu untuk memperkenalkan identiti budaya negaranya melalui fesyen.
Puteri yang dikenali sebagai pereka fesyen profesional itu memilih untuk mengenakan Thai Dusit, salah satu daripada lapan busana kebangsaan rasmi Thailand. Busana berkenaan direka khas oleh pereka tempatan terkenal, Theeraphan Wannarat dari Tirapan Atelier.
Keistimewaan busana tersebut terletak pada penggunaan fabrik tenunan sutera tradisional Thailand yang dihasilkan menggunakan benang sutera berkualiti tinggi. Pilihan itu jelas menggambarkan komitmen Puteri Sirivannavari dalam memartabatkan hasil kraftangan tempatan di pentas antarabangsa.
Namanya bukan asing dalam dunia fesyen. Beliau telah membina jenama fesyen sendiri dan sering mempersembahkan koleksinya di kota-kota fesyen dunia. Minat mendalam terhadap seni reka dan tekstil menjadikan beliau antara kerabat diraja Asia yang aktif mempromosikan industri kreatif negara.
Selain bergelar pereka fesyen, sang puteri juga merupakan atlet ekuestrian yang pernah mewakili Thailand dalam pelbagai kejohanan antarabangsa. Keupayaannya mengimbangi tanggungjawab diraja, kerjaya kreatif dan sukan menjadikan beliau contoh wanita muda yang berjaya mengangkat nama negara melalui pelbagai bidang.
Sepanjang lawatan tersebut, Raja Maha Vajiralongkorn turut menghadiri pameran La Mode en Majesté – Royal Thai Dress: From Tradition to Modernity yang berlangsung di Musée des Arts Décoratifs, Paris.
Pameran yang berlangsung dari 13 Mei hingga 1 November 2026 itu menghimpunkan koleksi busana mendiang Ratu Sirikit serta memperlihatkan evolusi pakaian diraja Thailand daripada tradisi kepada interpretasi moden. Ia sekali gus menjadi platform memperkenalkan keindahan tekstil, tenunan dan identiti budaya Thailand kepada masyarakat antarabangsa.
Kehadiran keluarga diraja ke pameran tersebut memperlihatkan usaha berterusan institusi diraja Thailand dalam memelihara warisan budaya negara sambil menyesuaikannya dengan perkembangan dunia moden.
Bagi rakyat Asia, khususnya Malaysia, perjalanan ini membawa mesej yang cukup bermakna. Gelaran diraja bukan sekadar simbol kemuliaan, tetapi amanah untuk memelihara warisan bangsa, menyokong industri tempatan dan menjadi wajah negara di mata dunia.
Melalui fesyen, seni dan budaya, Puteri Sirivannavari membuktikan bahawa identiti nasional mampu menjadi bahasa sejagat yang menghubungkan negara, sekali gus menginspirasikan generasi muda agar menghargai akar budaya sendiri sambil berani melangkah ke pentas antarabangsa.
Artikel berkaitan: Thylane Blondeau Kahwin Usia 25 Tahun, Kisah ‘Kanak-Kanak Tercantik Di Dunia’ Kini Temui Bahagia
This website uses cookies.