Keibubapaan

Ratu Rania, Raja Abdullah II Timang Cucunda Kembar Diraja Talia & Rania, Bahagia Berganda Istana Jordan

Ratu Rania & Raja Abdullah II timang cucunda kembar diraja, Talia dan Rania, sekali gus membawa kebahagiaan berganda buat keluarga diraja Jordan. Dua puteri kecil itu merupakan cahaya mata kepada puteri sulung mereka, Puteri Iman binti Abdullah II bersama suaminya, Jameel Alexander Thermiotis. Lebih istimewa, salah seorang bayi kembar berkenaan diberi nama Rania, sama seperti nenda tercinta, menjadikan kelahiran ini cukup sentimental buat Ratu Jordan itu.

Khabar gembira keputeraan Talia dan Rania diumumkan oleh Royal Hashemite Court selepas Puteri Iman selamat melahirkan pasangan kembar perempuan itu pada 14 Ogos 2026. Pasangan berkenaan sebelum ini telah dikurniakan puteri sulung, Amina, yang dilahirkan pada Februari 2025.

Kelahiran cucunda kembar ini nyata membawa kegembiraan besar buat keluarga diraja Jordan. Malah menerusi perkongsian terbaharu Ratu Rania Al Abdullah di media sosial, sisi lembut baginda sebagai seorang nenda begitu jelas terpancar ketika mendakap cucunda yang sekian lama dinantikan.

Ratu Rania & Raja Abdullah
Ratu Rania & Raja Abdullah

Ratu Rania & Raja Abdullah II Teruja Dakap Cucunda Kembar

Tidak perlu kata-kata indah untuk menggambarkan betapa bahagianya pasangan diraja ini. Dalam foto yang dikongsikan kepada umum, Ratu Rania & Raja Abdullah II kelihatan penuh kasih mendukung cucunda mereka. Di sebalik segala protokol dan kemegahan monarki, momen itu memperlihatkan sisi peribadi nenda yang sedang menikmati nikmat keluarga.

Ratu Rania & Raja Abdullah II turut meluahkan kegembiraannya menerusi kapsyen yang menyifatkan kedua-dua cucunda itu sihat, bahagia dan akhirnya berada dalam dakapan keluarga setelah sekian lama dinantikan.

Praise be to Allah, the bestower of the most beautiful gifts. The most merciful has honoured us with the arrival of our precious twin daughters: Talia and Rania. We ask Allah to bless and protect them and to fill their lives with light, blessings and happiness.

Ratu Rania & Raja Abdullah
Ratu Rania & Raja Abdullah
Ratu Rania & Raja Abdullah

Baginda turut mengucapkan tahniah kepada Puteri Iman dan Jameel serta Amina yang kini memikul peranan baharu sebagai kakak kepada dua adik perempuan sekaligus.

Keterujaan Ratu Rania & Raja Abdullah II sebenarnya sudah dapat dirasakan sejak awal. Ketika mengumumkan kehamilan Puteri Iman sebelum ini, baginda berkongsi foto anakanda bersama Jameel dan Amina dengan menyifatkan bakal kehadiran ahli keluarga baharu itu sebagai satu lagi kegembiraan buat mereka.

Cucunda Kembar Dinamakan Ke Atas Nama Nenda, Ratu Rania

Lebih menyentuh hati, nama pasangan kembar diraja itu turut membawa makna tersendiri. Talia dikaitkan dengan pengertian ’embun pagi’ atau ’embun lembut’, yang membawa perlambangan kesegaran, keindahan dan pembaharuan. Nama yang halus dan feminin itu seakan menggambarkan hadirnya sinar baharu dalam keluarga Puteri Iman.

Ratu Rania & Raja Abdullah

Namun, nama Rania pula mempunyai nilai sentimental yang jauh lebih peribadi. Nama tersebut bukan sahaja dikaitkan dengan makna seseorang yang memandang atau menatap dengan penuh perhatian dalam bahasa Arab, malah mengabadikan nama nendanya sendiri, Ratu Rania.

Seorang Ratu yang namanya dikenali dunia, kini mempunyai seorang cucunda yang berkongsi nama dengannya. Indahnya, nama itu menjadi pengikat dua generasi wanita keluarga diraja Jordan, daripada seorang nenda kepada cucunda yang baru mengenal dunia.

Ratu Rania & Raja Abdullah II Kini Nenda 4 Cucunda

Puteri Iman, 29, merupakan puteri sulung Ratu Rania & Raja Abdullah II, serta anakanda kedua pasangan diraja berkenaan selepas Putera Mahkota Al Hussein bin Abdullah II. Baginda turut mempunyai dua adinda, Puteri Salma dan Putera Hashem.

Puteri Iman mendirikan rumah tangga dengan Jameel Alexander Thermiotis dalam sebuah istiadat perkahwinan diraja di Beit Al Urdun Palace, Amman pada Mac 2023.

Jameel dilahirkan di Caracas, Venezuela pada 1994 dan mempunyai keturunan Greek. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan mempunyai pengalaman kerjaya dalam sektor kewangan di New York.

Hampir dua tahun selepas perkahwinan, pasangan ini menyambut kelahiran puteri sulung mereka, Amina, pada Februari 2025. Nama Amina sendiri mempunyai makna indah dalam bahasa Arab yang membawa pengertian seperti dipercayai, aman, selamat dan dilindungi. Kini dengan kelahiran Talia dan Rania, Puteri Iman dan Jameel bergelar ibu bapa kepada tiga puteri kecil.

Dalam kenyataan bersama sempena kelahiran pasangan kembar berkenaan, Puteri Iman dan Jameel menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas anugerah dua puteri mereka serta berdoa agar Talia dan Rania sentiasa diberkati, dilindungi serta menjalani kehidupan yang dipenuhi cahaya dan kebahagiaan.

Royal Hashemite Court turut menyampaikan ucapan tahniah kepada pasangan tersebut serta Raja Abdullah II dan Ratu Rania atas khabar menggembirakan itu.

Di sebalik gelaran, protokol dan kehidupan istana, kelahiran Talia dan Rania akhirnya membawa kisah yang cukup dekat dengan hati setiap keluarga. Bagi Ratu Rania khususnya, kelahiran ini tentu lebih berbekas di hati. Bukan sahaja dua cucunda hadir serentak membawa bahagia berganda, malah salah seorang daripada mereka kini membawa namanya. Talia dan Rania, dua puteri kecil yang hadir menambah seri generasi baharu keluarga diraja Jordan.

Artikel berkaitan: Cristiano Ronaldo & Georgina Rodriguez Akhirnya Menikah Selepas 10 Tahun Bersama, Kisah Cinta Dari Butik Gucci Ke Gerbang Perkahwinan

Share
Published by
Norzalina