Rita Rudaini Ibu Terbahagia, Airit Rayyan Rizqin Pecah Rekod MRSM Semalaysia Acara 110 Meter Lari Berpagar!

Sejuk perut ibu mengandung dikurniakan seorang anak yang serba boleh. Kejayaan anak Rita Rudaini iaitu Airit Rayyan Rizqin sekali lagi menjadi bualan khalayak khususnya warga maya apabila anak sulung aktres jelita berkenaan mencipta sejarah dalam arena sukan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM). Hebat!  

Khabar gembira itu dikongsikan Rita di media sosial miliknya baru-baru ini ketika dia menghadiri Kejohanan Olahraga MRSM Kebangsaan 2026. Turut bersama-sama ibu tunggal inspirasi ini ialah anak keduanya, Airit Qaqa Arjuna sebagai tanda sokongan kepada Airit Rayyan Rizqin.  

Difahamkan pelajar aktif berusia 17 tahun berkenaan menyertai acara 100 meter Lari Berpagar mewakili negeri Selangor.

Airit Rayyan Rizqin Pecah Rekod

Bersandarkan stamina dan keazaman yang tinggi saat perlumbaan, Airit Rayyan berjaya menewaskan peserta lain dan merangkul pingat emas dengan catatan masa terpantas 15.1 saat. Sekaligus memecahkan rekod kejohanan. 

Ternyata, Airit Rayyan Rizqin menunjukkan minat mendalam terhadap bidang sukan dan berpotensi besar menjadi seorang atlet berjaya.  

Lebih bermakna, komitmen Rita Rudaini yang sering turun padang memberi sokongan kepada anak tersayang menjadi penyuntik semangat kepada Airit untuk terus melangkah jauh.  

Titip Rita, “My first born. You were the one who made ‘Mom’.” 

Tambah pelakon drama Jika Seorang Pentaksub ini lagi, “Tahniah Champ,

Airit Rayyan Rizqin. Bangga jadi sebahagian daripada Kontinjen Selangor.

Terima kasih kepada guru-guru, jurulatih dan semua rakan seperjuangan yang sentiasa ada di belakang kejayaan ini. Terus rendah diri, terus berlari, terus cipta sejarah. This is just the beginning.” 

Ibu Airit Rayyan Rizqin, Rita Rudaini

Rita bukan hanya menjadi tumpuan kerana personaliti yang dimiliki tetapi juga semangatnya sebagai ibu tunggal dalam membesarkan dua orang anak.  

Artikel https://www.nona.my/officially-50-macam-tak-menua-rita-rudaini-tampil-awet-muda-sambut-ulang-tahun-kelahiran-ke-50/

11 April lalu merupakan ulang tahun kelahiran Rita Rudaini yang ke-50. Sebelum ini, figura popular tersebut dianugerahkan Pingat Jasa Baik (PJB) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau pada Jun 2025.  

Berkat kecekalan sebagai ibu tunggal, Rita Rudaini turut menerima anugerah Ibu Ikon Malaysia 2024/2025. Kegigihannya mendidik dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna dengan kudratnya selama belasan tahun hingga mereka cemerlang dalam akademi menjadi sumber inspirasi kepada golongan ibu.

Selain hampir tiga dekad bergelar anak seni, Rita Rudaini juga merupakan usahawan dan mempunyai rangkaian minyak wangi keluarannya sendiri.   

Share
Published by
Suzi