Sebelum Mengambil Keputusan Untuk Menulis Wasiat, Seharusnya Halusi Keindahan Wasiat Yang Sebahagian Daripada Syariat Islam!

SOALAN:

Saya terdengar hasrat teman perniagaan yang ingin mewasiatkan seluruh hartanya kepada anak-anak yatim. Biarpun belum mendirikan rumahtangga, teman saya ini masih mempunyai saudara-mara kandung seramai dua orang. Saya ingin bertanya, apakah kepentingan wasiat sebagai orang Islam dan apakah pembahagian harta pusaka yang sebaiknya?

JAWAPAN:

Jika teman saudara bukan beragama Islam, beliau mempunyai kuasa tanpa sekatan untuk memindahkan harta pusakanya kepada sesiapa yang dikehendaki, termasuklah kepada rumah anak-anak yatim. Sebaliknya, Pewasiat Islam terikat dengan peraturan tertentu menurut Undang-undang Islam yang ditetapkan.

Sebelum seseorang mengambil keputusan akhir untuk menulis wasiat, beliau seharusnya menghalusi keindahan wasiat yang merupakan sebahagian daripada Syariat Islam. Menerusi Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat (2:180), apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia meninggalkan kebaikan (harta) supaya membuat wasiat memihak kepada ibubapanya dan sanak saudara dengan baik. Suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertaqwa.

Daripada ayat ini maka jelaslah maksud bagi orang-orang yang bertaqwa (takut kepada Tuhan) hukumnya adalah wajib membuat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiat, atau dari segi bahasa bemaksud sambung dan definisi syarak bermaksud sedekah hak milik harta yang dilaksanakan selepas kematian, merupakan sebuah amalan baik di dunia dengan harapan sesuatu kebaikan dapat diteruskan dengan harta peninggalan tersebut.

Bagi orang Islam, wasiat boleh dibuat hanya untuk 1/3 daripada harta yang ada dan kepada BUKAN WARIS, manakala baki 2/3 lagi hendaklah dibahagikan mengikut Faraid.

WASIAT BAGI MEMBOLEHKAN

  1. Wasiat ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat Pewasiat.
  2. Menentukan hasrat Pewasiat diberikan kepada orang yang ditentukan samada ahli keluarga atau pihak lain.
  3. Menentukan isteri, suami, anak dan tanggungan lain dijaga kepentingan mereka sehingga masa yang ditentukan dalam wasiat.
  4. Menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka yang telah ditentukan dan dijamin dengan warisan yang ditinggalkan.
  5. Melantik Penjaga bagi anak-anak di bawah umur yang memerlukan jagaan orang yang dipercayai.

RUKUN WASIAT

Rukun wasiat terdiri daripada empat perkara iaitu Pewasiat, penerima wasiat, harta yang diwasiatkan dan lafaz wasiat. Contoh lafaz, “Serahkan seribu kepadanya selepas kematian saya”.

PEWASIAT YANG SAH

  1. Mukallaf
  2. Merdeka
  3. Sukarela ketika mewasiatkannya

PEWASIAT YANG TIDAK SAH

  1. Kanak-kanak
  2. Orang gila
  3. Orang yang dipaksa
  4. Hamba walaupun mukatab yang tidak diizin oleh penghulunya

Pada asalnya wasiat hanya boleh dibuat kepada bukan waris yang layak menerima pusaka, tetapi ulamak berpendapat:

  1. Sah wasiat yang dibuat untuk ahli waris samada lebih 1/3
    atau tidak jika diluluskan oleh semua ahli waris,
  2. Sah wasiat yang dibuat untuk bukan waris melebihi 1/3 jika diluluskan oleh semua ahli waris. Kelulusan/persetujuan waris yang diambil kira ialah selepas kematian Pewasiat.

Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan yang menunjukkan niatnya (tersirat). Contohnya, Pewasiat menarik balik wasiatnya dengan menjalankan urusniaga berkaitan harta yang diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.

Dengan Kerjasama: Umie Zaitun Junoh (B.Syariah Law (Hons) Malaya, DSLP U.I.A.M), Peguam Syarie di Kuala Lumpur

IKLAN
Share