Selamat Jalani Pembedahan Lutut Usia 75 Tahun, Dida Sinclair Syukur Lebih Sihat & Hargai Sokongan Keluarga

Setiap orang apabila meningkat usia pasti terdedah dengan pelbagai ragam kesihatan. Tidak terkecuali, Dida Sinclair yang merupakan ibu kepada penyampai radio dan pengacara popular iaitu Aishah Sinclair.  

Menerusi perkongsian di media sosial, Dida atau nama penuhnya Khadijah Abdul Rahman memaklumkan mengenai keadaan terbaharu dirinya yang berdepan dengan masalah lutut. Demi memastikan masalah itu tidak terus memudaratkan kesihatan, Dida Sinclair bersetuju untuk menjalani pembedahan menukar sendi lutut.  

Dida Sinclair Jalani Pembedahan Lutut

Biarpun diuji dengan masalah kesihatan pada usia 75 tahun namun wanita ini tetap ceria dan positif melalui kehidupan. Khabarnya ibu mentua kepada penyanyi Yuna dan Bunga Citra Lestari ini sudah pun menjalani pembedahan tersebut pada 20 Jun lepas. 

Mengimbau kembali hari pembedahan menukar sendi lutut, Dida memberitahu, “Alhamdulillah, saya berasa sihat dan sudah mula berjalan sejak hari kedua lagi.

Saya dapat mengurus kesakitan dengan sangat baik dan pemulihan saya yang cepat ini adalah hasil daripada kepakaran pasukan pakar bedah, doktor yang membuat rawatan susulan serta jururawat yang begitu cemerlang di Hospital Selayang.  

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pasukan yang diketuai oleh En. Richford.”  

Dalam nada syukur, Dida Sinclair berkata proses pemulihan dirinya berjalan lancar. Apatah lagi dia mempunyai support system yang baik daripada insan sekeliling.  

“Saya juga memperoleh ketenangan jiwa dengan menikmati pemandangan hutan yang menghijau dari tingkap bilik saya. 

Keluarga saya sememangnya luar biasa. Mereka menyembunyikan segala kerisauan dan kebimbangan namun sentiasa memberi sokongan dengan penuh kasih sayang dan pengertian. 

Pada usia 75 tahun, saya tidak pernah menyangka saya masih mempunyai ketabahan dan kekuatan untuk melalui pembedahan besar seperti ini. Namun, saya mempunyai matlamat yang kuat untuk terus menikmati kehidupan bersama keluarga tersayang dan juga demi diri saya sendiri.” 

Tambahnya lagi, “Ini adalah permulaan kepada satu lagi lembaran baharu dalam kehidupan saya. Kepada sesiapa yang sedang menghadapi masalah lutut dan memerlukan rawatan, janganlah bertangguh terlalu lama.

Selagi masa dan peluang masih ada, rebutlah peluang itu dan teruskan mendapatkan rawatan. InsyaAllah, semuanya akan dipermudahkan.”  

Selain sokongan anak-anak, menantu, cucu dan kenalan rapat, suami tercinta turut menunjukkan kasih sayang tidak berbelah bahagi serta setia di sisi Dida.

Perkahwinan Dida Sinclair

Oktober ini usia perkahwinan Dida dan suami tercinta iaitu Mohamed Sinclair mencecah 50 tahun.  

Tak dinafikan, keakraban dan kemesraan pasangan yang hampir separuh abad melayari alam perkahwinan ini menjadi inspirasi buat suami isteri lain. 

Ibu kepada tiga cahaya mata ini sah bergelar isteri kepada jejaka kacak kelahiran Inggeris, Mohamed Anthony John Sinclair pada 7 Oktober 1976. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair, Aishah Sinclair dan Adam Sinclair. 

Putera sulungnya iaitu Allahyarham Ashraf berkahwin dengan penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari dan dikurniakan seorang anak, Noah Sinclair.

Selain Allahyarham Ashraf, satu-satunya anak perempuan iaitu Aishah Sinclair pula ialah isteri kepada Sheikh Abdul Shahnaz. Pasangan ini memiliki dua orang cahaya mata iaitu Soraya Ann dan Aina Elisabeth. 

Manakala Adam Sinclair ialah suami kepada Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai pada tahun 2018. 

Menariknya, ketiga-tiga anak kesayangan terlibat dalam industri seni. Barangkali kerana darah seni mengalir deras dalam diri Dida yang cukup meminati seni lukisan khususnya melibatkan keindahan botani. 

Artikel https://www.nona.my/rai-birthday-ratu-hati-afifah-nasir-terinspirasi-kebaikan-jiwa-prihatin-ibu-tersayang-semoga-mama-panjang-umur/

Share
Published by
Suzi