
Dato' Seri Mukhriz Titip Doa Sempena Anniversary Ibu Bapa
MasyaAllah, panjang jodoh Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri tercinta, Tun Dr Hasmah Mohd Ali. 5 Ogos lalu merupakan ulang tahun perkahwinan ke-70 buat pasangan ini. Sebagai anak, pastinya Dato’ Seri Mukhriz Mahathir bersyukur dapat menyaksikan kebahagiaan ibu bapa tersayang hingga ke saat ini. Sekaligus berpeluang meraikan momen istimewa mereka di samping keluarga.
Ternyata berkongsi kehidupan selama tujuh dekad bukan satu tempoh singkat namun Tun Mahathir dan Tun Hasmah berjaya membuktikan keserasian di antara mereka. Malah kedua-duanya masih kekal romantis dan bergurau senda.
Untuk sampai ke usia perkahwinan ke-70, sudah pasti Tun Mahathir mahupun Tun Hasmah melalui pelbagai fasa kehidupan suami isteri namun sentiasa tenang menempuh dugaan bersama-sama.
Pemimpin tersohor berasal dari Kedah ini menyambut ulang tahun ke-101 pada 10 Julai lepas. Manakala Tun Hasmah pula menginjak usia 100 tahun pada 12 Julai.
Bersempena ulang tahun perkahwinan ibu bapa, Dato’ Seri Mukhriz memanjat kesyukuran dan menitipkan doa buat mereka beserta foto romantis Tun Mahathir dan Tun Hasmah.
Titipnya, “Selamat menyambut ulang tahun perkahwinan yang Ke-70! Semoga terus diberkati Allah SWT dengan kesihatan yang baik, semangat yang kental dan bahagia dunia akhirat.”
Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah sah bergelar suami isteri pada 5 Ogos 1956. Hasil perkongsian hidup selama lebih enam dekad, mereka dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Cara Tun Mahathir mengungkap rasa cinta bukan secara terang-terangan. Meskipun kedua-duanya sudah berusia namun cinta mereka masih hangat hingga ke hari ini. Tetap bergurau senda, keluar berdua dan berpimpin tangan.
Memetik kenyataan suami isteri ini di laman YouTube rasmi Dr Mahathir, bibit percintaan mereka bermula semasa menuntut di kolej perubatan pada tahun 1947. Waktu itu, beliau berjaya memikat Tun Hasmah dengan kebijaksanaannya dalam pelajaran.
“Pada masa itu, hanya ada tujuh orang sahaja budak Melayu. Di antara itu ada seorang sahaja wanita. Semua berebut-rebut nak angkat buku, bila nak pergi lecture (kuliah) nak bawa buku, masing-masing berebut nak bawakan buku pasal nak berkawanlah. Saya pun berebut jugalah.”
Tidak lama lagi Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dan isteri iaitu To’ Puan Seri Norzieta Zakaria bakal timang cucu. Ini selepas anak perempuan mereka, Ally Mukhriz hamil anak sulung selepas berjaya menjalani rawatan kesuburan IVF.
Nampaknya, Tun Mahathir dan Tun Hasmah juga akan menerima kehadiran seorang lagi cicit!
Moga perkahwinan dan kehidupan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah sentiasa dalam lindungan Allah SWT.
This website uses cookies.