Setahun Kahwin & Anak Sulung Cecah Usia 3 Bulan, Allah Berkati Kehidupan Penghafaz Al-Quran Farhatul Fairuzah!

Tumpang gembira dengan kehidupan Johan Qariah Majlis Tilawah Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2019, Nor Farhatul Fairuzah Panut. Sesungguhnya insan yang memuliakan dan menjaga Al-Quran ini akan sentiasa mendapat keberkatan dan pelindungan Allah SWT.

Meniti usia 24 tahun, Farhatul atau mesra disapa Farha dikurniakan rezeki kerjaya yang tidak putus-putus, seorang suami yang baik budi pekerti dan kini bergelar ibu kepada seorang bayi lelaki yang sihat dan sempurna.

Tanggal 2 September 2025 pastinya melakar memori yang tidak mungkin dilupakan anak jati kelahiran Selangor ini apabila dia selamat melahirkan zuriat sulung.

Artikel https://www.nona.my/8-jam-dalam-labour-room-farhatul-fairuzah-syukur-dapat-pengalaman-berjuang-lahirkan-zuriat-sulung/

Farhatul Fairuzah Anjur Majlis Akikah Anak

Bersyukur dengan anugerah terindah berkenaan dan kehidupan berkeluarga yang dimilikinya hari ini, Farha dan suami menganjurkan majlis akikah dan kesyukuran pada 27 Disember lalu.

Majlis diadakan secara sederhana namun meriah dengan kehadiran ahli keluarga dan kenalan rapat. Malah turut diserikan dengan pengisian bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan cukur jambul.

Menerusi perkongsian di media sosial, anak bongsu daripada lima beradik ini berkongsi momen kemeriahan majlis khusus buat anakanda tersayang, Muhammad Fahim yang kini berusia tiga bulan.

“Alhamdulillah syukur telah pun selesai majlis aqiqah dan kesyukuran anakanda tercinta Muhammad Fahim. Moga Fahim membesar menjadi anak soleh dan berbakti pada agama. Terima kasih pada yang hadir dan mendoakan.”

Pada majlis itu, Farhatul Fairuzah tampil ayu dalam persalinan jubah rona putih. Sedondon dengan suami tercinta, Ilham Amri.

Genap Setahun Usia Perkahwinan Farhatul & Ilham

Pasangan ini sah disatukan sebagai suami isteri pada 14 Disember 2024 dan menyambut ulang tahun perkahwinan pertama baru-baru ini ketika kedua-duanya mengerjakan umrah pada tarikh berkenaan.

“Maka genaplah setahun kami berkahwin dan berada di tanah mulia ini bersama Nabi Muhammad SAW. Tiada kata lain melainkan rasa syukur kepada Allah. Doakan kami dapat menjalani kehidupan, sakinah mawaddah warahmah bersama dengan anak tercinta juga Fahim yang berada di Malaysia.

Moga Allah jaga hubungan ini sehingga ke syurga. Doakan kami ya. Alhamdulillah moga Allah beri kesempatan untuk datang ke sini lagi bersama keluarga dan anak. Ya Allah terimalah segala ibadah dan doa-doa kami. Jadikan kami insan dan hamba yang taat padaMu.”

Farha juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Share
Published by
Suzi