Siapa Sangka Dek Kerana Cinta Orang Kebanyakan Mampu Bertukar Status Ke Kerabat Diraja

5367

Cinta tak pandang darjat! Jika sejak kecil kita disogokkan cerita dongeng gadis desa yang baik hati bertemu jodoh dengan kerabat diraja, namun cerita tersebut bukanlah fantasi semata-mata. Cerita dongeng zaman kanak-kanak ini telah menjadi realiti dari dahulu sehingga ke sekarang. Nyata apabila cinta menguasai antara ‘uda’ dan ‘dara’ semua halangan termasuk perbezaan antara dua darjat dapat diatasi seperti 6 pasangan diraja ini.

IKLAN
IKLAN

GRACE KELLY, PRINCESS OF MONACO

Grace Kelly merupakan bintang yang bersinar di Hollywood dan salah seorang selebriti cantik paling ikonik sehingga hari ini. Bertemu Prince Rainier III ketika penggambaran foto dan dari situ kehidupan wanita anggun ini berubah 360 darjah. Pasangan ini berkahwin pada tahun 1956 dan dikurniakan tiga cahayamata sebelum meninggal dalam kemalangan kereta tragis pada tahun 1982. Anak lelakinya Albert II merupakan Prince of Monaco kini.

RANIA, QUEEN OF JORDAN

Wanita berkerjaya ini memperoleh ijazah perniagaan dari American University of Cairo, dan kemudian bekerja di Citibank dan Apple sebelum bertemu Putera Abdullah II. Pasangan ini berkahwin hanya selepas lima bulan bertemu. Sejak itu Rania aktif menjadi duta untuk banyak pusat kebajikan dan menjadikan perkara ini sebagai salah satu agenda utamanya sebagai seorang permaisuri. Citarasa fesyennya yang tinggi dan menarik menjadikan beliau kerap dipaparkan di dalam majalah fesyen Amerika.

LETIZIA, QUEEN OF SPAIN

Letizia adalah wartawan penyiaran dan merupakan seorang janda apabila dia menangkap mata Putera Mahkota Felipe, yang melihatnya di kaca televisyen lantas meminta ketua di lokasi bekerja Letizia memperkenalkan mereka. Kedua-dua mereka bercinta secara rahsia sebelum mengumumkan pertunangan mereka pada tahun 2003, dan telah berkahwin di Madrid pada tahun 2004. Selepas ayahandanya turun takhta, Felipe menjadi raja dan Letizia secara automatik menjadi permaisuri.

MASAKO, CROWN PRINCESS OF JAPAN

Masako adalah seorang graduan dari Univeristi Harvard dan merupakan anak seorang diplomat ketika dia bertemu dengan Putera Mahkota Jepun ketika majlis minum teh. Kehidupan kedua pasangan bercinta ini banyak disensasikan oleh pihak media sekitar akhir tahun 80-an. Pada mulanya beliau enggan berkahwin dengan putera mahkota kerana terpaksa mengorbankan kerjayanya. Akhirnya setelah melihat kesungguhan putera mahkota, Masako menerima lamaran ketiga pada tahun 1992 dan kedua-duanya berkahwin pada 1993. Kini Masako merupakan Permaisuri Jepun terbaharu selepas majlis pertabalan suaminya baru-baru ini.

PRINCE DANIEL, DUKE OF VASTERGOTLAND

Pasti  anda selalu mendengar cerita mengenai gadis-gadis biasa yang menjadi puteri, tetapi ia juga berlaku pada lelaki! Putera Daniel atau nama asalnya Daniel Wesling merupakan jurulatih peribadi Puteri Mahkota Victoria dari Sweden sebelum menjadi suaminya pada tahun 2010. Sebelum berkahwin dia memiliki tiga gimnasium di Stockholm.

MARY DONALSON, CROWN PRINCESS OF DENMARK

Seperti mana-mana gadis biasa, Mary bertemu dengan bakal suaminya, Putera Frederik dari Denmark secara kasual di sebuah bar di Sydney. Dia yang ketika itu merupakan seorang eksekutif pemasaran, dan Putera Frederik hanya memperkenalkan dirinya sebagai ‘Fred’ sahaja berbanding memperkenalkan diri sebagai seorang putera raja. Mary terpaksa belajar bahasa Belanda sebelum berlansungnya majlis perkahwinan diraja pada tahun 2004. Walaupun kini dia bergelar kerabat diraja tetapi masih sangat merendah diri dan pernah dilihat keluar membuang sampah sendiri!