Sisi Pemurah Georgina Ratu Hati Ronaldo, Walau Hidup Mewah Suka Kongsi Rezeki & Lawat Kanak-Kanak Di Hospital!

Di sebalik kemewahan dan kesenangan hidup yang dinikmati Georgina Rodriguez, tunang kesayangan pemain bola sepak Cristiano Ronaldo ini sebenarnya seorang wanita penyayang dan pemurah. Tidak hairanlah bintang ternama kelab bola sepak Al Nassr berkenaan sangat menyayangi Georgina kerana terpikat dengan kasih sayang jelitawan ini terhadap kanak-kanak.

Bersandarkan status Georgina sebagai buah hati Ronaldo, dia turut tidak lepas daripada tempias dunia glamor. Ke mana saja pergi atau apa saja fesyen yang digayakan pasti menarik perhatian peminat.

Sepanjang sembilan tahun menyulam cinta, Ronaldo bukan hanya β€˜memanjakan’ buah hati tersayang dengan wang ringgit dan barangan mewah. Bahkan menjadi seorang lelaki yang setia dengan pasangan.

ArtikelΒ https://www.nona.my/nasib-georgina-berubah-lepas-jumpa-ronaldo-dari-jurujual-butik-kini-nikmati-kemewahan-hujung-rambut-ke-kaki/

Georgina Kesayangan Cristiano Ronaldo

Apatah lagi mereka sudah pun mempunyai dua orang anak dan figura berusia 31 tahun ini turut menjaga tiga lagi cahaya mata Ronaldo menerusi hubungan cintanya yang lalu.

Melihat penampilan ibu muda ini pasti ramai menyangka Georgina seorang wanita yang hanya mementingkan kelas dan barangan mewah.

Hakikatnya, jiwa figura berketurunan Sepanyol-Argentina ini cukup dekat dan tersentuh apabila berdepan dengan golongan kanak-kanak khususnya yang kurang bernasib baik mahupun diduga dengan masalah kesihatan.

Menerusi perkongsian di media sosial, Georgina memuat naik video A Day With Me Sharing Smiles yang memaparkan dirinya turun padang bertemu kanak-kanak di King Faisal Hospital, Arab Saudi pada pertengahan Disember lalu.

Tampil anggun dalam persalinan gaun putih, dia turut dilihat membawa pelbagai barangan untuk diberikan kepada insan terlibat. Antaranya televisyen, baju jersi bola sepak Al Nassr, alat tulis, buku kanak-kanak, permainan dan sebagainya.

Sisi Penyayang Georgina Rodriguez

β€œTiada yang lebih indah daripada senyuman seorang anak. Melawat kawan-kawan kecil saya dari King Faisal Specialist Hospital and Research Centre.”

Pada hujung Februari lalu juga Georgina Rodriguez tidak ketinggalan melawat golongan kanak-kanak di hospital sama.

β€œSaya melawat kawan-kawan baru saya dari Arab dan juga hospital serta pasukan perubatan mereka yang hebat. Tidak lama lagi kami akan membuat projek bersama-sama, kami akan reka tempat di mana hanya ada senyuman.

Saya sayang dan mengagumi anda dengan sepenuh hati saya wira-wira kecil dan ibu bapa juga. Saya gembira untuk berkongsi bahawa β€˜Baby Pelones’ akan tersedia tidak lama lagi di Arab Saudi.

Saya suka menyertai aktiviti ini dan membantu membina taman permainan di mana kanak-kanak boleh berseronok dan berkongsi detik-detik bermakna dengan keluarga dan rakan-rakan di ruang yang direka untuk membuatkan mereka tersenyum di Juegaterapi Foundation.”

Difahamkan Baby Pelones ialah sebuah patung yang dihasilkan yayasan dari Sepanyol bertujuan mengutip dana dan menyokong kanak-kanak yang menghidap kanser.

Cristiano Ronaldo yang kini berusia 40 tahun merupakan pemain bola sepak bagi Liga Pro Saudi, Al Nassr. Menurut laporan Forbes, Ronaldo ialah bintang bola sepak kelahiran Portugal yang menerima bayaran gaji termahal pada 2025 dengan nilai mencecah USD 230 juta.

Dengan jutaan ringgit yang diterima, tidak hairanlah pasangan ini hidup serba mewah. Bercuti menaiki jet peribadi dan percutian di atas kapal mewah yang sudah menjadi kebiasaan bagi mereka.

Malah, persalinan dan aksesori yang disarung Georgina juga adalah berjenama mewah dunia dari hujung rambut ke hujung kaki.

Mengintai Instagram wanita kelahiran Buenos Aires, Argentina ini, pelbagai koleksi, saiz dan warna beg tangan Hermes ada dalam simpanannya.

Β 

Β 

Share
Published by
Suzi