Gaya Hidup

Siti Nordiana Melangkah Ke Fasa Baru, Berat Hati Lepaskan Anak Masuk Asrama

Siti Nordiana melangkah ke fasa baru, berat hati lepaskan anak masuk asrama. Penyanyi popular ini mengakui sukar menahan rasa sebak apabila anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie, bakal melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan memilih untuk menetap di asrama.

Sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya dengan penuh kasih sayang, perpisahan ini bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Namun seperti mana semangat Maal Hijrah yang mengajar tentang keberanian melangkah ke hadapan, Nana akur bahawa setiap anak perlu diberi ruang untuk membina kehidupan dan masa depan mereka sendiri.

Siti Nordiana

Menurut penyanyi lagu Terus Mencintai itu, kerisauan yang dirasainya adalah lumrah seorang ibu, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjauhan dengan anak buat pertama kali dalam tempoh yang lama.

“Pada saya, itu hanyalah kerisauan bagi semua ibu-ibu. Lebih-lebih lagi saya ini pula ibu tunggal dan anak pula hanya seorang. Saya tak pernah berjauhan dengan Rayyan. Saya agak risau dan takut juga.

Dialah penghibur saya bila di rumah. Dialah kawan baik dan kawan gaduh. Kami sangat rapat. Mungkin ini lumrah yang dirasai para ibu bila anak-anak bakal meninggalkan rumah.

Pada awalnya, kita mungkin tidak biasa. Mahu atau tidak, saya kena lepaskan juga. Dia juga mahu mengejar kehidupannya sendiri,” katanya kepada Media Hiburan.

Perkongsian tersebut dibuat ketika Nana ditemui pada Konsert Soundstage baru-baru ini.

Siti Nordiana
Siti Nordiana

Rayyan Pilih Tinggal Di Asrama Demi Berdikari

Walaupun hatinya berat untuk melepaskan anak kesayangan, Nana tetap berlapang dada menerima keputusan Rayyan untuk tinggal di asrama.

Baginya, kehidupan kampus dan suasana asrama mampu menjadi medan terbaik untuk anak muda belajar mengurus diri sendiri serta membina kematangan.

Sebagai seorang ibu, beliau mengakui pelbagai perkara bermain di fikiran apabila mengenangkan anak yang bakal berjauhan daripadanya.

“Asrama itu hanyalah pilihan tapi dia tetap memilih untuk tinggal di situ. Saya memang agak risau dan para ibu pasti ada rasa anxiety bila berjauhan dengan anak. Macam-macam yang kita fikirkan.

Namun, tak mengapalah. Mungkin itu jalan yang dia pilih. Saya okay sahaja. Mungkin ini masanya dia belajar untuk berdikari. Duduk di rumah nanti, asyik manja pula.

Kami tak pernah berenggang. Kalau tinggal pun sebab saya ada jemputan persembahan atau outstation. Untuk tinggal bersendirian, itu belum pernah lagi,” kongsinya lagi.

Siti Nordiana

Kata-kata itu menggambarkan hubungan yang sangat akrab antara ibu dan anak. Sejak kecil, Rayyan bukan sahaja menjadi sumber kekuatan Nana, malah teman yang sentiasa mengisi hari-harinya selepas melalui pelbagai cabaran hidup sebagai ibu tunggal.

Siti Nordiana Melangkah ke Fasa Baru

Dalam konteks yang lebih luas, langkah Rayyan menyambung pengajian boleh dianggap sebagai satu bentuk penghijrahan ilmu. Awal Muharram sering mengingatkan umat Islam tentang pentingnya meninggalkan zon selesa demi mengejar sesuatu yang lebih baik.

Bagi seorang anak, meninggalkan rumah untuk melanjutkan pelajaran adalah antara pengalaman yang membentuk karakter dan jati diri. Manakala bagi seorang ibu pula, ia menjadi ujian untuk belajar melepaskan dengan penuh reda dan kepercayaan.

Siti Nordiana
Siti Nordiana

Sebelum ini, Nana pernah berkongsi reaksinya apabila dimaklumkan bahawa Rayyan menerima tawaran melanjutkan pengajian dan memilih untuk menetap di asrama.

Walaupun bangga dengan pencapaian anaknya, perasaan sayu tetap hadir kerana bakal melalui rutin harian tanpa kehadiran insan yang selama ini sentiasa berada di sisinya.

Mengisi Kesunyian Dengan Aktiviti Positif

Menyedari bahawa dirinya bakal melalui perubahan besar dalam kehidupan seharian, Nana sudah mempunyai cara tersendiri untuk mengisi masa lapang dan mengatasi rasa sunyi.

“Kalau ada pasangan, takkanlah saya sunyi. Tak mengapalah. Lagi pun saya sibuk dengan jadual persembahan. Kalau saya sibuk dengan program, hilanglah sunyi itu.

Kalau di rumah, saya akan banyak tonton drama Korea back to back, adakan sesi siaran langsung di media sosial atau pergi minum kopi. Ada banyak cara untuk hilangkan kesunyian,” akhirinya.

Di sebalik senyuman dan ketabahannya, terserlah kasih sayang seorang ibu yang sentiasa mahu melihat anak berjaya walaupun terpaksa mengorbankan rasa rindu dan kesunyian sendiri.

Sempena kedatangan Awal Muharram, kisah Siti Nordiana ini mengingatkan kita bahawa setiap penghijrahan pasti hadir bersama pengorbanan. Namun dengan doa, kepercayaan dan kasih sayang, setiap langkah menuju masa depan akan menjadi lebih bermakna.

Sumber: Media Hiburan

Baca Lagi: Madhuri Dixit Dedah Rahsia Kulit Mulus Usia 59, Penting Pakai ‘Rose Water’ Setiap Hari

Share
Published by
Norzalina