Fesyen

Bintang Euphoria, ZENDAYA Disunting Wajah Terkini Dan Eksklusif Kempen Beg Tangan Louis Vuitton

Bintang Hollywood terkenal, Zendaya secara rasminya menyertai keluarga besar rumah fesyen terkemuka, Louis Vuitton sebagai wajah terbaharu kempen beg tangan ikonik jenama tersebut.

Pelakon Euphoria berumur 26 itu diumumkan sebagai duta dan wajah beg ikonik Capucines pada Khamis, 20 April 2023. Kerjasama ini merupakan langkah yang sudah dijangkakan peminat sejak bulan lalu, selepas Zendaya membuat penampilan istimewa di pertunjukan Minggu Fesyen Paris Louis Vuitton pada Mac. Beliau turut bergambar bersama dengan duta LV yang lain iaitu Emma Stone dan Ana de Armas.

Menurut Louis Vuitton, beg istimewa itu dilancarkan pada tahun 2013. Beg tangan Capucines dinamakan bersempena Rue Neuve-des-Capucines, jalan di Paris di mana Louis Vuitton membuka kedai pertamanya pada tahun 1854.

“Hari ini, koleksi beg tersebut itu adalah salah satu reka bentuk Maison yang paling ikonik, penciptaan keanggunan praktikal yang dibuat daripada kulit Taurillon berbutir penuh dan menawarkan pelbagai gaya boleh pakai (tangan, bahu, ikat pinggang) menampilkan Bunga Monogrammed bagi menyerlahkan identiti LV.”

Zendaya turut mengimbas  kenangan zaman kanak-kanaknya sewaktu kempen LV dilancarkan suatu ketika dahulu. “Ada sesuatu yang saya suka tentang Naomi Campbell pada awal 2000-an, dan dia seperti berbaring di atas beg pakaian. Saya masih boleh melihatnya. Saya dapat melihat gambar-gambarnya dan saya masih ingat melihatnya di majalah semasa kecil,” kongsi Zendaya dengan Vogue pada Khamis.

Zendaya yang Anggun berpakaian hitam dan putih sambil bergambar dengan beg tangan dalam pelbagai warna dirakam di Riviera Perancis oleh jurugambar duo Mert Alas dan Marcus Piggott. Zendaya digayakan oleh Law Roach, seorang jurugaya fesyen dan arkitek imej yang mengumumkan persaraannya di Instagram bulan lalu.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

 

IKLAN
Share