Sudah Punya Menantu, Kejelitaan SOPHIA LATJUBA Di Usia 52 Tahun Jadi Perhatian!

Nama Sophia Latjuba sememangnya amat sinonim sebagai penyanyi dan pelakon popular Indonesia sekitar 90-an. Wajah kacukan Jerman, Austria, Bugis dan Jawa ini mencipta nama dalam bidang seni suara.

Antara lagu dendangannya yang terkenal termasuklah Kangen berduet dengan Chrisye yang popular di awal 90-an.

Walaupun telah mencecah usia 52 tahun, kejelitaan Sophia Latjuba sememangnya amat dicemburui. Melihat posting di laman Instagram miliknya, ternyata  selebriti ini amat mementingkan  penjagaan kesihatan dan pemakanan untuk kekal cantik. Gemar melakukan senaman yoga di halaman rumahnya, Sophia selesa dengan rutin yoga yang diamalkannya.

Yoga merupakan latihan yang memberi tumpuan kepada pernafasan, kekuatan, dan kelenturan. Yoga banyak manfaat kesihatan fizikal dan psikologi. Selain itu, yoga juga dikatakan dapat membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan.

Selain yoga, Sophia juga rajin berbasikal untuk mengekalkan stamina dan mendapatkan bentuk badan ideal.

Selain itu, Sophia Latjuba diketahui  mengamalkan pola pemakanan yang sihat. Ibu kepada Eva Celia Lesmana dan Manuella Azizah Villareal ini merupakan seorang vegetarian dan tidak menyentuh hidangan berupa ayam atau daging dan lebih banyak menikmati hidangan berasaskan sayur-sayuran dalam diet sehariannya.

Kejelitaan Sophia Latjuba atau nama sebenarnya Sophia Inggriani Latjuba jelas terserlah tatkala menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya, Eva Celia Lesmana dan pasangannya, Demas Narawangsa pada Jun lalu.

Ramai yang tidak sangka pada usia 52 tahun Sophia kelihatan menawan mengenakan busana putih bergambar kenangan bersama anak serta menantunya.

Eva Celia merupakan anak pertama Sophia Latjuba hasil perkongsian hidup dengan komposer Indra Lesmana pada tahun 1992. Perkahwinan Sophia bersama adik kepada pengarah filem Ada Apa Dengan Cinta, Mira Lesmana itu hanya bertahan selama setahun sebelum pasangan ini berpisah pada tahun 1992.

Namun Sophia Latjuba sekali lagi mendirikan rumahtangga bersama seorang warga Amerika Syarikat, Michael A. Villareal dan dikurniakan seorang anak perempuan, Manuella Azizah Villareal. Meskipun sudah berusia 52 tahun, Sophia Latjuba tidak terlepas dari gosip cinta apabila dikaitkan dengan beberapa selebriti popular termasuklah Ariel Noah pada tahun 2018.

Pasti ramai yang cemburu dengan kejelitaan dan susuk tubuh yang dimiliki oleh aktress ini. Untuk kelihatan cantik seperti ini, pastinya memerlukan banyak ‘pengorbanan’ terutamanya dari segi pengambilan makanan yang manis dan tinggi kalori. Benarlah kata orang, nak cantik perlu pengorbanan!

 

 

 

 

 

 

IKLAN
Share