Gaya Hidup

Surat Cinta Naura Kepada CEO, Drama Romantik Komedi Bakal Sentuh Emosi Wanita Alpha!

Vertical drama terbaharu terbitan NI Studios yang dibawakan khas oleh Masha Group, Surat Cinta Naura Kepada CEO tampil dengan jalan cerita segar yang menggabungkan elemen romantik komedi, dunia korporat dan perjuangan seorang wanita alpha. Sarat dengan momen lucu, menyentuh emosi dan penuh kejutan, drama ini dijangka menjadi pilihan baharu buat peminat kisah cinta pejabat yang dekat di hati.

Mengangkat watak utama Naura Raisya Ahmad, seorang Team Lead kreatif yang terkenal dengan sikap tegas, berdikari dan sukar didekati, drama ini membawa penonton menyelami kehidupan seorang wanita berkerjaya yang sentiasa meletakkan profesionalisme sebagai keutamaan.

Surat Cinta Naura Kepada CEO

Siri Drama Tampilkan Kisah Wanita Alpha Berkarier

Namun di sebalik imej wanita alpha yang dipandang tinggi oleh rakan sekerja, Naura sebenarnya menyimpan satu rahsia yang tidak pernah diketahui sesiapa. Selama bertahun-tahun, dia menulis surat-surat cinta kepada lelaki yang pernah mencuri hatinya, namun tidak pernah berani menghantarnya.

Segala-galanya berubah apabila satu insiden memalukan berlaku di pejabat. Ketika bekerja sehingga lewat malam untuk menyiapkan tugasan yang diarahkan CEO syarikatnya, Rafael Foong, Naura tertidur di meja kerja tanpa menyedari laptopnya telah digodam.

Lebih mengejutkan, tujuh surat cinta lama yang disimpan sebagai draf dihantar secara automatik kepada beberapa lelaki dalam syarikat termasuk bekas crushnya, Danish Hakim dan Rafael sendiri.

Surat Cinta Naura Kepada CEO

Keesokan harinya, seluruh pejabat menjadi kecoh. Nama Naura menjadi bahan perbualan dan surat-surat cintanya tersebar sehingga menjejaskan reputasi yang dibinanya selama ini. Dalam keadaan panik dan tertekan, Naura membuat keputusan paling gila dalam hidupnya apabila mengumumkan bahawa dia sebenarnya sedang bercinta dengan Rafael Foong.

Pengumuman spontan itu bukan sahaja mengejutkan seluruh warga pejabat, malah membuatkan Rafael sendiri terkedu. Namun demi menyelamatkan keadaan, mereka akhirnya bersetuju untuk meneruskan pembohongan tersebut melalui satu kontrak cinta palsu selama sepuluh hari.

Menariknya, Surat Cinta Naura Kepada CEO bukan sekadar kisah cinta pejabat biasa. Drama ini turut mengetengahkan tema wanita moden yang berusaha membina kerjaya tanpa mengorbankan harga diri dan impian masa depan.

Naura digambarkan sebagai wanita yang berani membuat keputusan sendiri, mempertahankan maruahnya ketika diuji dan terus fokus mengejar peluang kerjaya yang lebih besar walaupun sedang berdepan konflik peribadi.

Ikmal Amry & Rasya Dean Terajui Drama Romantik Komedi Penuh Emosi

Surat Cinta Naura Kepada CEO menampilkan barisan pelakon seperti Ikmal Amry dan Rasya Dean sebagai watak utama.

Ikmal Amry merupakan juara Maskulin Who’s Your Bro 2025 dan finalis Hero Remaja 2017, sementara Rasya Dean merupakan finalis Dewi Remaja 18/19.

Buat julung kalinya juga menjadi vertical drama pertama Ikmal Amry dan diterbitkan oleh NI Studios. Turut ditampilkan, rakan baik Ikmal iaitu Ezaidi Aziz bergandingan sebagai ‘musuh’ dalam drama 25 episod ini.

Tak ketinggalan, penampilan finalis Dewi Remaja 2025 iaitu Elisa Chew dan Dheper Teh, bakat baru yang turut menjayakan siri drama Surat Cinta Naura Kepada CEO.

Surat Cinta Naura Kepada CEO
Surat Cinta Naura Kepada CEO
Surat Cinta Naura Kepada CEO

Gabungan elemen romantik komedi, konflik korporat, misteri dan perkembangan karakter yang kuat menjadikan Surat Cinta Naura Kepada CEO sebuah tontonan yang bukan sahaja menghiburkan, malah mampu menyentuh emosi penonton.

Bagi peminat kisah cinta ‘enemies-to-lovers’, hubungan kontrak, CEO romance dan watak wanita berkarisma, drama ini sememangnya mempunyai semua ramuan yang diperlukan untuk membuatkan penonton terus melekat di skrin sehingga episod terakhir.

Nantikan Surat Cinta Naura Kepada CEO secara eksklusif di platform Majalah Nona mulai 30 Jun 2026 setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, jam 8.00 malam.

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/video/ikmal-amry-isteri-hampir-bersalin-kini-debar-tunggu-kelahiran-anak-ketiga/

Share
Published by
Norzalina