T-Shirt Putih Tanda Sokongan, Kasih Terhadap Delegasi Wanita Malaysia & Palestin “Terus Berjuang Dalam Penindasan”

Cukup simbolik. T-shirt putih kini menjadi perhatian dan bualan susulan ianya dijadikan penutup kepala ketika beberapa aktivis wanita Muslim Global Sumud Flotilla (GSF) dirampas tudungnya oleh tentera zionis ketika dalam tahanan beberapa hari lalu.

Apa yang menyentuh hati apabila aktivis lain memberikan baju T kepada kumpulan wanita untuk dijadikan hijab bagi menggantikan hijab mereka yang dirampas.

Kredit Foto: farahlee_

Salah seorang aktivis terlibat, Farah Lee menyeru orang ramai yang hadir ke KLIA untuk sama-sama bersolidariti dengannya dan delegasi Malaysia.

“IOF sangka mereka sudah menjatuhkan maruah wanita Muslim.

“Tetapi mereka lupa, selagi ada sehelai benang pada tubuh, wanita Muslim akan tetap berusaha menutup auratnya dengan penuh harga diri.”

Tindakan itu bukan hanya mencabul hak wanita Muslim malah mencerminkan kezaliman terhadap aktivis yang menyertai misi kemanusiaan ke Palestin.

BACA JUGA: “Bot Bergegar, Rasa Luruh Jantung!” Farah Lee Saksi Detik Mencemaskan Dalam Misi Global Sumud Flotilla

Kekal Bersemangat

Menurutnya, tindakan itu tetap tidak mematahkan semangat mereka. Ia adalah permulaan untuk satu perjuangan.

“Tindakan mereka tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya menjadi modal untuk kita bersolidariti!”

“Mari kita sama-sama penuhi KLIA dengan berpakaian T-shirt putih sebagai simbol hijab.

“Tanda sokongan dan kasih terhadap delegasi wanita Malaysia serta wanita-wanita di Palestin yang terus berjuang dalam penindasan.”

Semoga Farah Lee dan delegasi yang lain selamat tiba ke tanahair.

Share
Published by
Amy Mohd