“Kami Pastikan Cekodok Mencukupi Untuk Hidangan Papa”, Anak Dedah Makanan Kegemaran Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Kami Pastikan Cekodok Mencukupi Untuk Hidangan Papa”, Anak Dedah Makanan Kegemaran Datuk Seri Anwar Ibrahim

Puteri keempat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Iman juga merasai keperitan dan perasaan seperti adik dan kakak-kakak tersayang apabila menyaksikan peristiwa bapa tersayang ditahan dikediaman keluarganya ketika usianya baru mencecah 8 tahun.

“Ya benar, semasa itu saya berumur 8 tahun. Saya tidak tahu apa telah terjadi dan tertanya tanya ke manakah papa akan dibawa ketika itu. Saya ingat pada malam papa ditangkap, kami adik beradik dan sepupu menunggu di bilik tidur di tingkat atas. Tidak tahu apa yang telah terjadi,” ujar Iman memula bicara mengenang kembali peristiwa hitam itu.

“Selepas itu saya dan adik beradik di minta turun ke bawah dan pada masa yang sama terdapat ramai orang di rumah. Saya didukung oleh anggota polis yang bertopeng dan terasa benda tajam di bahagian perut. Kemungkinan benda tajam itu adalah senjata anggota polis tersebut.

Polis itu masukkan saya ke dalam van bersama adik beradik saya kecuali kak Ilham kerana dia tertinggal di rumah. Saya tertidur di dalam van kerana lewat malam pada masa itu. Semasa saya bangun, kami berada di balai polis dan mama sedang bercakap dengan pihak polis.

Pada esok hari, papa tiada di rumah. Mama suruh kami adik beradik pergi ke sekolah seperti biasa. Semasa kami dapat tahu bahawa kami boleh jumpa dengan papa di mahkamah, Saya ingat lagi rasa takut dan risau terhadap papa. Saya bertanya, kenapa mata papa hitam?

Saya melihat muka papa masih terukir senyuman walaupun matanya lebam. Kak Ilham, Hana dan saya dakap papa dengan kuat. Papa beritahu kami jangan sedih walaupun papa sakit. Sentiasa bersama dan kuatkan diri dan itulah apa yang kami buat.

Semangat kekeluargaan inilah yang menjadi pembakar semangat untuk terus mengharungi dugaan ini,” ujar Nurul Iman yang menjadikan pengalaman masa kecilnya sebagai dorongan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi.

CEKODOK BUAT PAPA

Sambil memanjatkan kesyukuran setelah hampir 20 tahun perjuangan menuntut keadilan untuk bapa tersayang, Iman juga tidak sabar untuk meraikan Aidilfitri tahun ini dengan ahli keluarganya yang lengkap.

“Kami sentiasa beraya di Kuala Lumpur di mana kami akan mengunjungi keluarga papa dan mama. Menyentuh aktiviti raya pula, saya rasa tidak banyak akan berubah. Namun, saya sangat teruja dan bersyukur bahawa kami sekeluarga dapat luangkan masa bersama dan papa akhirnya berada di sisi kami.

Papa suka makan cekodok, walau ada banyak hidangan untuk Raya, kami pastikan cekodok mencukupi untuk hidangan papa,” ujar Iman yang berkongsi minat memasak bersama kakaknya Ilham.

Menyentuh pula persiapan untuk menyambut Aidilfitri, menurut Iman segala persiapan telah dilakukan secara berperingkat kerana tidak mahu tergesa-gesa menguruskan persiapan dengan jadual kerja yang agak padat.

“Alhamdulillah, persiapan sudah dilakukan lebih awal kerana segala pakaian sudah siap sejak tahun lalu. Apa yang penting dapat memanfaatkan waktu sepenuhnya dengan papa dan keluarga sebelum semua kembali sibuk dengan urusan masing masing.

Tambahan pula, setelah sekian lama anggota keluarga kami tidak lengkap, jadi Syawal kali ini kami dapat meraikan bersama-sama dengan rasa penuh kesyukuran,” ujar wanita berusia 27 tahun ini.

Ditanya mengenai nasihat yang sering dititipkan oleh kedua ibubapanya dalam menempuhi cabaran, menurut Iman pesanan papa dan mama supaya sentiasa bersabar dan bertakwa menjadi pegangan hidupnya untuk berfikiran lebih rasional dalam setiap tindak tanduk dan keputusan.

“Papa dan mama selalu berpesan bahawa sentiasa bersabar dan bertakwa kerana segala yang berlaku adalah sebahagian dari percaturan Allah SWT. Keperibadian papa dan mama yang sentiasa cekal memberi teladan yang baik untuk kami adik-beradik. Saya sentiasa berfikir jika mama boleh melalui ujian yang sungguh perit itu, maka takkan saya tidak boleh melakukan perkara yang sama,” ujar Iman mengukit senyuman penuh makna.

 

Rumah Diserbu Polis & Bapa Ditangkap Depan Mata, Episod Duka Matangkan NURUL NUHA

Rumah Diserbu Polis & Bapa Ditangkap Depan Mata, Episod Duka Matangkan NURUL NUHA

EPISOD DUKA DEPAN MATA

Anak kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim ini berusia 13 tahun ketika menyaksikan kediaman keluarganya diserbu oleh sepasukan anggota polis. Dalam usia yang sudah menginjak remaja, Nurul Nuha sudah faham apa yang sedang berlaku.

“Pada usia 13 tahun ketika itu, saya sudah tahu apa yang sedang berlaku. Keperitan dan kesedihan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi berkat doa dan sokongan ramai, semangat kami adik-beradik tidak pernah luntur. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang figura bapa yang amat optimis dan exceptional. Selain itu, sikap mama yang penyayang, penuh kesabaran dan selalu bersifat positif juga menjadi nadi kekuatan kami. Kombinasi ini sememangnya luar biasa dan merekalah sumber kekuatan kami adik beradik,” jelas Nuha yang ternyata bangga mempunyai ibubapa yang penuh dedikasi dan tahap kesabaran yang tinggi.

“Mengenang kembali saat itu, pastinya meruntun hati tetapi ia adalah antara episod duka yang banyak mematangkan saya,” ujar Nurul Nuha yang menjadi insan hebat di belakang kakak sulungnya, Nurul Izzah.

 

BANGKIT BERJUANG

Bukan sekali, malah dua kali melihat bapanya dipenjarakan merupakan tamparan hebat yang harus dilalui oleh keluarga ini. Episod hitam kembali berlaku apabila Anwar dipenjarakan sekali lagi pada 2014. Tetapi Nurul Nuha bukan lagi ‘budak mentah’ yang hanya mampu melihat tanpa melakukan apa-apa. Kebahagiaan bersama ayah yang hanya sempat dinikmati 10 tahun direntap sekali lagi. Usia 30 tahun sudah cukup mematangkan untuk dirinya berjuang mencari keadilan buat si ayah.

Nuha dengan sokongan ahli keluarga­ telah menggerakkan kempen March to Freedom setahun kemudiannya sebagai menyambung usaha Ketua Umum PKR yang dipenjarakan kerana kesalahan moral.

“Kempen itu sebagai manifestasi saya mewakili lima beradik lain sebagai satu perjuangan keluarga selepas papa ditahan akibat ketidakadilan dalam sistem kehakiman negara. Kempen March To Freedom adalah kesinambungan perjua­ngan selepas 17 tahun seluruh ahli keluarga menjalani kehidupan penuh emosi yang sukar digambarkan melalui kata-kata,” ujar Nurul Nuha yang mempunyai rupa para seiras ibu tersayang.

Tambah Nurul Nuha lagi, kempen yang dilancarkan pada 11 Februari 2015 telah digerakkan melalui platform media sosial termasuk di peringkat antarabangsa.

“Ia turut memberikan fokus kepada hak kemanusiaan untuk pembebasan Anwar dan paling penting memberikan kesedaran tentang hak kemanusiaan dalam sistem undang-undang,” ujar ibu kepada tiga cahayamata ini lagi.

“Pengorbanan seorang ayah yang menyayangi anaknya tak ada batasan, tambahan pengorbanan seorang pejuang terhadap negara yang dicintainya merangkumi segala batasan perjuangan.

“Saya amat menyayangi papa, terima kasih kerana mengajar kami untuk tidak mementingkan diri sendiri, tabah, mengasihi satu sama lain, berjuang untuk rakyat dan negara ini supaya kita semua dapat berkongsi impian yang lebih baik,” kata graduan dari George Mason University Amerika Syarikat ini.

SYAWAL NAN DINANTI

Ditanya mengenai sambutan Ramadan dan Syawal kali ini, Nuha memanjatkan rasa kesyukuran kerana dapat meluangkan masa dengan keluarga tersayang. Sambil berseloroh, Nuha berkata dia ingin menikmati pelbagai hidangan bersama keluarga kerana sudah lama tidak menikmati momen indah seperti ini.

“Alhamdulillah, kami dapat meluangkan masa dengan keluarga dengan harapan tak makan sampai sakit perut. Dengan nikmat begini, kami doakan dan tidak lupa juga kepada sesiapa yang tidak dapat bersama keluarga supaya tabah dan mendapat ketenangan dan kesabaran InsyaAllah,” ujar Nuha sambil memandang adik-adik yang lain ketika sesi fotografi dijalankan.

Sambil bercerita mengenai kenangan musim perayaan yang lalu, tambah Nuha lagi dia menantikan detik indah dapat berkumpul bersama keluarga tersayang.

“Tahun lalu, Kak Izzah dan Iman memasak menu rendang dan tak sangka sedap dan menepati citarasa kami. Jadi tahun ini tidak pasti samada rendang istimewa ada dalam rancangan atau tidak. Persiapan Raya memang kelam kabut, tapi kepentingan itu lebih kepada meluangkan dengan keluarga”, sambung Nuha lagi.

Nurul Nuha turut melahirkan rasa kesyukuran kerana kesabaran dalam mengharungi liku-liku hidup telah berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan bersama adik-beradik tersayang. Selain itu, perjuangan reformasi juga telah membuka mata mereka dan rakyat Malaysia khususnya untuk melalui pelbagai rintangan dan kesusahan.

“Papa dan mama senantiasa mengingatkan kami, ada kuasa yang lebih kuat dari apa sekalipun adalah ALLAH SWT. Jadi, sentiasa berzikir dan berdoa selepas tawakkal dan usaha. Doa menjadi rutin harian, cekal dan berazam agar mendapat ketenangan dan kemenangan,” ujar Nuha penuh makna.

 

“Tiada Lagi Adegan Peluk Cium Di Mahkamah…,”- NURUL IZZAH Syukur Bapa Kembali Ke Pangkuan Keluarga

“Tiada Lagi Adegan Peluk Cium Di Mahkamah…,”- NURUL IZZAH Syukur Bapa Kembali Ke Pangkuan Keluarga

USIA 17 TAHUN NURUL IZZAH BERTINDAK DEWASA MENYAKSIKAN SAAT BAPA DITAHAN

Pembabitannya dalam dunia politik bermula sejak usianya masih muda lagi. Sebaik Datuk Seri Anwar ditahan di jeriji besi, YB Nurul Izzah Anwar memperjuangkan agenda pembebasan dan kebajikan rakyat. Anak sulung Anwar ini, sejak awal lagi mengikuti perjalanan politik bersama ibu dan ayahnya.

Malah, tidak hairanlah ibu kepada dua cahaya mata ini turut mendapat gelaran sebagai Puteri Reformasi lantaran perjuangannya untuk menegakkan kebenaran.

Kesempatan bertemu dengan wanita cekal ini yang sering mengungkap kata-kata positif untuk melihat negara bebas dari belenggu permasalahan

“Hidup ini kita harus banyak bersabar. Frasa yang sering diungkapkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dari TS Elliot “The Greatest Wisdom One Could Hope To Acquire Is Humanity”. Humanity Is Endless. Itulah pegangan yang menjadi tunjang dalam diri saya,” ujar Izzah.

Ini bermaksud sifat tawadduk itu tidak diambil dengan serius, tapi sebenarnya segala kehebatan, kedudukan dan pangkat hanya datang dengan izin Allah. Jika kita merasakan sesekali kita dihina, ingatlah bawah Rasulullah S.A.W tidak pernah marah jika dihina. Baginda hanya marah apabila keluarga atau teman-teman dihina.

Jadi, dalam kita melakukan sesuatu tentu kita akan berhadapan dengan cabaran. Kecekalan hati harus lahir kerana hidup ini sementara, ada hukum dan hisab yang diaplikasi dalam kehidupan. Apa yang penting, kita perlu mengejar jannah.

Sebagai kakak sulung kepada enam bersaudara, tidak dinafikan Izzah bertanggungjawab membantu ibunya menyatukan adik-beradik yang lain yang terpalit dengan memori duka ketika mereka masih kecil lagi.

“ Tidak dinafikan, saya sentiasa memikirkan bagaimana cara untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menjalani kehidupan berdasarkan prinsip keadilan.

“ Nikmat bersama ayah harus disyukuri walaupun berada di sebalik jeriji besi, mahkamah mahupun di rumah. Kami bersyukur kerana papa bukanlah seorang yang cerewet dan memilih. Kalau dapat jamah kurma favorit iaitu kurma Ajwa pun sudah memadai baginya,” ujar Izzah yang teruja menyambut Aidilfitri tahun ini dengan menikmati hidangan raya bersama keluarga tercinta.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini sememangnya terkenal dengan semangat bercerita soal reformasi dan kini usaha untuk menyaksikan Malaysia menjadi negara yang lebih aman, adil dan harmoni semakin berkembang dengan semangat Malaysia Baharu yang dibawa bersama.

Sering melaungkan untuk mengubah pentadbiran negara untuk menyelamatkan ekonomi rakyat, kini usaha tersebut bakal direalisasikan dengan gabungan pentadbiran yang baharu.

Jatuh bangun Anwar dalam politik turut dilalui Nurul Izzah. Menurut anak sulung Anwar ini turut berkongsi momen hitam tragedi yang meragut kegembiraan keluarganya.

“Papa sudah lama terpisah dari keluarga mengikut fasa, hampir 10 tahun. Saya sering menganggap ia adalah dugaan dari Yang Maha Esa untuk mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan sekaligus kemelut yang dihadapi oleh rakyat.

Sebagai anak sulung, saya dan adik-beradik yang lain amat merindui papa. Semasa papa di dalam tahanan, beliau sangat optimis dan sentiasa mengukir senyuman. Tanggungjawab sebagai bapa tidak pernah diketepikan kerana beliau memahami masa bersama keluarga adalah nikmat yang harus disyukuri.

Selalunya, cucu-cucu akan rindu untuk bertemu dengan Papa Tok mereka. Tapi kini, Alhamdulillah kerinduan itu dapat diubati. Tiada lagi adegan peluk cium di mahkamah. Tetapi kini, kami semua dapat mencium tangan papa di pagi raya, di kediaman keluarga,” jelas Izzah sambil disambut dengan senyuman dari adik-beradik yang lain.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri yang masih hangat dirasai, menurut Izzah saat bersama keluarga yang kini sudah ‘cukup kuorum’ sangat berharga untuk dikenang. Malah, suasana berbuka puasa di bulan Ramadan lalu menjadi lebih bermakna apabila dapat berbuka puasa bersama setelah beberapa tahun dinikmati dalam kesedihan dan penantian.

“Iftar sebenar pertama kami bersama-sama. Saat seperti ini, tidak kira jika ia dinikmati dalam lingkungan dinding penjara atau di rumah kita sendiri,” katanya yang turut memuat naik gambar berbuka puasa kali pertama selepas Anwar pulang ke rumah.

Nurul Izzah turut menyifatkan kepulangan Anwar suatu jalan terbaik mengalu-alukan kedatangan Ramadan. Perpisahan kini berakhir dengan pelukan penuh kesyukuran.

“Kehidupan dan masa kini adalah bagaimana anda memilih untuk menerimanya. Sama ada antara perikemanusiaan, ketulusan, keyakinan dan harapan, atau putus asa, kemarahan, kekecewaan dan kepahitan. Kehidupan adalah berdasarkan prinsip. Ba­nyak lagi yang perlu dilakukan dan banyak lagi usaha untuk melawan ketidakadilan,” luah Izzah yang amat prihatin soal kebajikan rakyat Malaysia.

Sebagai seorang anak, saat pa­ling membahagiakan apabila bersama ibu dan ayah. Lebih-lebih lagi mereka sudah ‘terpisah’ bertahun lamanya. Walaupun Anwar merupakan figura awam yang perlu berkongsi ‘kasih’ itu de­ngan penyokongnya tetapi kepulangan bermakna itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan  dan Syawal harus dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Kenali dengan lebih rapat lagi 5 puteri kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah ini dalam naskhah Julai 2018!

‘Warkah’ Di Balik Tirai Besi, Catatan Anak Bongsu DATUK SERI ANWAR IBRAHIM Ni Sentuh Emosi Ramai!

‘Warkah’ Di Balik Tirai Besi, Catatan Anak Bongsu DATUK SERI ANWAR IBRAHIM Ni Sentuh Emosi Ramai!

Luar biasa betul reaksi rakyat Malaysia tentang pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. Dari Hospital Rehabilitasi Cheras, Istana Negara sampailah ke kediaman beliau .. semuanya menanti-nantikan kemunculan semula Ketua Umum PKR ini di depan khalayak. Jelas terbukti, aura Datuk Seri Anwar masih kuat seperti dulu.

Apa yang pasti, isteri dan anak-anak beliau antara individu yang paling bersyukur dengan perkhabaran tersebut. Masakan tidak, dengan ketibaan Ramadan esok sudah tentu ia ‘kemenangan’ terindah buat keluarga kesayangan ramai ini. Sesungguhnya perancangan Allah SWT itu cukup cantik aturan-Nya!

Sepanjang berada di balik tirai besi, perjuangan Datuk Seri Anwar tidak pernah terhenti. Malah meskipun warkah yang ditulis tidak dapat dikirimkan kepada dunia luar, namun beliau tetap setia melontar kata-kata semangat.

Lebih meruntun perasaan, coretan manja anak bongsunya, Nurul Hana yang setia menanti kepulangan bapa tersayang. Antara nukilan yang pernah dikongsikan Hana adalah potret waktu kecilnya bersama Datuk Seri Anwar dengan kapsyen ‘Sayang Buat Papa’.

Karya itu ditujukan sempena Hari Kelahiran Datuk Seri Anwar.  Tulisnya, “Happy Birthday Papa. This book is for you and inshaAllah, you will get to see the finalized book soon pa. May Allah shower you with countless blessings.”

Walau apa pun cabaran yang bakal menanti, moga keluarga ini tetap kuat menempuhinya.

Sumber: Instagram hana_pisang

 

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: