Gugurnya Air Mata USTAZ EBIT LEW Tiap Kali Saksi Kesakitan Isteri Ketika Bersalin!

Gugurnya Air Mata USTAZ EBIT LEW Tiap Kali Saksi Kesakitan Isteri Ketika Bersalin!

Wanita memang diciptakan dengan jiwa dan semangat yang sangat luar biasa. Meskipun menanggung kesakitan yang teramat kuat saat melahirkan namun demi kasih sayang terhadap suami dan menyambung zuriat, ada di antara mereka rela perutnya dibelah berulang kali. Besar sungguh pengorbanan wanita bergelar isteri dan ibu. Pun begitu, masih ada manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh-Nya.

Perkongsian Ustaz Ebit Lew saat menyaksikan isteri tercinta bertarung nyawa melahirkan cahaya mata mereka nyata menyentuh emosi ramai. Sekuat dan seteguh mana pun fizikal lelaki, pasti akan gugur air mata mereka tatkala melihat sendiri detik kelahiran permata hati. “Saya teringat masa bidadari saya bersalin anak pertama. Teringat jeritan kami sama-sama baca ‘Laa ilaha illa anta subhanaka inni kuntu minazzolimin…’ Bila baby keluar bidadari saya tak lama, pengsan. Sebab baby lama dan susah nak keluar. Doktor ulang kali pesan, “Tolong push kuat-kuat. Nanti baby lemas.” Seorang nurse tekan dari atas perut. Seorang lagi saya tengok tengah macam guna gunting atau pisau di bawah.

Ya Allah. Menangis. Ya Allah..ampunkan dosaku. Ya Allah selamatkan bidadariku. Selamatkanlah anakku. Tengok jeritan, kesakitan, peluh, darah, tekanan… Ya Allah. Ya Allah begitu kuat dan cinta ikhlas dalam hati seorang wanita.

Bila anak keluar isteri dah pengsan tak sedar. Sebab lama sebelum baby bernafas, isteri masih minta maaf. Katanya “Maafkan saya abang…maafkan saya.”

Saat bayi diletak dalam pelukan barulah segala kesakitan seolah-olah hilang. Ya Allah. Masa anak kedua, ketiga, keempat, czer.. Ya Allah, saya sangka belah perut terus ambil anak. Rupanya berlapis-lapis. Sampai bahagian dalam. Dengan darah kesakitannya.. saya menangis. Sambil pegang tangan isteri dan usap dahinya. Abang sayang bidadari abang ini. Abang cinta sayang bidadari abang..

Selepas baby dikeluarkan. Suasananya.. jahit satu-satu lapis perut. Dah macam apa perut itu. Dengan darah penuh. Ya Allah.. Setiap kali dapat anak, saya azan dan iqamah. Selalu sebak. Sebab doa tangisan Nabi SAW anak saya dapat kenal Allah… Rindu ibu yang melahirkan saya. Kerana itu bagaimana seorang lelaki itu boleh berjaya tanpa rasa syukur yakni menghargai pengorbanan wanita dalam hidupnya.”

Membaca entri Ustaz Ebit Lew yang berpesan agar lelaki khususnya suami menghormati tiga golongan wanita ‘terpilih’ dalam hidup mereka nyata satu usaha murni. Jelas Ustaz Ebit, segala kejayaan dan rezeki seorang suami turut bergantung kepada kebaikan yang dicurahkan kepada tiga golongan wanita berkenaan.

“Ramai orang bertanya saya. Betul ke bila orang sakitkan hati bidadarinya, isterinya, rezekinya jadi sempit? Rezeki yang ada pun boleh hilang.. Betul ke doa seorang isteri itu makbul? Benarkah semua orang yang berjaya di belakangnya ialah doa isterinya dan doa ibunya? Begitu juga doa orang miskin dan yang lemah tidak berdaya? Doa desakan di hati mereka itu didengar.

Siapa bersyukur (menghargai) maka Allah akan tambahkan nikmat. Siapa kufur(ingkar, khianat, tak jujur) Allah beri azab yang pedih.

Orang paling banyak berkorban asbab manusia ada dalam dunia ini ada 3 orang. Pengorbanan mati separuh nyawa seorang ibu. Seorang ibu mertua. Seorang isteri yang melahirkan anak kita. Hargailah wanita ini dan lihatlah bagaimana Allah memberi nikmat dan rezeki kepadanya.

Orang yang tak mengasihi, tidak dikasihi. Jangan ada sekelumit pun sangkaan jahat pada orang terutama kepada 3 wanita ini. Jangan kasar atau pandang rendah pada 3 wanita ini. Jangan kedekut pada mereka. Sebagai suami yang baik. Bimbinglah isteri dan anak-anak cintakan Allah dan Nabi SAW. Bahagiakanlah hati mereka. Jangan kedekut beri duit dan hadiah pada isteri dan ibu kita.

Tidak akan pernah berjaya orang yang tidak menghargai isterinya. Yang tidak hargai ibunya. Jagalah amanah Allah ini. Pasti Allah akan jaga kita. Bimbing mereka masuk syurga. Buat seorang suami, usaha dan doalah supaya dapat bersama dan beri semangat pada isteri saat bersalin kerana itulah saat sakit teramat. Lihatlah, pasti hati keras mana akan berderai dengan air mata. Jatuh cinta lagi..”

Sesungguhnya, berbuat baiklah dan berbakti kepada tiga wanita ini. Takkan pernah rugi dan perjalanan hidup suami pasti mendapat lindungan dan keberkatan dari Allah SWT.

Sumber: Facebook Ustaz Ebit Lew

Pandai ‘Buat’ Pandai Jaga. Isteri HAMIL Kali Pertama, Ini Perkara Yang Suami Harus Lakukan!

Pandai ‘Buat’ Pandai Jaga. Isteri HAMIL Kali Pertama, Ini Perkara Yang Suami Harus Lakukan!

Setelah sah menjadi suami isteri, bermula tanggungjawab untuk membina dan menjaga mahligai impian yang menjadi dambaan setiap pasangan berumah tangga.

Menjadi suami bukan lah satu tugas yang mudah. Seorang suami juga perlu menggalas amanah untuk menjaga, mendidik dan menyayangi isteri tidak kira masa.

Wanita pula satu makhluk ciptaan Allah yang sangat indah dan istimewa. Namun tidak dinafikan, bukan mudah untuk menjaga dan memahami hati seorang perempuan lagi-lagi apabila sang isteri sarat mengandung dan hormon tidak stabil.

Bantuan sang suami sangat diperlukan oleh isteri pada ketika ketika ini apabila diri mereka tidak stabil dari segi emosi dan fizikal. Masa ini lah suami harus memainkan peranan yang sangat penting apatah lagi jika ini kali pertama isteri hamil.

Ini beberapa tip yang harus sang suami lakukan ketika isteri disahkan hamil.

1. Kalau ini kali pertama isteri hamil, tunjukkan rasa gembira dan bersyukur kerana pengorbanan isteri mengandungkan anak kalian. Bukan mudah ya untuk mengusung perut yang memboyot ke sana ke sini selama 9 bulan.

2. Bertanya dan sentiasa bertanya. Kalau isteri diam saja tak bercakap satu hari, pasti ada yang tak kena. Cuba tanya apa yang dia mahukan. Mungkin ada mengidam nak makan apa-apa. Maklumlah, wanita hamil ni ada kalanya mengidam yang bukan-bukan. Layan saja apa kemahuannya selagi boleh dituruti.

3. Belailah isteri dengan penuh rasa kasih dan sayang. Buat seperti anda berdua baru jatuh cinta kali pertama. Peluk isteri, cium isteri dan sentiasa berikan pujian. Iya lah, isteri ni risau… “suami aku ni cintakan aku lagi ke?”.

4. Bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah dan tolong isteri memudahkan segala-galanya. Waktu-waktu macam ni la istsri memerlukan seorang ‘hero’ dan ingin bermanja dengan suami. Nanti dah ada anak, tak sempat nak bermanja-manja. Kalau ada masa, teman isteri untuk buat pemeriksaan kandungan di klinik atau hospital.

5. Wanita yang sedang hamil mempunyai emosi yang tidak stabil dan mudah sensetif. So, pastikan anda sentiasa mengambil berat dengan isteri yang sedang hamil terutamanya pada bulan pertama kehamilan.

‘Maintain’ Bahagia Walaupun Dah 15 Tahun Berkahwin, DATIN DIYANA HALIK Bertuah Bersuamikan Dato’ Aaron Aziz

‘Maintain’ Bahagia Walaupun Dah 15 Tahun Berkahwin, DATIN DIYANA HALIK Bertuah Bersuamikan Dato’ Aaron Aziz

REFLEKSI DIRI DATIN DIYANA HALIK

Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdiri seorang wanita di belakangnya. Itulah ungkapan paling tepat buat Datin Diyana Halik iaitu isteri kepada aktor terkenal yang berasal dari Singapura, Datuk Aaron Aziz. Kejayaan yang dimiliki oleh hero filem terkenal Ombak Rindu hingga hari ini adalah hasil berkat usaha dan doa isteri beliau yang juga  merupakan pengurus peribadinya. Bijak dalam mengurus perjalanan karier Datuk Aaron, pelbagai anugerah diraih termasuklah Bintang Paling Popular pada tahun 2013. Kejayaan demi kejayaan yang ditempa membawa satu lembaran baharu dalam kehidupan suami isteri sekaligus menjadikan bahtera rumahtangga pasangan bahagia ini terus menjadi perhatian umum.

“Saya menguruskan karier Aaron lebih 15 tahun semenjak saya berkahwin dengan beliau. Sebelum berkahwin, saya bekerja didalam industri yang sama sebagai ‘assitant producer’ dan dalam pada masa yang sama saya juga pernah buat mekap dan jaga bahagian wardrobe. Pekerjaan saya ketika itu lebih kepada bahagian disebalik tabir. Kemudian dari situ saya bertemu dengan Aaron. Selepas dua tahun kami mengenali antara satu sama lain, kami membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dan selepas itu saya menjadi pengurus beliau sepenuh masa hingga ke hari ini,” terang Datin Diyana memulakan bicara.

BISNES

Dalam sibuk menguruskan karier suami tercinta, Datin Diyana juga giat mengusahakan perniagaan tudung jenamanya. Menurut beliau, perniagaan yang diusahakan sejak 4 tahun lalu mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Walaupun menguruskan dua bidang yang berbeza dalam pada masa yang sama, ternyata Datin Diyana bijak dalam menyusun jadual harian dengan cekap dan teliti.

“Saya memulakan perniagaan tudung saya secara tidak langsung dimana saya berkolaborasi dengan seorang aktres dari Indonesia dengan menjual tudung beliau. Saya membawa masuk tudung beliau ke Malaysia serta Singapura dan tudung tersebut terjual dalam beberapa hari sahaja. Dari situ, saya rasa inilah perniagaan yang saya cari dan ingin usahakan selain menguruskan karier Aaron.  Lebih kurang setahun lebih usaha sama saya dengan jenama tersebut. Selepas itu, saya membuat keputusan untuk menghasilkan tudung jenama saya sendiri.

“Alhamdulillah, kini perniagaan saya sudah berusia empat tahun dan saya masih menguruskan karier Aaron, cuma saya tidak turun ke lokasi penggambaran. Namun bisnes utama saya buat masa ini ialah perniagaan tudung saya. Saya juga mempunyai butik yang terletak di Kota Damansara dan ada beberapa agen dibawah saya. Selain itu, saya juga ada perniagaan pakaian baju kurung RTW yang diberi nama Adore Avenue yang saya usahakan tiga tahun lalu bersama salah seorang rakan baik saya. Terbaru, saya dan Aaron ada keluarkan sampin instant untuk raya tahun ini. Kami juga ada mengeluarkan madu segar gred 1 yang diimport dari Yaman,” bicara Datin Diyana yang kini mempunyai lima orang staf.

Bercakap mengenai tudung jenamanya, pasti setiap helaian mempunyai inspirasi tersendiri. Idea yang diperolehi oleh Datin Diyana tercetus ketika beliau pergi bercuti bersama keluarga. Bermula dengan percutian yang digelar ‘travel series’, setiap lokasi percutian beliau memberi ilham untuk menghasilkan koleksi tudung beliau. Antara negara yang telah dilawati Datin Diyana termasuklah Perancis, Korea dan Jepun.

 

KELUARGA

Rutin harian Datin Diyana cukup sibuk dengan jadual kerja yang perlu dilaksanakan. Mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan beliau dengan Datuk Aaron membuatkan beliau perlu menyusun tugasan harian dengan lebih sistematik. Melayari bahtera perkahwinan lebih 15 tahun tentunya mengukir momen indah bersama keluarga tercinta. Menyentuh soal anak-anak dan resepi kebahagiaan rumah tangga, beliau juga seorang yang sentiasa komited dalam menguruskan hal keluarga.

“Sejujurnya saya tidak berani untuk kongsikan tip rumahtangga kerana saya baru sahaja berkahwin selama 15 tahun (ketawa). Namun apa yang saya boleh kongsikan disini ialah komunikasi antara suami dan isteri. Tidak kiralah dalam perhubungan mahupun perniagaan, bagi saya komunikasi amat penting. Selain itu memahami antara satu sama lain juga penting dalam hubungan rumah tangga. Seperti saya, saya perlu faham dengan profesion Aaron dan dia juga perlu faham dengan profesion saya.

“Saya bersyukur anak-anak saya cukup memahami dan sentiasa menyokong bisnes yang saya usahakan. Dalam pada masa yang sama, saya akan pastikan saya ada untuk ‘big day’ mereka. Contohnya seperti pertandingan dan projek yang mereka sertai. Tambahan pula, anak saya yang nombor dua seorang yang cukup aktif dalam sukan. Walau sibuk bagaimana sekalipun, saya akan ambil masa untuk meluangkan masa untuk anak-anak saya kerana saya yakin anak-anak ini akan ingat hari dimana mereka raih sesuatu pencapaian dalam hidup mereka. Selain itu, saya dan suami akan membawa anak-anak kami untuk pergi bercuti ditempat yang tiada gangguan dan orang tidak kenal. Ini untuk mengelak sebarang gangguan dan membolehkan kami meluangkan masa sepenuhnya bersama anak-anak.

Datin Diyana juga seorang ibu yang cukup penyayang. Beliau membesarkan ketiga-tiga anak dengan cara tersendiri. Menjadikan  anak-anak sebagai ‘best friend’ bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana perlu meletakkan satu batasan antara ibu dan anak. Walaubagaimanapun, cara itu memudahkan beliau untuk berkomunikasi sekaligus menjadikan anak-anak lebih rapat dengan beliau.

 

Padu, DR FATIN LIYANA Bidas Wanita Yang Rasa ‘Bangga’ Tak Tahu Masak!

Padu, DR FATIN LIYANA Bidas Wanita Yang Rasa ‘Bangga’ Tak Tahu Masak!

Orang kata walau setinggi mana pun seseorang wanita itu belajar dan berpangkat, ke ceruk dapur juga akhirnya. Tidak kira yang masih berstatus anak dara, isteri orang mahupun ibu … tetap kena tahu asas masakan. Iyalah, kalau tidak siapa yang hendak sediakan makanan untuk anak-anak dan keluarga?

Disebabkan tugas memasak di kalangan kaum wanita bagaikan sudah sebati dengan budaya dan adat masyarakat Melayu, sikap segelintir daripada mereka yang memandang remeh dan enggan mempelajari dunia memasak mengundang rasa kurang senang kepada khalayak. Lebih mengecewakan, ada yang secara terang-terangan meluahkan rasa bangga dengan perkara itu.

Terkesan dengan situasi berkenaa, Dr Fatin Liyana iaitu seorang doktor,  blogger, penulis buku, isteri dan juga ibu… terpanggil untuk menjelas lanjut kepentingan bagi seorang wanita untuk mendalami tugas memasak.

Kongsinya, “Ummi tengok lately macam banyak anak gadis yang berbangga yang dorang tak tau masak atau buat kerja rumah. Kiranya macam proses urbanisasi kalau seorang wanita itu tak pandai masak atau berkemas. Kenapa begitu ye?”

Memang ada benarnya hujah Dr Fatin ini. Tiada salahnya pun bagi anak dara atau yang sudah bergelar isteri untuk belajar memasak dan menguruskan rumah mulai sekarang. Barulah hidup rasa lebih bermakna dan ada tanggungjawab. Dan yang lebih utama, kita buat semua itu untuk kepuasan diri sendiri juga. Rasa puas bila mampu menyediakan makanan untuk insan yang kita sayang.

Bukankah wanita itu lambang superwoman? Dalam keadaan sibuk dan terdesak tetap mampu menguruskan pelbagai tugas dalam satu-satu masa. Pelajarilah untuk menjadi insan yang lebih baik setiap hari!

Sumber: Instagram dr.afl

 

 

 

 

 

“Hancur Luluh Hati Bila Doktor Beritahu Sel Kanser Arwah Amat Aktif!”

“Hancur Luluh Hati Bila Doktor Beritahu Sel Kanser Arwah Amat Aktif!”

Kehilangan insan yang tersayang akibat penyakit kanser kira-kira enam bulan yang lalu masih segar di ingatan Juliana Amirullah. Suami tercinta, Mohd Fauzi Mansor yang dinikahi 10 tahun yang lalu menghembuskan nafas terakhir setelah hampir tiga tahun berjuang menentang penyakit kanser. Ketabahan wanita tabah ini berkongsi pengalaman menjadi pendorong utama buat si suami berjuang untuk menentang penyakit kanser wajar dijadikan inspirasi.

Biarpun kadang-kala rebah dalam usaian semangat yang sedikit luntur, namun ia tidak ditunjukkan di hadapan suami tersayang semata-mata ingin memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi untuk dirinya berhadapan dengan situasi getir. Namun begitu, naluri wanita meronta-ronta mencari solusi terbaik untuk memastikan insan tersayang dapat sembuh seperti sedia kala.

“Kehidupan saya berubah sebaik sahaja arwah disahkan menghidap kanser secara tiba-tiba kira-kira tiga tahun yang lalu. Saya tidak menduga arwah yang kelihatan sihat tiba-tiba diuji dengan penyakit yang amat ditakuti oleh semua orang. Sebagai isteri, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga arwah sepenuh masa kerana dia kerap kali dimasukkan ke hospital. Saya juga sanggup berhenti kerja untuk membolehkan tumpuan menjaga dirinya diberikan sepenuhnya.”

Bercerita lanjut mengenai bagaimana dia melihat arwah melawan kesakitan dalam menjalani proses rawatan, Juliana berkata sepanjang arwah ditempatkan di wad, pelbagai jenis rawatan kimoterapi terpaksa dilalui namun nasib tidak banyak menyebelahinya apabila kesemua rawatan tersebut gagal membunuh sel kanser.

“Hancur luluh hati apabila doktor memberitahu sel kanser yang menyerang arwah amat aktif. Arwah juga turut melalui rawatan radioterapi sehinggakan melakukan prosedur transplan. Namun begitu, keadaan kesihatan arwah semakin merosot dan kritikal selama 21 hari,” ujar Juliana yang menanggung sendiri kos rawatan suami tersayang.

Masih segar diingatannya momen sedih yang dikongsi bersama arwah apabila mereka diberikan kaunseling oleh doktor apabila arwah disahkan mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja untuk hidup. Ketika itu, seluruh dunia menjadi gelap gelita buat Juliana mahupun Fauzi.

“Enam bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor memberitahu dia hanya mampu bertahan selama tiga atau empat bulan sahaja. Ini merupakan tamparan hebat buat saya dan arwah. Tetapi arwah amat tenang. Dia menerima perkhabaran tersebut dengan reda dan doktor meminta saya agar lebih berhati-hati dalam segala pertuturan dan percakapan bersama arwah.

Bayangkan, seseorang yang sudah tahu anggaran tarikh kematiannya. Jadi, kami menghabiskan masa dengan mengenang kembali keindahan apabila arwah banyak menasihati saya agar redha dengan ujian ini.  Ternyata, arwah menghembuskan nafas terakhirnya seperti anggaran dokotr setelah tidak sedarkan diri selama dua hari.” tutur Juliana sambil menyeka mata yang berkaca.

Tahun ini, sebagai Ramadan pertama tanpa suami tersayang, hanya titipan doa dapat mengiringi perjalanan harinya semoga rohnya dicucuri rahmat. Segala kenangan indah hampir 10 tahun bergelar isteri tersimpul rapi di kotak pemikirannya dan menjadikan momen Ramadan bersama arwah sebagai sesuatu yang manis untuk dikenang. Hanya doa mengiringi perjalanan Ramadan dan Syawal tahun ini sebagai tanda kasih seorang isteri.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: