Atasi Rasa Letih Akhir RAMADAN Ini Dengan 25 Panduan Segar Berikut!

Atasi Rasa Letih Akhir RAMADAN Ini Dengan 25 Panduan Segar Berikut!

Berpuasa menurut bahasa kesihatan bermaksud menyahtoksin. Menyahtoksin adalah proses pengeluaran sisa toksin beracun dari dalam tubuh, yang kerap kali muncul dari sisa makanan, metabolisma tubuh, pencemaran dan ubat-ubatan hingga tercetusnya pelbagai penyakit. Justeru, sewajarnya peluang diambil untuk meningkatkan ibadah di bulan mulia ini dalam keadaan tubuh yang sentiasa cergas dan segar. 25 panduan berikut pasti dapat membantu untuk meningkatkan kecergasan anda sepanjang hari!

  1. BERBUKA DENGAN AIR PUTIH

Sewaktu azan berkumandang, jangan berbuka dengan minuman atau kuih-muih yang manis kerana ini akan membebankan sistem endokrin tubuh akibat kadar gula yang naik mendadak. Sebagai ganti, mulakan dengan segelas air putih, diikuti makanan berkarbohidrat kompleks seperti kurma.

  1. LATIHAN BEBAN

Siapa kata anda tidak boleh bersenam ketika berpuasa? Dianjurkan supaya anda melakukan latihan beban kerana ia lebih memfokuskan glikogen otot sebagai penjana tenaga. Latihan seperti mengangkat dumbbell, sit-up atau push-up boleh dilakukan kira-kira 20-30 minit sebelum berbuka.

  1. MENU SAHUR

Prinsip makanan sihat harus diamalkan ketika bersahur. Ambil makanan yang mengandungi zat penting iaitu karbohidrat, lemak, protein, vitamin dan mineral. Contoh karbohidrat kompleks ialah ubi, nasi merah, roti gandum atau bubur kacang hijau dengan gula merah. Nikmati juga segelas susu rendah lemak dan berkalsium tinggi.

  1. KONSULTASI PAKAR

Bagi penghidap penyakit hipertensi, jantung, diabetes, strok dan sebagainya, pastikan anda bertemu pakar terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk berpuasa. Ingatan bagi penghidap diabetes yang ingin bersenam ketika sedang berpuasa, anda jangan terlalu memaksa diri kerana paras gula darah yang turun boleh menyebabkan hipoglikemia.

  1. IBADAH JUGA MENYIHATKAN

Melakukan ibadah terawih atau solat-solat sunat pada sepertiga malam juga merupakan aktiviti olahraga yang menyihatkan untuk melancarkan peredaran darah. Apatah lagi dengan jumlah rakaat yang banyak, ia membantu sistem tubuh untuk fokus pada proses penghadaman selepas seharian berpuasa.

  1. SUPLEMEN WAJIB

Jangan lupa mengambil suplemen untuk bekalan nutrien yang lengkap. Ini membantu membekalkan zat yang secukupnya kepada tubuh semasa anda berpuasa. Selain itu, pastikan label suplemen jika tertulis perlu ‘minum banyak air’ kerana jenis sebegini mudah membuatkan tubuh terhidrat dan penat.

  1. MINUM JUS BUAH

Bilakah masa terbaik untuk minum banyak air? Nikmati jus buah-buahan segar semasa berbuka dan sebelum tidur agar tubuh anda dapat mengimbangi paras cecair dalam tubuh mengikut masa. Pelbagaikan jenis jus seperti oren, jambu batu, lobak dan timun untuk mendapatkan khasiat yang pelbagai.

  1. PENTINGNYA SERAT

Dr. Farouk Haffejee dari Persatuan Perubatan Islam Afrika Selatan menganjurkan pengambilan makanan tinggi serat yang lambat dihadam seperti bijirin dan biji-bijian seperti barli, gandum, oat, kekacang, tepung gandum penuh dan beras sewaktu bersahur. Contoh karbohidrat yang cepat dihadam pula ialah gula dan tepung putih.

  1. ATASI SEMBELIT

Sembelit merupakan penyakit biasa yang sering dialami semasa puasa. Ia disebabkan pengambilan makanan berproses yang banyak, kurang minum air dan serat penting dalam diet. Kurangkan pengambilan makanan segera dan bergoreng, tingkatkan pengambilan air dan amalkan makanan berserat tinggi.

  1. PERUT MASUK ANGIN

Masalah penghadaman atan perut dimasuki angin disebabkan oleh makanan pedas, bergoreng dan berlemak yang banyak, selain pengambilan makanan yang menyebabkan angin seperti telur, kubis serta minuman bergas. Pastikan anda tidak terlebih makan dan minumlah banyak jus buah-buahan sewaktu berbuka.

  1. LAWAN TEKANAN DARAH RENDAH

Masalah tekanan darah rendah lazimnya membuat tubuh berpeluh berlebihan, tidak bermaya, mudah penat, kurang tenaga, ingin pitam apabila bangun dari posisi duduk serta berwajah pucat apabila menjelangnya tengahari. Pastikan anda minum banyak air semasa bersahur dan kurangkan pengambilan garam.

  1. ELAKKAN TEH DAN KOPI

Minuman teh, kopi dan bergas mengandungi kafein yang bersifat diuretik. Kurangkan pengambilannya dari hari ke-3 hingga ke-5 sebelum Ramadan kerana jika dihentikan pengambilan kafein secara tiba-tiba akan menyebabkan pening kepala dan perubahan mood yang ketara.

  1. TURUNKAN BERAT BADAN

Usah jadikan sambutan puasa sebagai alasan untuk naik berat badan! Bagi anda yang mempunyai berat badan berlebihan, puasa adalah peluang terbaik untuk mengembalikan berat badan ideal. Rancanglah diet anda dengan bijak dan amalkan gaya hidup aktif di siang hari.

  1. MENU SEIMBANG

Adat berpuasa, selera pastinya terbuka dengan aneka juadah lazat yang terhidang. Tidak salah menikmati saat-saat ini, asalkan anda bijak mengatur menu untuk keluarga. Pastikan ada satu hidangan utama seperti nasi atau mi, diikuti lauk-pauk seimbang lengkap sayuran dan kekacang dan snek segar seperti buah-buahan sebagai pencuci mulut.

  1. JENIS BUAH

Ambil 1-2 hidangan buah-buahan sitrus yang kaya vitamin C semasa berbuka. Anda juga boleh memakan buah sebagai penyudah makan malam untuk melancarkan proses penghadaman dan mencegah masalah perut/usus yang lain. Buah-buahan kering pula boleh dijadikan snek selepas makan atau terawih.

  1. BEKALAN KALSIUM

Susu dan produk tenusu adalah sumber protein serta kalsium yang baik. Semasa berpuasa, nutrien penting ini perlu diambil bagi mengekalkan pembinaan tisu tubuh dan tulang yang kuat. Amalkan meminum segelas susu, yogurt atau hirisan keju semasa bersahur.

  1. JANGAN MAKAN BERLEBIHAN

Tidak perlu makan banyak sewaktu bersahur mahupun berbuka! Tubuh kita mempunyai mekanisma yang menakjubkan semasa berpuasa. Secara automatik, basal metabolisma akan menurun dan lemak di bawah kulit akan dibakar sebagai tenaga. Walaupun pengambilan makanan berkurangan, anda akan tetap sihat dan aktif asalkan mengambil diet yang seimbang semasa makan.

  1. BERTEDUH

Semasa cuaca sangat panas dan terik, jangan berjemur di luar. Elakkan sebarang aktiviti luar ketika ini dan berteduhlah di tempat yang sejuk. Hadkan aktiviti anda dengan melakukan kerja pejabat atau belajar untuk mengelakkan rasa penat atau kehausan.

  1. PERATURAN 1/3

Ketika makan, sentiasa ikuti peraturan yang ditetapkan oleh para Nabi iaitu satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga angin di dalam perut. Peraturan ini bukan sahaja menjamin kesihatan, malah memberi keselesaan semasa anda beribadah.

  1. TIDUR SIANG

Semasa waktu rehat, carilah sebuah tempat yang sunyi dan tetapkan jam penggera pada jam atau telefon bimbit agar anda dapat tidur seketika. Walaupun hanya 15 minit, tubuh akan kembali segar lebih-lebih lagi selepas anda bangun awal untuk bersahur.

  1. KAWAL EMOSI

Berpuasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum malah menguji kesabaran emosi anda. Selain melakukan ibadah, tetapkan psikologi anda agar lebih terkawal kerana ia boleh mempengaruhi kecergasan tubuh dan tahap ketahanan diri semasa sedang berlapar.

  1. DIET IBU MENYUSU

Bagi mengekalkan bekalan susu yang mencukupi untuk si comel anda, minum dua gelas susu segar, semangkuk sayuran dan buah-buahan serta sepinggan pasta, roti atau nasi. Pastikan juga anda banyak berehat di siang hari dan menyusui bayi dengan kerap.

  1. PENJAGAAN KECANTIKAN

Rutin penjagaan kecantikan anda seharusnya ditingkatkan menjelang bulan Ramadan. Selain memberi perhatian pada aspek kebersihan kulit, elakkan memakan makanan ringan seperti coklat, gula-gula atau makanan berminyak lain yang boleh menyebabkan timbunan jerawat. Malah, jangan lupa menyapu krim tabir suria dengan kandungan SPF yang lebih tinggi.

  1. PEMBERSIHAN KULIT

Untuk mengekalkan kesihatan kulit, pastikan anda sentiasa membersih, menyental, menyegar dan melembap kulit setiap hari. Pilih solusi pembersihan kulit yang sesuai jenis kulit, samada kering, berminyak atau normal. Di bulan Ramadan ini, gunakan air yang agak hangat untuk membersih dan bilas dengan air suam.

  1. PILIH PUPUR PELEMBAP

Lumrah berpuasa, tubuh akan terhidrat kerana tidak dapat meminum air. Bekalkan lembapan pada wajah dengan pemakaian pupur pelembap atau masker vitamin C selama beberapa minit. Kulit yang lembap nyata lebih berseri berbanding wajah pucat dan kusam.

Pernah Ditegur Sinis Ketika Solat Tarawih, DAPHNE IKING Cekal Mencari Keberkatan Ramadan!

Pernah Ditegur Sinis Ketika Solat Tarawih, DAPHNE IKING Cekal Mencari Keberkatan Ramadan!

Hidup ini umpama putaran roda. Kadang-kadang kita di atas, ada ketika pula kita di bawah. Dilahirkan sebagai seorang Muslim sememangnya satu kelebihan namun tanpa ilmu dan kesungguhan ke arah kebaikan, bila-bila masa saja seseorang itu mudah terpesong. Berbeza pula bagi mereka yang baru mendalami Islam dan bergelar ‘saudara baru’, cabaran yang dilalui mereka lebih besar dan memerlukan sokongan kuat terutamanya dalam kalangan umat Islam sendiri.

Mendengar pengalaman Daphne Iking atau nama Islamnya, Dahlia Eleanor Iking waktu mula-mula memeluk agama indah ini nyata mencuit rasa terkilan. Tak sangka, masih ada lagi golongan yang begitu skeptikal dan menegur dengan cara yang tidak sepatutnya seorang Muslim lakukan. Meskipun sudah tujuh tahun berlalu namun insiden itu benar-benar meninggalkan kesan.

“Lepas berkahwin, suami ajak pergi tarawih. Masa tu memang rasa risau dan takut. Iyalah,  Al-Fatihah pun belum betul-betul hafal. Tapi suami cuba dekatkan saya dengan semua ini. Bayangkan, dahlah tak tahu sangat solat. Kena separated lelaki perempuan pula tu. Kebetulan saya pakai pewarna kuku. In between solat, ada seorang perempuan tegur dengan nada sangat sinis sambil menunjuk kuku saya dan cakap ‘tak sah solat ni’ berkali-kali. Sampai saya rasa awkward dan tersinggung. Tak tahu hendak buat apa.

Habis sembahyang saya beritahu suami, tapi dia minta saya fikir positif dan esoknya kami pergi solat tarawih di masjid lain. Di sana, hal lain pula timbul sebab saya pakai telekung tanpa anak tudung. Ada jemaah perempuan tegur dengan cara tak sepatutnya sebab nampak rambut saya. Sedangkan boleh tegur baik-baik… tapi tidak,” ujar Daphne.

Atas dasar yakin terhadap kekuasaan Allah SWT, Daphne berusaha menjadi hambaNya yang lebih baik.

“Ustazah suruh jaga solat sebaik-baiknya. This Ramadan saya cuba yang terbaik, anak-anak pun dah mula bertanya pasal agama. Alhamdulillah boleh jawab apa yang saya tahu. Tak terlalu arif tapi lebih baik daripada sebelum-sebelum ini. Selalunya kalau tak pasti tentang solat atau puasa, saya akan minta tolong rakan artis yang rapat seperti Sazzy Falak.”

Ditanya tentang pengalaman berpuasa, jelas Daphne ia bukanlah perkara asing memandangkan ketika menjadi penganut Katolik dulu mereka turut berpuasa. “Agama dulu 40 hari berpuasa tapi boleh minum. Saya juga ada pengalaman berpuasa masa belajar di USM. Waktu itu belum Muslim lagi cuma ada ramai kawan yang beragama Islam. Dapatlah merasa pengalaman puasa dengan mereka sebab banyak kedai makan dan kafe di universiti tutup.

Sekarang ini, alhamdulillah anak saya Isobel Daniella dah boleh berpuasa. Dia mula berpuasa separuh hari dulu tapi sekarang dah boleh puasa penuh. Anak kedua, Iman Danilla pula masih tak faham lagi konsep puasa sebab dia baru enam tahun. Bila tengok kakak bangun sahur, dia ikut bangun tapi tengahari dah minta makan. Lepas makan, dia hendak sambung puasa balik. Macam-macam ragam.

Syukur, tahun ini saya ada masa untuk mengaji Al-Quran dan sertai usrah group. Masuk online group dan belajar dalam 30 hingga 40 minit sehari. Al-Quran saya memang comot sebab penuh dengan highlight dan coretan. Setiap hari saya belajar cari benda baru untuk dapat jawapan kepada setiap soalan saya. Dan ajaibnya bila baca Al-Quran, semuanya mengandungi mesej yang berkaitan dengan apa yang saya cari.”

Sumber foto: Instagram Daphne Iking

Cantik Sangat, Penampilan TENGKU PERMAISURI SELANGOR Anggun Berhijab Curi Perhatian!

Cantik Sangat, Penampilan TENGKU PERMAISURI SELANGOR Anggun Berhijab Curi Perhatian!

Terkesima tengok penampilan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin tatkala mengenakan hijab. Memang cantik! Terserlah kelembutan dan gaya anggun baginda. Mengambil keberkatan bulan mulia ini untuk beramal ibadah dan bermesra dengan rakyat jelata, kelibat Tengku Permaisuri Selangor yang mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke majlis-majlis rasmi sejak kedatangan Ramadan pada 17 Mei lalu nyata menceriakan jemputan yang hadir. Sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mendekati pasangan diraja ini.

Mengenakan baju kurung Kedah dan kerudung kepala berwarna senada kelabu, Tengku Permaisuri Selangor mengiringi Sultan Selangor berangkat ke Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat dan menunaikan solat sunat tarawih di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 18 Mei lalu. Turut berangkat sama ke majlis tersebut, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah. Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada asnaf fakir, golongan miskin dan asnaf mualaf yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ketibaan Tengku Permaisuri Selangor di Tanjung Karang, Kuala Selangor ke Majlis Ihya’ Ramadan dan penyampaian sumbangan Hari Raya di Masjid Kampung Sungai Terap pada hari ketujuh Ramadan sekali lagi mencuri perhatian rakyat. Kali ini baginda mengenakan persalinan kurung moden bercorak batik yang digandingkan bersama hijab rona cream. Cukup minimalis!

Memasuki Ramadan kelapan, DYMM Sultan Selangor sambil diiringi Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor berangkat ke Majlis Bacaan Yassin dan Berbuka Puasa bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin UiTM, Shah Alam. Pada majlis ini, Duli Yang Maha Mulia turut berkenan menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM27,200 kepada 57 pelajar UiTM yang kurang bernasib baik. Kehadiran Tengku Norashikin berbusana tradisi dan bertudung litup pastel menonjolkan sisi kelembutan yang dimiliki baginda.

Tiga hari lalu, buat julung kalinya DYMM Sultan Selangor berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sambil diiringi Tengku Permaisuri Selangor. Tampil berbeza daripada kunjungan rasmi yang lalu, Tengku Permaisuri Norashikin yang sentiasa ditemani isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Shamshida kelihatan menawan dalam persalinan jubah berwarna merah jambu dan hijab rona kelabu. Dengan lilitan tudung yang ringkas dan tidak lekang mengukir senyuman, baginda tetap menyerlah dalam kelas tersendiri.

Sumber: Instagram Selangor Royal Official

 

 

“Kalau Tak Mampu Lawan Hawa Nafsu, Menangislah…” Datuk Ustazah Norhafizah Musa

“Kalau Tak Mampu Lawan Hawa Nafsu, Menangislah…” Datuk Ustazah Norhafizah Musa

Sebagai seorang wanita menggalas tugas sebagai seorang isteri, ibu dan pekerja atau majikan dalam masa yang sama perlukan pengorbanan yang luar biasa. Wanita memang insan yang begitu istimewa dikurniakan semangat yang kental. Kehadiran Ramadan sedikit sebanyak menguji kesabaran dan keimanan dalam membahagikan antara keperluan dunia dan keperluan akhirat.

Memetik Program yang ke udara di ruangan IKIM.Fm baru-baru ini dalam slot Tarbiyah Datuk Ustazah Norhafizah Musa berkongsi tajuk Mujahadah Ramadan. Mujahadah ini berlawan dengan kekuatan iman. Menurut Ustazah Norhafizah ketika menyambut Ramadan berbagai-bagai yang dirancang untuk meraih keberkatan Ramadan itu.  Tapi bila saat melaksanakan perancangan tersebut ada satu faktor yang sangat besar yang menjadi punca berjaya atau tidak perancangan tersebut iaitu MUJAHADAH.

Sejauh mana kekuatan kita untuk melawan dengan hawa nafsu, menegakkan apa yang kita rancang, kita mampu menepis kebiasaan hawa nafsu yang sukakan keseronokan, kesenangan serta bermalas-malas. Kita perlu ubah dalam hari-hari puasa yang masih berbaki agar tidak menjadikan Ramadan ini sebagai rutin yang biasa sahaja.

Sebagai isteri dan ibu kena masak untuk berbuka masak dan bangun awal pagi untuk sahur pula. Memang penat tapi perlu titipkan elemen MUJAHAD agar kita mampu melakukannya. Buat benda baik pasti akan timbul perasaan bermalas-malas, penat dan bertangguh. Sebab itu, mari kita menginsafi bahawa Allah SWT sedang menguji kita. Biar untuk 30 hari Ramadan kita letakkan ikhtiar perjuangan untuk melawan, mendidik dan menguruskan hawa nafsu itu dengan baik.

Allah menguji kita dengan cara yang sangat ihsan dengan kadar keimanan yang ada dalam diri kita. Kita kuatkan iman untuk melawan hawa nafsu ketika Ramadan. Baru beberapa yang berlalu, berapa markah kita? Begitu sukar untuk mendapat markah penuh. Kalau bab kita bersama anak-anak mahu markah yang tertinggi. Tetapi bila bab kita dengan Allah SWT terlalu berkira.

Ramadan Adalah Bulan Berdoa

Rasulullah SAW bercerita dengan Aisyah. Di malam Ramadan terdapat satu malam yang sangat istimewa iaitu Lailatulqadar. Kalau kamu mahu bertemu malam ini, perbanyakan amalan kamu, banyak kan doa. Lalu Aisyah bertanya nabi, apa doa terbaik yang boleh minta. Lalu jawab Rasulullah doa yang terbaik adalah “Ya, Allah sesungguhnya Engkau Maha mengampunkan, dan suka mengampunkan dan ampunkanlah aku.”

Tip Mujahadah Di Bulan Ramadan

  • Jangan lupa beban yang paling dahsyat adalah dosa kita sendiri. Jadilah orang yang berdoa kepada Allah SWT.
  • Kita perlu berkawan dengan orang soleh, kita perlu sokongan daripada orang lain untuk melakukan ibadah.
  • Kalau Ramadan tak boleh terawih dan tidak melakukan amalan sunat yang lain, sangat rugi. Cuba banyak bersedekah ketika Ramadan dan kekalkan seterusnya pada bulan-bulan yang lain.
  • Kita perbanyakan tidur pada waktu sahur sedang kan Allah SWT sedang menanti di mana hambaKu yang merintih merayu kepada Ku. Memohon keampunan. Kalau tanpa mujahadah memang semua tidak mampu.
  • Nak bangun perlu berlawan dengan perasaan. Lakukan semua hanya kerana Allah SWT. Biar waktu sahur menjadi berharga dengan kita dengan beristighfar.
  • Berlawan dengan hawa nafsu dengan gotong-royong dengan suami dan anak-anak. Minta pertolongan untuk sokongan mereka.
  • Kita harus bangun kan ketika Ramadan dan dengan ihsan Allah SWT. Mari kita raih keberkatan Ramadan. Apa yang Allah SWT beri ini sangat luar biasa.

Cadangan: Kalau kita tak mampu mujahadah gantikan dengan menangis. Tak larat pergi terawih, gantikan dengan menangis. Kena ada rasa takut. Belajar menangis. Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

 

 

 

 

 

 

 

Tiap Kali Ramadan, 3 SELEBRITI CANTIK Ini Mesti Cari Kuih Tradisi Kegemaran! Jom, Cuba Resipi Ni

Tiap Kali Ramadan, 3 SELEBRITI CANTIK Ini Mesti Cari Kuih Tradisi Kegemaran! Jom, Cuba Resipi Ni

Sempena Ramadan, tiga selebriti cantik ini iaitu Izara Aishah, Liyana Jasmay dan Azira Shafiza berkongsi juadah kegemaran mereka tiap kali tibanya bulan puasa. Jom, cuba resipi menyelerakan pilihan mereka bertiga.

IZARA AISHAH

Bagaimana perasaan dan persediaan anda, bakal menyambut Ramadan kali pertama?

Semestinya saya berasa sangat teruja dan gembira kerana tahun ini bakal menyambut Ramadan bersama suami, pertama kali menjadi isteri. Saya tidak sabar menanti detik itu. Kami merancang untuk berbuka puasa di luar kerana kelengkapan rumah belum lengkap sepenuhnya. Saya juga masih belajar banyak perkara termasuklah dalam soal memasak.

Tiga menu wajib kegemaran suami?

Menu wajib menjelang Ramadan, martabak cheese. Biasanya suami gemar menikmati hidangan air tangan ibunya dan juga saya. Antara lain menjadi kegemaran Nasi Tomato dan Nasi Daging.

LOMPAT TIKAM

Bahan-bahan A (bahagian bawah):

  • 3 cawan air perahan daun pandan
  • ½ sudu garam
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu makan air kapur
  • Pewarna hijau

Bahan-bahan B (bahagian atas):

  • 4 cawan santan sederhana pekat
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu teh garam atau secukup rasa

Bahan-bahan C (manisan):

  • 3 keping gula nisan
  • 2 helai daun pandan (disimpul)
  • 2 cawan air

Cara Membuat:

Panaskan kuali, masukkan bancuhan air daun pandan, air kapur dan tepung beras. Masukkan garam dan sedikit pewarna hijau. Kacau selalu sehingga pekat dan berkilat. Tutup api lalu tuang ke loyang, sejukkan. Untuk lapisan atas, masukkan santan yang dibancuh dengan tepung beras ke dalam periuk. Masukkan garam, kacau sehingga berkilat. Tuang ke atas lapisan pertama tadi, ratakan dan sejukkan. Untuk manisan, panaskan air dalam periuk. Masukkan gula nisan dan daun pandan, masak sehingga gula nisan larut. Enak dihidangkan ketika sejuk.

LIYANA JASMAY

Empat hidangan kegemaran Liyana ketika di bulan Ramdan?

Setiap kali tibanya Ramadan, antara menu yang amat saya tunggu-tunggu disediakan oleh ibu antaranya termasuklah kari ikan, ayam masak kicap, ayam masak kurma dan kari daging.

Adakah anda memeasak sendiri juadah untuk berbuka puasa?

Sebagai isteri, saya menyediakan sendiri juadah bersahur dan berbuka untuk suami. Saya amat bertuah kerana suami seorang yang tidak cerewet soal makanan. Jadi, dia akan makan apa sahaja yang saya sediakan. Tetapi kami suami isteri amat mementingkan hidangan yang seimbang dan berkhasiat terutamanya di bulan Ramadan. Pemilihan hidangan yang tepat mampu membekalkan tenaga untuk berpuasa sepanjang hari. Kami juga kurang makan nasi tetapi mengamalkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet seharian.

KETUPAT DAUN PALAS

Bahan-bahan:

  • 2 cawan beras pulut
  • 1 1/2 santan
  • Garam secukup rasa
  • 2 helai daun pandan
  • Gula secukup rasa

Cara membuat:

Kukus pulut hingga naik wap. Kacau sekali sekala. Sementara itu, masak santan dengan api yang perlahan. Masukkan simpulan daun pandan, garam dan secubit gula. Masak sehingga mendidih dan tutup api. Keluarkan pulut dari pengukus. Masukkan santan sedikit demi sedikit sehingga pulut kelihatan kembang dan lembut. Kukus sehingga pulut masak. Bungkus ke dalam daun palas. Kemudian kukus lagi sehingga masak.

AZIRA SHAFINAZ

Boleh berkongsi empat makanan kegemaran apabila tibanya Ramadan?

Setiap kali tibanya Ramadan, Azira akan cari menu kegemaran antaranya termasuklah  otak-otak, tepung pelita, popia basah dan tau foo fa. Hidangan ini menjadi kegemaran Azira dan ada di antaranya hanya mudah diperoleh apabila tibanya Ramadan seperti kuih tepung pelita.

Kenangan Ramadan yang tidak dapat Azira lupakan?

Setiap kali berpuasa, arwah nenek Azira akan menyediakan hidangan istimewa iaitu martabak daging. Tahun ini merupakan tahun pertama kami sekeluarga menyambut Ramadan tanpa arwah yang meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Sememangnya Ramadan tahun ini tidak akan sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Kami sekeluarga pasti akan merindui keenakan martabak daging hasil air tangan nenek.

BINGKA UBI KAYU

Bahan-bahan:

  • 1 kg ubi kayu|disagat
  • 1/2 cawan gula pasir
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2 cawan air
  • 1 cawan santan
  • Sedikit mentega
  • Beberapa titik pewarna kuning

Cara membuat:

Sagat ubi dan campur dengan air. Kemudian tapis, biarkan ubi seketika agar lebihan air dapat dibuang. Campurkan sagu bersama ubi. Masukkan gula, garam, dan beberapa titik pewarna. Tuang adunan santan. Sapukan loyang dengan mentega dan panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah. Tuang adunan ke dalam loyang bersaiz kecil anggaran 8 inci diameter dan masukan beberapa sudu mentega. Bakar selama satu jam di dalam ketuhar sehingga masak.

Untuk pelbagai hidangan berbuka, jangan lupa dapatkan Majalah NONA Mei 2018 di pasaran!

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: