Belajar Bersama Di Amerika, DATIN SERI SHAMSHIDA Dedah Perkenalan Awal Bersama Dato’ Seri Azmin!

Belajar Bersama Di Amerika, DATIN SERI SHAMSHIDA Dedah Perkenalan Awal Bersama Dato’ Seri Azmin!

Siapa sangka, pemergian Datin Seri Shamshida Taharin ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajaran akhirnya ‘mendekatkan’ beliau dengan jodoh. Meskipun usia perkahwinan bersama Dato’ Seri Mohamad Azmin Ali hampir mencecah 30 tahun namun pasangan ini kekal bahagia melayari bahtera rumah tangga di samping enam cahaya mata. Dari awal pembabitan Dato’ Seri Azmin dalam arena politik sehinggalah menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi hari ini… wanita berusia 52 tahun ini tetap setia berdiri di belakang suami tercinta.

Mengimbas kembali momen perkenalan pasangan genius ini, Datin Seri Shida membuka bicara. “Sebagai anak guru, saya memang sentiasa didedahkan tentang pentingnya pelajaran oleh ibu bapa. Terutama sekali ibu saya, Puan Siti Rahmah Ismail. Alhamdulilah, ketika di Sekolah Menengah Sains Bukit Mertajam, Pulau Pinang, saya selalu menjadi top student dan mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester. Saya juga pernah ditawarkan untuk mendalami bidang perubatan tapi akhirnya saya menolak.

Saya masih ingat pertemuan dengan Dato’ buat pertama kali. Hari itu dia datang ke tempat saya di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Bukit Gambang, bersama wakil universiti bagi memilih pelajar terbaik ke University of Minnesota. Tanpa disangka, saya terpilih dan menerima biasiswa MARA untuk ke American Degree Program. Maka bermulalah kisah hidup saya sebagai anak perantau di Amerika. Sayangnya ketika tiba di sana, bagasi saya hilang.

Pensyarah kami pernah mengusik. Katanya suami saya telah memilih saya dari awal untuk dijadikan isteri. Mungkin kerana selepas saya menamatkan baki pengajian dua tahun di Malaysia, tidak lama kemudian Dato’ pun masuk meminang. Tapi sebenarnya kami percaya pada jodoh dan alhamdulilah berkekalan sehingga ke hari ini,” kata Datin Seri Shida yang berbeza usia hanya setahun lebih muda daripada Dato’ Seri Azmin.

Selepas tamat pengajian di Amerika Syarikat, Datin Seri Shida seterusnya bergelar pelatih di syarikat pembinaan EMKAY selama enam bulan dan di Malaysia Airlines sebagai management trainer selama enam bulan. Selepas mendirikan rumah tangga dengan Dato’, beliau menyertai Phileo Allied Bank sebagai konsultan. “Kini selain menumpukan perhatian pada anak-anak, masa saya lebih banyak terisi dengan program sendiri. Saya merupakan Pengerusi di Rumah Puteri Arafiah (di bawah kelolaan PEKAWANIS) yang merupakan sebuah rumah pemulihan dan perlindungan remaja bermasalah di antara usia 12 ke 21 tahun.

Saya dan anak-anak juga aktif berhubung melalui grup Whatsapp. Itulah cara kami bersembang dan mengeratkan hubungan bila masing-masing jauh di mata. Sebenarnya sepanjang hidup suami saya, dia memang seorang yang selalu sibuk. Dari seorang ahli politik, sehingga bergelar ADUN, Ahli Parlimen, dan Menteri Besar, tingkat kesibukannya semakin lama semakin tinggi. Sebagai teman hidup, saya cuma mengikut apabila kehadiran diperlukan. Tapi sebenarnya saya suka berjumpa rakyat dan melalui program-program tertentu, saya seronok dapat menyalurkan amal jariah serta membantu golongan susah.”

Dalam kesibukan mengurus keluarga dan suami, wanita kelahiran Taiping ini seorang yang ‘cukup dekat’ dengan ilmu agama. “Aktiviti saya sejak 11 tahun lalu, mesti menghadiri kelas tafsir Al-Quran setiap dua kali seminggu. Hari Selasa dan Khamis selalunya. Jadi pegawai saya sudah tahu, dua hari ini memang khas untuk saya menimba ilmu. Apa-apa program atau mesyuarat seboleh-bolehnya diatur bukan pada hari tersebut. Di rumah, kami juga jadikan aktiviti solat berjemaah sebagai amalan keluarga, berimamkan suami atau anak-anak, atau ibu saya, atau pun saya sendiri sebagai imam kepada anak-anak perempuan kami mengikut kesesuaian keadaan. Kami percaya bahawa ‘A family that prays together stays together’. Itulah caranya mengeratkan kasih sayang sesama kami.”

Seperti wanita lain, Datin Seri Shida juga senang memanjakan diri di spa. Perawatan seperti berurut dan facial menjadi pilihannya untuk beristirahat. “Saya tidak pernah cerewet tentang makanan. Bagi saya semuanya sedap jika cukup semua rasanya. Namun saya kurang mengambil nasi tapi melebihkan pengambilan sayur-sayuran. Mungkin itulah caranya saya menjaga kesihatan sampai sekarang.”

Datin Seri Shida dan Dato’ Seri Azmin dikurniakan enam cahaya mata iaitu Farah Shazliyana, Mohamed Ameer Shazrin, Farah Amira, Farah Afifah, Mohamed Basheer Noor Al-Haq dan Mohamed Yusuf Al-Sadiq. Keluarga ternama ini pernah menghiasi muka depan Majalah Nona Edisi Tahun Baru Januari 2017.

 

Angkara Konflik SUAMI ISTERI, Perkembangan Mental & Emosi Anak-Anak Terencat!

Angkara Konflik SUAMI ISTERI, Perkembangan Mental & Emosi Anak-Anak Terencat!

Islam amat mengambil berat tentang hal ehwal serta kebajikan wanita. Kaum lelaki diperintahkan untuk berbuat baik terhadap wanita. Dalam sebuah rumah tangga umpamanya, wanita yang bergelar isteri merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada seorang suami kerana suami merupakan ketua keluarga.

Berikut perkongsian Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Mohd Badiuzzaman atau lebih dikenali sebagai Ustazah Sharifah Khasif berkenaan jenis-jenis mudarat dalam rumah tangga berserta kesannya terhadap institusi keluarga.

Ustazah Sharifah Khasif

AMANAH

Seorang suami diperintahkan untuk menunaikan hak-hak isteri, menjaga maruah isteri serta mengajar isteri perkara-perkara berkaitan dengan agama dan pembentukan peribadi. Sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan suami terhadap isterinya seperti mengabaikan nafkah, mendera atau memukul isteri tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara‘ dilarang oleh Islam.

JENIS-JENIS MUDARAT DALAM RUMAHTANGGA

1. Tidak memberi nafkah zahir dan batin. Nafkah zahir termasuklah:

a) Tempat tinggal bersama (suami dan isteri) iaitu rumah selayaknya yang memberi keselesaan dan keamanan.

b) Mengabaikan keperluan hidup iaitu makanan, pakaian serta peralatan yang munasabah dan selayaknya mengikut kemampuan suami. Sabda Rasulullah SAW maksudnya:

Dan wajib ke atas kamu memberikan mereka (isteri-isteri) rezeki mereka dan pakaian mereka dengan baik. Tempatkanlah mereka di mana kamu bertempat tinggal mengikut kemampuanmu.”

2. Tidak bergaul dengan isteri secara baik, mesra dan kasih sayang. Firman Allah SWT maksudnya: “Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.”

3. Tidak berlaku adil kepada isteri-isteri jika suami itu mempunyai isteri lebih daripada satu.

4. Menyakiti hati isteri, berlaku kasar dan sebarang perbuatan yang memudaratkan isteri tanpa sebarang sebab seperti memukul tanpa belas ihsan.

5. Menghalang isteri untuk menziarahi keluarganya (ibu bapa dan kaum keluarganya).

KESAN TERHADAP INSTITUSI KELUARGA

  • Konflik boleh menjejaskan kesihatan pasangan terlibat. Dalam keadaan tertekan, satu kesan paling ketara ialah masalah tekanan darah tinggi dan boleh melarat kepada masalah penyakit jantung.  Penyakit ini jika berterusan boleh membawa maut
  • Anak-anak kurang mendapat perhatian jika ibu bapa asyik berkonflik. Jika ibu bapa tidak bersefahaman tentu sekali anak-anak juga menanggung akibatnya. Mereka tidak dapat melakukan akvititi yang biasanya dilakukan bersama. Contohnya, ibu bapa berdepan konflik tentu tidak akan keluar untuk bersiar-siar atau berkelah.
  • Prestasi kerja menurun. Kesan di tempat kerja, putus hubungan perniagaan, konflik di tempat keluarga dan hubungan dalam masyarakat wujud disebabkan masalah dalaman ahli keluarga. Bayangkan apa yang berlaku itu hasil daripada konflik suami isteri. Itu belum lagi jika berlaku perceraian.
Sikap Garang FARAHAINI Bikin Hati MOHD AFIQ FARHAN Makin Sayang!

Sikap Garang FARAHAINI Bikin Hati MOHD AFIQ FARHAN Makin Sayang!

Selama mengenali suami, Farahaini cukup tertarik dengan sikap suaminya yang bukan sahaja pemalu dan penyabar malah sangat mementingkan keluarga. Paling penting ialah dapat menerima keluarganya dengan baik. Sementara suaminya pula, dia tertarik dengan Farahaini kerana sikapnya yang kontra iaitu garang, peramah dan penyayang.

Farahaini Dato’ Haji Abdul Rahim dan Mohd Afiq Farhan Datuk Seri Mohd Zuki saling mengenali sejak tujuh tahun lalu. Tiga tahun mereka menjadi rakan biasa dan selepas itu hubungan mereka bertukar menjadi serius sebelum mengambil keputusan untuk menjadi pasangan suami isteri yang sah.

Farahaini kini berusia 25 tahun yang merupakan graduan dari Iowa State University. Kini Farahaini menguruskan perniagaan keluarga. Manakala suaminya pula yang juga berusia 25 tahun merupakan lulusan dari University of Hertfordshire, United Kingdom. Mohd Afiq Farhan merupakan Eksekutif di Badan Berkanun.

PERKENALAN

“Pertemuan kami berlaku secara spontan. Kami berkenalan melalui rakan kerana saya belajar di sekolah perempuan manakala suami pula di sekolah lelaki. Pertemuan pertama berlaku ketika kami menyaksikan perlawanan rugbi sekitar tahun 2011.

Ketika itu saya dibawa oleh rakan. Di situlah bermulanya titik permulaan kami. Persahabatan kami kian erat apabila kami menyambung pelajaran di Shah Alam.

Selepas setahun kami terpaksa berjauhan kerana saya melanjutkan pengajian di Amerika manakala suami pula di UK. Walau berjauhan kami tetap menghubungi antara satu sama lain serta sentiasa memberikan nasihat, kata-kata semangat dan sokongan.

Bermula dari saat itulah bibit percintaan bermula. Suami meluahkan perasaannya ketika saya melawat kota London bersama keluarga,” ungkap Farahaini.

MAJLIS

Tarikh 7 Julai 2018 dipilih bagi menyatukan dua hati ini sebagai pasangan suami isteri yang sah. Majlis berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya bertemakan rona putih dan hijau. Farahaini tampil anggun dalam busana pernikahan rekaan Man Kajang. Flair Design bertindak selaku perancang dekorasi perkahwinan.

Keesokan harinya berlangsung majlis resepsi pihak pengantin perempuan yang masih menjadikan Hotel Sheraton Petaling Jaya sebagai lokasi. Kali ini perancang dekorasi perkahwinan mereka ialah Kayangan Gallery berkonsepkan moden. Rekaan Azura Couture sememangnya tidak pernah kalah sehingga menyerlahkan kejelitaan asli yang dimiliki oleh Farahaini.

Pada 15 Julai 2018 berlangsung pula majlis resepsi pihak pengantin lelaki di Dewan Seri Endon Bangunan Puspanitapuri. Majlis berkonsepkan tradisional menggunakan paduan rona keemasan. Kedua mempelai tampil berseri tatkala menyarungkan busana rekaan Man Kajang.

“Sepanjang persiapan perkahwinan kami banyak berselisih faham. Namun, bagi kami itu semua dugaan untuk mendirikan rumahtangga. Alhamdulillah kami tetap bersyukur dengan dugaan itu kerana yakin pasti ada hikmah di sebaliknya. Paling penting kami sudah selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah,” luah Farahaini. Pasangan ini memilih Maldives sebagai destinasi bulan madu.

Berjaya Dalam Kerjaya  Belum Tentu Terlepas Dari Masalah Keganasan Rumah Tangga

Berjaya Dalam Kerjaya Belum Tentu Terlepas Dari Masalah Keganasan Rumah Tangga

Membina mahligai indah bersama lelaki yang dicintai dan melayari bahtera rumah tangga penuh penghormatan adalah idaman setiap wanita. Mengharapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengahari. Nor Fadilah Mohamed Nizar, 35 tahun, berkongsi pengalaman tentang keganasan domestik atau penderaan rumah tangga yang pernah ditempuhnya suatu ketika dahulu.

“Masalah mula bertandang apabila bekas suami berubah sekelip mata tanpa belas ihsan. Dia mula bertindak mendominasi perkahwinan angkara sikapnya yang terlalu materialistik. Sukar mengungkap dengan kata-kata merungkai emosi dan keadaan diri sepanjang melalui tempoh keganasan domestik. Rasa diri sudah tidak bernilai lagi, tertekan dan malu untuk bersosial dengan masyarakat lantaran tidak mempunyai sistem kewangan yang kukuh walaupun mempunyai pendapatan empat angka.

Saya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) dan terpaksa meninggalkan bekas suami di Kuala Lumpur dan tinggal berasingan untuk suatu tempoh. Sepanjang tempoh tinggal berasingan bekas suami tidak pernah memberi nafkah namun tetap menerima keadaan tersebut dengan rela kerana berada dalam tempoh awal perkahwinan.

Konflik mula menerpa apabila saya ditawarkan berkhidmat sebagai pegawai kerajaan dan menetap di Putrajaya. Sebagai pegawai kerajaan saya mendapat kediaman kuaters untuk memudahkan proses ulang alik untuk ke tempat kerja. Seperti biasa kediaman tersebut kosong tanpa dipenuhi sebarang perabot. Dia menyuruh saya untuk memenuhi ruang kediaman dengan perabot.

Kini bahagia bersama keluarga baharu

Baru mendapat kerja sudah tentu saya tidak mempunyai simpanan dan tidak mampu untuk memenuhi keinginannya. Lantas dia menyarankan untuk meminta wang bapa saya sebanyak RM10,000. Saya menurut perintahnya tanpa memikirkan sesuatu yang pelik. Malu untuk meminta saya meminjam wang bapa untuk membeli perabot kediaman dan berjanji untuk membayar kembali secara ansuran.

Setelah mendapat wang, lagaknya ketika membeli perabot kalah seorang wanita. Memilih reka bentuk mewah dan mahal umpama seorang yang kaya-raya. Saranan saya untuk mengubah kehidupan dan menjalani hidup secara sederhana tidak diendahkan.

Banyak konflik-konflik kecil berlaku sehingga tiba hari istiadat konvokesyen saya di Singapura. Dia tidak dapat turut serta di majlis itu kerana disenarai hitam ke luar negara akibat hutang PTPTN. Dia meminta saya untuk membuat pinjaman peribadi untuk melunaskan segala hutang piutangnya. Menurutnya pegawai kerajaan seperti saya mudah untuk mendapat kelulusan pihak bank. Sebagai seorang isteri saya akur dan episod duka saya semakin parah selepas tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menyara kehidupan seharian akibat membayar hutang bank.

Sejak itu kehidupan kami sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri yang normal. Kami tinggal serumah tetapi tiada komunikasi dan juga hubungan intim. Dia pernah mengutuk saya mempunyai hutang yang banyak di hadapan keluarganya.

Kini lebih selesa memperkasakan hak wanita melalui JEIWA

Penderaan emosi dan kewangan berlaku sepanjang tempoh tempoh perkahwinan. Krisis rumah tangga bermula atas faktor kewangan, perbezaan cara hidup dan pemikiran. Apabila datang peluang untuk mengikuti kursus tidak akan dipersiakan.

Semasa berada di China ketika itu saya benar-benar mempunyai masa untuk memikirkan diri sendiri. Melihat semula kepada potensi diri dan rasa amat bernilai serta mampu untuk membuat sesuatu yang hebat dan terbaik untuk diri sendiri, keluarga, majikan dan negara. Saya tekad untuk mencari jalan penyelesaian. Apabila pulang ke Malaysia, saya menyimpan niat untuk bercerai tetapi masih memberi peluang agar dia berubah.

Tidak lama kemudian, saya ditawarkan ke program khas pegawai kerajaan di mana saya ditawarkan gaji yang lebih tinggi. Saya teruja dan berpindah ke jabatan lain. Namun, bekas suami semakin menunjukkan sikap materialisiknya dengan mula mengawal kewangan saya seperti mencongak-congak gaji saya dan menyenaraikan barang-barang baru untuk dibeli menggunakan wang saya.

Kemuncak kemarahan berlaku apabila bapa saya bersetuju untuk membelikan sebuah rumah untuk saya. Namun suami berkeras sekiranya rumah tersebut dibeli, bapa saya tidak dibenarkan untuk tinggal bersama. Kesabaran saya memuncak dan saya tidak mahu terus memendam rasa, maka saya memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.

Kami mula bergaduh dan saya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah saya sendiri dan saya mula mencari perlindungan diri dengan menumpang di rumah kawan-kawan. Lebih parah lagi apabila dia mula memisahkan saya dengan anak kami,” ungkap ibu kepada dua orang anak ini.

Tidak mahu mengaku kalah dia turut menfailkan agar saya kembali taat, tidak mendapat hak penjagaan anak, tidak mendapat hak penjagaan anak sementara dan nusyuz. Bukan itu sahaja malah dia menuntut wang sebanyak RM350 ribu untuk tebus talak. Namun saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan akur dengan kehendaknya untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas anak perempuan saya yang berusia 4 tahun ketika itu.  Akhirnya selepas turun naik mahkamah syariah saya diceraikan dengan talak satu. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan ketika dia menjatuhkan talak. Gembira tidak terkata kerana saya sudah menemui kembali diri sendiri hilang beberapa tahun lalu akibat pergolakan rumah tangga.

Namun kegembiraan saya tidak kekal apabila dia mula mengawal hubungan saya dengan anak perempuan. Tindakan saya untuk berjumpa dengan anak mencipta keganasan berlaku sehari selepas bercerai dengannya yang membawa kepada penderaan fizikal. Saya cedera parah ditumbuk bertalu-talu pada muka dan ditendang. Saya mendapat rawatan doktor dan menerima lima jahitan pada hidung yang patah dan tulang septum terpaksa dialih keluar. Insiden ini menyebabkan saya mendapat kecederaan kekal. Saya mendapatkan keadilan di mahkamah dan akhirnya bekas suami dihukum penjara satu bulan, RM10,000 denda seksyen 325KK,” ungkap Fadilah telah bangkit dari mimpi ngeri yang menghantuinya dan bahagia dengan keluarga baharu sekarang.

 

 

4 Tahun Layari Hidup Bersama, DATIN PADUKA EINA AZMAN Bahagia Bersuamikan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet!

4 Tahun Layari Hidup Bersama, DATIN PADUKA EINA AZMAN Bahagia Bersuamikan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet!

Beruntungnya insan bernama Datin Paduka Eina Azman. Bukan saja memiliki raut wajah cantik, bertubuh tinggi lampai dan langsing.. bahkan kehidupan figura cantik ini dilihat cukup sempurna kerana turut dikurniakan suami penyayang dan sepasang cahaya mata kembar yang kini berusia dua tahun. Empat tahun melayari hidup bersama suami tersayang, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah, kehidupan pelakon Rahsia Hati Seorang Perempuan ini dilimpahi dengan penuh kasih sayang dan kemewahan.

Sedang menyambut ulang tahun perkahwinan ke-4 di Paris ketika ini, Datin Paduka Eina Azman atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman sering menjadi tumpuan ramai. Masakan tidak, ketika hari perkahwinannya pada 31 Ogos 2014 dia menerima sebuah kereta mewah Chevrolet Camaro berwarna kuning daripada suami sebagai hadiah perkahwinan.

Aktres berusia 23 tahun ini kemudiannya sekali lagi menjadi perhatian khalayak apabila video telefon pintar jenama Vertu bernilai lebih RM30 ribu pemberian suami tular di media sosial dan pada 15 Mac lalu, Datin Paduka Eina dihadiahkan sebuah lagi kereta mewah jenama Mercedes sempena hari lahirnya yang ke-23.

Murah rezeki Datuk Paduka Kaiser Gurmeet dan tak berkira menghargai pengorbanan isteri tercinta. Bak kata orang-orang lama, lagi banyak suami ‘memberi’.. lagi murah rezeki keluarga berkenaan. Inilah buktinya. Memang bertuah Datin Paduka Eina Azman!

Dalam pada itu, Datuk Paduka Kaiser juga tidak berkira membeli pakaian dan aksesori mewah untuk kedua-dua anaknya, Arianna dan Karl. Sempena ulang tahun kelahiran ke-2 cahaya matanya itu.. dia telah menghadiahkan seutas jam tangan Rolex kepada mereka berdua. Wah, kecil-kecil lagi dapat jam ternama!

Moga ikatan perkahwinan yang dibina Datuk Paduka Kaiser dan Datin Paduka Eina Azman terus disulami dengan kebahagiaan dan berkekalan hingga ke syurga di samping anak-anak dan keluarga tersayang.

Kredit foto: Instagram Eina Azman

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: