Stres Punca Tekanan DARAH TINGGI, Sebelum Melarat Amalkan 5 Rutin Ini!

Stres Punca Tekanan DARAH TINGGI, Sebelum Melarat Amalkan 5 Rutin Ini!

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan gangguan kesihatan yang seringkali dipandang mudah. Tahukah anda, bermula dengan tekanan darah tinggilah anda berisiko untuk menghidapi berbagai-bagai jenis penyakit kronik yang lain.

Amalkan 5 cara ini agar anda dapat mencegah tekanan darah tinggi seterusnya mengekalkan cara hidup sihat.

  • UBAH TABIAT MAKAN

Kurangkan makanan masin atau tinggi natrium seperti makanan segera. Pilih makanan tinggi kandungan kalium seperti kentang, pisang, ikan dan susu bagi membantu menjaga tekanan darah. Hidangan rendah lemak serta buah, sayuran dan bijirin juga disarankan. Jangan lupa minum air putih secukupnya kerana kekurangan cairan mempengaruhi jumlah natrium dalam badan.

  • BERSENAMLAH

Mereka yang rajin bersenam, risiko untuk diserang tekanan darah tinggi lebih rendah berbanding mereka yang kurang atau malas bersenam. Tak perlu senaman berat. Memadai dengan melakukan aktiviti berjalan kaki, berjoging atau berbasikal.

Bagi anak-anak atau remaja disarankan untuk bersenam sekitar sejam setiap hari agar kekal cergas dan terhindar daripada tekanan darah tinggi.

  • JAGA BERAT BADAN IDEAL

Individu yang berlebihan berat badan atau obesiti adalah 2-6 kali berisiko untuk mengalami tekanan darah tinggi. Maka, jagalah berat badan ideal anda sekaligus dapat mengurangkan risiko diserang penyakit lain. Ubah gaya hidup agar berat badan turun dan berada di angka yang ideal. Kurangkan sekitar 4-5 kg berat badan. Ia sudah cukup untk menurunkan risiko tekanan darah tinggi.

  • BERHENTI MEROKOK

Tekanan darah tinggi adalah salah satu kesan buruk daripada tabiat merokok. Anda juga berisiko untuk diserang strok dan serangan jantung. Baik lelaki mahupun wanita, segeralah berhenti merokok atau anda akan menyesal di kemudian hari.

  • KAWAL STRES DENGAN BAIK

Stres boleh mengakibatkan tekanan darah naik hanya dalam tempoh sesaat. Jika anda tidak mengawal stres dengan baik ia akan terus meningkat dan keadaan menjadi lebih buruk. Saat sedang stress lakukan perkara yang membuatkan anda rasa tenang seperti mendengar muzik atau ke spa.

  • PEMERIKSAAN TEKANAN DARAH SECARA BERKALA

Dengan cara ini anda dapat mengetahui tahap tekanan darah adakah normal atau sebaliknya. Pemeriksaan boleh dilakukan di rumah atau bertemu dengan doktor. Jika tekanan darah antara 120-139/80-89 mmHG bermaksud anda mengalami prehipertensi. Keadaan ini mudah menyebabkan terjadinya tekanan darah tinggi. Cegah ia daripada berterusan dengan mengubah gaya hidup sihat di samping menjaga pemakanan.

 

 

Banyak PENYAKIT Datang Bila STRES, No 6 Tu Paling Ditakuti Wanita!

Banyak PENYAKIT Datang Bila STRES, No 6 Tu Paling Ditakuti Wanita!

Rimas dengan lambakan kerja di pejabat? Hutang kad kredit yang menggunung? Aduh… stresnya! Ramai di antara wanita kini dibebani dengan pelbagai masalah. Jika yang sudah mempunyai anak, hal anak-anak juga boleh memeningkan kepala. Stres yang berpanjangan boleh mengakibatkan masalah emosi dan fizikal. Cara di bawah mungkin boleh membantu anda meringankan stres yang ditanggung.

SAKIT KEPALA

Para peneliti pernah mengatakan bahawa ketegangan otot pada wajah dan leher ialah penyebab kepada sakit kepala. Namun, dakwaan itu disangkal. Akibat memikirkan terlalu banyak benda dalam satu masa, kita mudah diserang sakit kepala.

Rawatan: Luangkan masa selama 10 minit sehari untuk latihan meditasi untuk melonggarkan otot-otot yang tegang. Duduk di tempat tenang dan pejamkan mata. Tarik nafas dan biarkan udara yang dihirup memenuhi ruang perut. Tahan selama lima saat dan hembus melalui mulut. Kajian mengatakan latihan pernafasan begini boleh menurunkan tekanan darah dan meningkatkan ketenangan mental.

JERAWAT

Kesibukan hari-hari anda boleh dilihat melalui wajah. Hormon stres bertindak merembeskan lebih banyak minyak ke muka. Bila keadaan ini berlaku, jerawat pula mula timbul.

Rawatan: Kaum Cina sering mengamalkan minum air panas bersama perahan limau. Ia membantu menyahtoksikkan kulit. Anda juga boleh mencuba cara lebih tradisional. Gosokkan loofah kering ke seluruh badan dimulai dengan bahagian kaki menuju ke atas. Ini akan membantu melancarkan peredaran darah.

LEHER TEGANG

Belum separuh hari di pejabat, anda sudah mula merasa tegang pada bahagian leher. Bahayanya, anda mungkin boleh diserang kekejangan jika tidak melakukan sesuatu.

Rawatan: Cara urutan badan secara tradisional atau hot stone dapat membantu mengendurkan otot-otot yang tegang di seluruh tubuh termasuk leher dan punggung. Anda juga boleh mengamalkan mandi pancuran air dimulai dengan air sejuk kemudian digantikan dengan air panas. Perubahan suhu mendadak menyempitkan dan membuka kembali pembuluh darah.

TERLALU LETIH

Anda tidur secukupnya mengikut saranan namun anda masih menguap di tempat kerja. Ini menandakan bahawa fikiran anda terlalu letih memikirkan banyak perkara. Gangguan tidur begini boleh mengganggu fokus dan anda juga menjadi seorang pemarah.

Rawatan: Jika anda sering terjaga di tengah malam sehingga ke pagi akibat tekanan kerja, cuba berhenti berfikiran untuk seketika. Regangkan otot untuk mencegah insomnia. Mulakan dengan regangan pada bahagian kaki dan bernafas dengan tenang. Anda juga boleh mencuba minum susu untuk tidur yang lebih lena.

HAID TIDAK TERATUR

Adakah anda sering mengalami kekejangan perut dan waktu menstruasi tidak teratur? Apabila fikiran kita tidak tenang dan tekanan kerja memonopoli tubuh, kesuburan dan kehidupan seksual seorang wanita akan terganggu.

Rawatan: Akupunktur dapat membantu memperbaiki kitaran haid wanita dan meningkatkan kesuburan. Cara ini membuka aliran darah yang tersumbat agar menjadi lebih lancar.

GEMUK

Satu perkataan yang boleh ‘menggegarkan’ seorang wanita. Tekanan boleh meningkatkan berat badan. Terdapat kajian mengatakan bahawa tubuh yang stres akan menjadi imun terhadap pelepasan hormon adrenalin.

Rawatan: Sekiranya anda takut dengan peningkatan berat anda, cuba lakukan senaman. Paling mudah, berjalan kaki laju di sekitar rumah anda. Seperti senaman lain, berjalan kaki cepat akan meredakan stres dan membakar kalori. Gantikan pengambilan makanan berminyak dan berlemak dengan makanan yang lebih menyihatkan. Banyakkan makan pisang, bayam, brokoli, roti gandum penuh dan ayam kerana ia mengandungi sumber vitamin B yang boleh memperbaiki mood.

KEMBUNG

Tindak balas tubuh terhadap tekanan boleh menyebabkan aliran darah beralih dari jalur normal pada proses pencernaan tersasar. Perut akan menjadi tidak menentu, kembung dan diarea.

Rawatan: Letakkan botol air hangat di atas perut umpama menuam. Cara ini membantu mengendurkan ketegangan otot perut dan kembung. Makan lebih banyak makanan berserat seperti kacang badam, kacang tanah rebus atau sayuran kukus.

Disebabkan 5 Hal Ini, Kebanyakan Wanita Akui STRES Bila Berada Di Pejabat!

Disebabkan 5 Hal Ini, Kebanyakan Wanita Akui STRES Bila Berada Di Pejabat!

Sampai satu tahap adakalanya seseorang itu merasa terlalu tepu dan ‘penat’ dengan pekerjaannya. Banyak faktor menyebabkan hal ini berlaku sehingga produktiviti kerja pun mulai menurun. Semakin lama bertahan mungkin akan memburukkan lagi keadaan di mana seseorang itu akan mengalami stres yang akan akan mengganggu kehidupan peribadi. Berikut antara punca stres di tempat kerja. Mungkin ada di antaranya pernah atau sedang anda alami ketika ini.

KETUA TERLALU MENDESAK

Ketua pasti akan menuntut kualiti kerja daripada anda dengan menetapkan ekspektasi tertentu. Anda akan berpotensi untuk merasa stres. Cuba fahami apa yang dikehendaki dari sudut positif bagi menghindari stres. Jangan sesekali memikirkan soal gagal sebelum bertindak.

KONFLIK DENGAN RAKAN SEKERJA

Situasi ini mungkin berlaku jika anda mendapat rakan sekerja yang tidak serasi atau sefahaman. Konflik berpanjangan akan menyebabkan anda stres dan tidak produktif dalam bekerja. Jadi, elakkan membawa hal-hal peribadi yang tidak berkaitan semasa bekerja. Ingat, tanggungjawab anda ialah memberikan kualiti kerja yang terbaik.

BEBAN TUGAS

Beban tugas juga menyebabkan waktu bekerja lebih panjang daripada biasa seterusnya mengakibatkan anda stres. Rutin harian anda juga terganggu seperti waktu makan. Ia pasti menjejaskan mutu kerja anda yang sebelum ini lancar. Selain itu, tanggapan negatif oleh ketua menambahkan lagi rasa stres yang dialami.

TAKUT HILANG PEKERJAAN

Nilai-nilai ekspektasi oleh ketua tentu mempengaruhi anda dari sudut psikologi bekerja. Kalau nilaiannya negatif ia membuatkan anda hilang kepercayaan diri dan rasa terancam. Perasaan ini akan mencetuskan stres sekaligus takut kehilangan kerja. Berusahalah menjadi lebih baik dan fokus kepada tujuan tugas.

KURANG KOMUNIKASI

Sebahagian besar waktu anda dihabiskan di tempat kerja. Sentiasalah bertegur sapa dengan rakan sekerja dan berbual tentang topik-topik semasa. Anda akan merasa selesa sepanjang berada di tempat kerja sekaligus menghindarkan diri daripada stres.

 

SAKIT KEPALA Jejas Kesihatan Emosi Wanita, Turut Mengundang SAWAN & LUMPUH Dalam Keadaan Tertentu!

SAKIT KEPALA Jejas Kesihatan Emosi Wanita, Turut Mengundang SAWAN & LUMPUH Dalam Keadaan Tertentu!

Jika sakit kepala menyerang, anda seakan mahu ‘menjerit’ untuk melegakan kesakitan. Usah pandang remeh masalah sakit kepala. Terdapat lebih daripada satu jenis sakit kepala dan pada masa yang sama ia mungkin petanda penyakit yang lebih teruk daripada sekadar sakit kepala.

Kira-kira 99% daripada masyarakat mengalami sakit kepala yang kerap atau sesekali dalam kehidupan mereka. Jadi, untuk mendapatkan rawatan sewajarnya, ia adalah penting untuk mendapatkan diagnosis yang betul. Sakit kepala biasanya dikelaskan kepada dua jenis utama:

Sakit kepala Prima (Awal)

Jenis-jenis sakit kepala yang paling biasa dihidapi adalah migrain dan sakit kepala ketegangan (stres). Ia biasanya datang dan pergi mengikut cara perawatannya tersendiri.

  1. Sakit kepala Migrain
  • Lazimnya sakit kepala ini agak memeritkan. Kepala akan berasa berdenyut-denyut dan berlarutan dalam beberapa jam atau hari. Ia lebih kerap dialami oleh wanita dan di kalangan keluarga. Gejala-gejala yang digambarkan bagi penghidap migrain ialah penglihatan yang kabur, lampu atau cahaya kelihatan berkelip-kelip diikuti sakit kepala berdenyut-denyut, biasanya di sebelah kepala.
  • Kebanyakan penghidap juga akan mengalami muntah-muntah, atau sesekali gangguan emosi (cepat marah) dan memerlukan rehat seperti berbaring untuk mengurangkan rasa sakit.
  1. Sakit Kepala Ketegangan
  • Ia dikaitkan dengan pengaruh persekitaran dan gaya hidup. Keadaan ini walaupun tidak spesifik di mana-mana bahagian kepala, tetapi ia menyebabkan ketidakselesaan pada diri penghidap.
  • Lazimnya gejala yang dialami berpanjangan (berlarutan), gangguan tidur di samping menyebabkan sakit-sakit pada bahagian leher serta kurang semangat. Penghidap juga akan cepat marah dan tidak hanya perlu ubat tetapi juga rawatan kaunseling dan psikoterapi.
  1. Sakit kepala Kluster (berkelompok)
  • Ia jarang berlaku tetapi lebih biasa di kalangan lelaki. Biasanya berlaku sesekali atau jika lebih kerap pun, setiap hari dan setiap hari selama 12 minggu sehingga tempoh kluster berakhir.
  • Kesakitan yang dialami biasanya di bahagian salah satu mata. Bahagian mata dan hidung yang sama sakit, boleh menjadi merah, bengkak dan berair. Sakit kepala kluster ini juga boleh menyebabkan kegelisahan. Biasanya kesakitan dialami untuk beberapa minit atau jam, tetapi biasanya ia berlangsung selama 45 hingga 90 minit.
  1. Sakit kepala Rebound (berbalik)
  • Ia juga dikenali sebagai sakit kepala ‘ubat berlebihan’ dan boleh muncul setiap hari. Ia boleh jadi disebabkan penggunaan ubat penahan sakit secara berulang. Sakit kepala Rebound biasanya bermula seawal pagi. Kesakitan juga boleh berbeza-beza setiap hari.
  • Mereka yang menghidapi masalah ini mungkin mengalami loya, kebimbangan, cepat marah, kemurungan atau tidak dapat tidur. Pengambilan sebarang ubatan pain killer secara berterusan lebih daripada 10 hari dalam sebulan dan ini boleh meletakkan anda pada risiko untuk pulih daripada sakit hanya beberapa bulan.

Sakit kepala Sekunder (Pertengahan)

  • Sakit kepala ini mungkin jarang berlaku tetapi ia adalah lebih serius dan boleh mengancam nyawa berbanding sakit kepala prima. Ini kerana ia boleh dikaitkan dengan ciri-ciri klinikal seperti sawan atau kelemahan pada anggota badan (lumpuh), ketidakstabilan semasa berjalan kaki, demam, kekakuan leher dan sebagainya.
  • Sakit kepala seperti ini perlu dipandang serius kerana ia kerap dikaitkan dengan masalah keabnormalan saluran darah (aneurisme) atau tumor otak, jangkitan atau penyakit radang.

Rawatan

Ada beberapa cara rawatan yang biasanya disyorkan pakar kepada pesakit.

  • Rawatan profilaktik migrain sama ada topiramate atau Jika kedua-dua rawatan ini tidak sesuai atau berkesan, pesakit boleh mencuba sesi akupuntur selama 10 sesi selama tempoh 5-8 minggu atau gabapentin.
  • Rawatan akut yang menawarkan kombinasi terapi dengan triptan lisan dan NSAID atau satu triptan lisan dan parac Bagi mereka yang berusia 12-17 tahun, disyorkan triptan hidung berbanding triptan lisan.
  • Bagi pesakit kluster, biasanya disyorkan menggunakan rawatan oksigen atau triptan subcutaneous atau triptan hidung.
  • Bagi pesakit Rebound, dinasihatkan berhenti mengambil ubat-ubatan secara berlebihan. Pertimbangkan rawatan profilaktik. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Sering Dilanda Kemurungan Akibat STRES, Perkongsian Dr Hamid Arshat Ini Sangat Berguna!

Sering Dilanda Kemurungan Akibat STRES, Perkongsian Dr Hamid Arshat Ini Sangat Berguna!

Membaca entri pakar sakit puan dan perbidanan, Dr Hamid Arshat baru-baru ini membuatkan penulis cuba menarik nafas sedalam-dalamnya untuk melupakan seketika tekanan kerja yang sedang dilalui. Mana tidaknya, tatkala membacanya jelas diterangkan oleh beliau bahawa tekanan merupakan antara faktor berlakunya pelbagai penyakit yang sukar diubati.

Menurut Dr Hamid Arshat, setelah sekian lama beliau bertugas sebagai doktor dan telah merawat pelbagai jenis penyakit, beliau dapat merumuskan bahawa stres termasuklah tekanan mental, emosi dan fizikal merupakan penyebab dan pencetus utama bagi penyakit yang menyebabkan kematian secara mengejut iaitu serangan jantung dan angin ahmar atau stroke.

Prihatin dengan kesihatan masyarakat, beliau berkongsi tip yang sering diamalkan untuk mengatasi tekanan.

  1. TAWAKAL – Sentiasa berdoa kepada Allah agar terus dikurniakan kesihatan dan kekuatan tubuh. Tawakal kepada Allah sambil berusaha menangi stres. Selain itu, reda dengan ketentuan Allah amat penting.
  2. REDA – Apabila ditimpa musibah, anggapnya sebagai ujian Allah untuk menguji tahap keimanan.
  3. SABAR – Apabila kehilangan duit sebab ditipu, dicuri, diperas ugut, atau tercicir sebab lalai, cuba tahan sedih dan marah. Anggap duit itu sudah bukan rezeki atau milik kita. “Mungkin saya telah melakukan sesuatu kesalahan dan ini kifarah atau balasannya”.
  4. TAHAN MARAH – Bila memandu kereta, kita sering diprovokasi oleh pemandu yang kurang berhemah seperti menghempit, bunyikan hon dan lain-lain. Ambil langkah mengalah sahaja dan tahan marah.Begitu juga dalam situasi lain yang mencetus kemarahan, khususnya di rumah apabila bersama keluarga dan di tempat kerja. Tahan marah, tinggalkan dan beredar jauh untuk sejukkan hati. Ustaz nasihat ambil wuduk.
  5. MEMAAF – Selalu memaafkan orang yang buat salah dan silap, sama ada sengaja atau tidak. Dan terus lupakan peristiwa tersebut tanpa mengungkit-ungkit.
  6. TIDAK BERDENDAM – Walaupun difitnah dan dizalimi. Usah simpan DENDAM dan kawal perasaan untuk membalas.
  7. CARI HOBI – Gemar berkebun, mencangkul, tanam sayur-sayuran, herba dan pokok buah-buahan di sekitar kawasan rumah. Kesannya sememangnya relaxing.
  8. SENTIASA BERZIKIR – Sentiasa menjadikan amalan apabila memandu kereta terus-menerus berzikir dan berselawat. Kesannya memang relaxing dan tenang fikiran.
  9. DEEP BREATHING Amalan menarik nafas dengan mendalam dan melepaskan nafas perlahan-lahan. Ulangi untuk 5 minit. Lakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja terutama ketika stres.
  10. SIMPLE LIFE TANPA BERLUMBA-LUMBA – Amalkan gaya hidup yang sederhana tanpa membazir wang, tidak pentingkan jenama pada pakaian, kereta, hiasan dan lain-lain. Saya pentingkan substance dari rupa bentuk luaran.

“Cuba amalkan panduan-panduan  tersebut. Insha’Allah, kita boleh kawal stres, awet muda dan dengan izin Allah lanjut usia serta boleh terus berkhidmat kepada agama dan bangsa. Aamin,” pesan Dr Hamid.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: