Amboi, Fasihnya AIDA CITRA Cakap Arab! Sedap Je Dengar, Siap Bagi Tip Sihat Raya Lagi

Amboi, Fasihnya AIDA CITRA Cakap Arab! Sedap Je Dengar, Siap Bagi Tip Sihat Raya Lagi

Wah, tak sangka isteri kepada bekas personaliti TV, Saiful Nizam Ismail ni cukup fasih berbahasa Al-Quran. Dah macam tengok channel TV negara Arab pula. Walaupun ia bukan perkara asing tapi tiap kali dengar orang Malaysia kita bertutur dalam Bahasa Arab.. terus rasa kagum. Bukan senang hendak menguasai bahasa indah ini.

Apa yang pasti, video yang dimuat naik Aida atau nama sebenarnya Khairul Noormaaidah Zali ini di laman Instagram berjaya menarik perhatian. Dengan jumlah tontonan lebih 20 ribu, ramai di kalangan pengikutnya memuji dan mengagumi kelancaran Aida bercakap dalam bahasa tersebut.

Kongsinya, “Kenal my syurga Saiful Nizam pun dari bab cakap Arab la. Jom sikit-sikit kita belajar Bahasa Al-Quran. Today Aida kongsikan sikit tip penjagaan kesihatan di bulan lebaran! Next korang nak Aida cakap ‘Arab’ untuk video tutorial Tudung or Makan sushi? Rindunya zaman Diploma Bahasa Arab & Tamadun Islam dulu nak-nak time kem Mukhayyam Arabbiy. Siapa silap cakap Melayu kena bayar 20 sen 1 perkataan. How time flies.”

Seronokkan dengar? Terus rasa hendak belajar bahasa Arab sekarang juga!

Aida merupakan juara bagi program realiti Gadis Melayu terbitan TV9 sekitar tahun 2009 sebelum terbabit dalam bidang penyiaran dan bergelar pengacara untuk rancangan Apa Ke Halnya, Madinah Ya Rasulullah, Akademi Al- Quran, Adam Hawa dan banyak lagi.

Memandangkan sudah berkeluarga dan mempunyai dua orang anak, Aida kini aktif menceburi perniagaan dengan menguruskan butik muslimah Citraida dan mengusahakan kafe makanan Jepun, Succi Sushi.

Sumber: Instagram Aida Citra Aida

Banyaknya Pilihan Baju Raya Di TEMUJANJI BY SUZIE ERYANTY, Cantik-Cantik Pula Tu!

Banyaknya Pilihan Baju Raya Di TEMUJANJI BY SUZIE ERYANTY, Cantik-Cantik Pula Tu!

Anda masih tercari-cari lagi baju Raya yang sesuai dan sedondon dengan keluarga? Jangan bimbang kerana butik Temujanji by Suzie Eryanty mengeluarkan koleksi ready-to-wear  bertemakan Greek Goddess bersempena Syawal tahun ini.

Butik Temujanji by Suzie Eryanty turut menawarkan koleksi pakaian wanita berkonsepkan moden, elegan serta ladylike.Semua koleksi boleh dilihat menerusi Instagram dan Facebook Temujanji by Suzie Eryanty. Butik ini boleh dikunjungi di Saville Melawati.

Ditubuhkan sekitar tahun 2014 pengasasya, Suzie Eryanty mengambil ilham daripada namanya sendiri di samping caranya yang gemar melaram setiap kali ke majlis-majlis antaranya perkahwinan.

EKSKLUSIF

“Kami menyediakan khidmat pakaian made-to-measure di mana pelanggan boleh menempah stail pakaian diinginkan. Pakaian bagi lelaki dan anak-anak juga boleh direka khas di butik ini agar dapat sedondon dengan keluarga.

Pereka kami bersedia memenuhi permintaan tersebut seiring dengan falsafah kami iaitu “classy and timeless beauty, is on every design”. Butik Temujanji turut menawarkan koleksi ready-to-wear khusus buat wanita.

Pelanggan kami bukan sahaja dari Malaysia malah Singapura, Brunei, Indonesia dan Dubai. Selepas ini saya merancang mengeluarkan lebih banyak koleksi ready- to-wear bersaiz standard agar lebih ramai berpeluang menyarungkan jenama Temujanji by Suzie Eryanty.

Rekaan kami juga sesuai sepanjang masa kerana ia dihasilkan tidak mengikut trend. Setiap koleksi dikeluarkan dalam kuantiti terhad. Keistimewaan lain ialah fabrik berkualiti di samping butiran manik yang terhad bagi setiap rekaan. Setiap sudut butik menerapkan konsep moden kontemporari yang direka sendiri oleh Suzie. Off white dan kelabu menjadi warna latar butik. Rona dusty pula menjadikan butik tidak terlalu menyerlah.

Tujuannya agar setiap produk Temujanji lebih menonjol sekaligus menarik perhatian ramai untuk membeli

PERANCANGAN

“Selepas musim perayaan butik Temujanji by Suzie Eryanty bakal melebarkan sayap dengan melancarkan label baharu di bawah Temujanji iaitu TJKL. Ia memfokuskan kepada koleksi ready-to-wear serta lebih banyak pilihan. Kami cuba untuk memasarkan pakaian mampu milik agar lebih ramai yang dapat membeli dan menggayakan busana bercirikan sofistikated dan sepanjang masa.

Kredit Foto: TEMUJANJI BY SUZIE ERYANTY

 

Guna Duit PTPTN Untuk Modal Bisnes, Kini Jenama LEEYANARAHMAN Dah Ada Bangunan Sendiri!

Guna Duit PTPTN Untuk Modal Bisnes, Kini Jenama LEEYANARAHMAN Dah Ada Bangunan Sendiri!

Nur Liyana Abdul Rahman dan Muhamad Hafiz Abdul Hamid merupakan orang kuat di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, memiliki sebuah empayar perniagaan pada usia yang masih muda bukan menjadi satu halangan kepada mereka berdua untuk terus menempa kejayaan.

“Kami memulakan perniagaan ini pada tahun 2012 yang mana ketika itu kami sama-sama menuntut di UiTM dalam peringkat ijazah srjana muda bidang kewangan. Ketika itu kami baru sahaja bercinta dan bukan bergelar suami isteri. Pemulaanya apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuatnaik gambar tersebut di laman sosial, siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut.

Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Kalau nak tahu modal yang kami keluarkan hanya sebanyak seribu ringgit dan berjaya menghasilkan 14 helai busana. Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja, dari keuntungan ini kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit, dari 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar.

Selepas itu kami menghentikan rekaan ini dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain. Kalau nak tahu duit sebanyak RM1500 yang kami gunakan sebagai modal tadi adalah duit pinjaman pelajaran PTPTN yang kami terima sebenarnya, jadi saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600.

Alhamdulillah dari hanya wang sebanyak itu kini jenama Leeyanarahman sudah memiliki bangunan sendiri,” ujar Hafiz menjawab soalan penulis. Liyana yang sedang disolek mengangguk setuju dengan setiap jawapan yang suaminya berikan.

Jadi sebagai pasangan yang sedang bercinta dan belajar dalam satu masa yang sama, bagaimana anda memajukan jenama ini, pasti banyak cabaran yang perlu dilalui bukan?

Jawab Liyana, “Memang susah pada mulanya namun kami anggap ini sebagai satu cabaran untuk berjaya. Bagi saya setiap satu perkara atau masalah boleh di atasi jika kena dengan caranya. Sebagai contoh apabila kami sudah menjalankan perniagaan secara atas talian secara serius pastinya jumlah busana yang diperlukan adalah dalam skala yang besar.

Kalau kami nak ke negara China bagi memilih fabrik yang diperlukan saya dan Hafiz masing-masing membawa ahli keluarga masing-masing, maklumlah ketika itu hubungan kami masih belum sah. Jadi ini sahaja cara kami untuk menguruskan perniagaan kami dan mengelak fitnah.

Akhirnya sebaik sahaja tamat belajar pada tahun 2014 kami melangsungkan perkahwinan, ini memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke mana sahaja jika berdua terutamanya ke luar negara atas urusan kerja. Sebaik melangsungkan perkahwinan lebih kurang dua bulan kami membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sentral di tingkat satu, di sana kami bertatih menguruskan perniagaan secara fizikal dengan serius dan menimba banyak pengalaman. Alhamdulillah dari hanya berada di tingkat satu, lebih kurang setahun kemudian kami berjaya memiliki ‘menara’ sendiri setinggi lima tingkat yang mana dari bawah ke atas bangunan adalah milik jenama Leeyanarahman.”

Sewaktu menjalankan perniagaan ini ketika masih di Universiti, pasangan ini pernah berhadapan dengan situasi yang mana mereka tidak dapat menyediakan tempahan para pelanggan tepat pada waktu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

“Ini adalah satu perkara yang kami berdua tidak akan lupa sampai bila-bila. Memang betul-betul menguji kesabaran dan juga membuatkan kami terasa sangat sedih. Bayangkan sewaktu itu, kami membuat konsep pra-tempahan yang mana pelanggan boleh memilih rekaan mana yang mereka mahukan dan membuat bayaran. Baju tersebut akan dijahit secara khas mengikut saiz mereka.

Namun siapa sangka, langit tidak selalunya cerah dan malam tidak selalu berbintang, terdapat banyak baju yang telah dijahit oleh kilang mengambil tempahan terpaksa kami tolak kerana kualiti jahitan sangat teruk. Waktu itu kami benar-benar diuji dari segi kesabaran dan harus bangun membersihkan jenama Leeyanarahman.

Mana baju yang dijahit dengan sempurna kami serahkan kepada pelanggan dan mana yang tidak elok pula kami terpaksa menelefon pelanggan dan menerangkan situasi yang terjadi, maki hamun yang dihamburkan terpaksa kami telan. Semua harus kami lalui kerana itu adalah silap kami juga kerana terlalu percaya dengan tukang jahit, dan kami faham bahawa pelanggan kecewa kerana baju tersebut mereka perlukan untuk dipakai pada hari raya.

Waktu peristiwa ini terjadi kami masih lagi sedang belajar, wang yang bayaran yang diterima sudah kami gunakan sebagai kos membeli kain dan menjahit, jadi memang pahit rasanya memikirkan bagaimana untuk membayar balik setiap wang pelangan yang tidak memperoleh baju.”

Setiap orang yang berjaya memiliki ceritera mereka sendiri. Dan dalam menuju ke jalan puncak menuju kejayaan pasti banyak perkara yang telah ditempuhi. Seperti pasangan sama cantik dan sama padan ini mereka turut memiliki rencah sendiri dalam mencipta erti kejayaan.

“Dalam berniaga kita harus bersikap profesional dan realistik, paling penting kalau terlibat di dalam satu projek misalnya, pastikan semuanya perlu ada hitam dan putih agar tidak ditipu. Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan, lagipun ia amat penting untuk melindungi diri kita daripada kerugian.

Dari segi sikap yang realistik pula, bagi saya kita perlu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat, kalau kita rasakan sesuatu formula yang hendak dilakukan tidak menjadi baik jangan meneruskannya sebelum kerugian. Sikap ini penting supaya kita tidak terlalu berangan-angan dan berpijak dibumi nyata dan melihat kepada keadaan semasa,” ungkap Liyana mengakhiri perbualan.

“Bila Lihat Dato’ Sri Siti Dapat Baby, Teringin Pula Nak Timang CAHAYA MATA Sendiri!” – DATO’ SRI VIDA

“Bila Lihat Dato’ Sri Siti Dapat Baby, Teringin Pula Nak Timang CAHAYA MATA Sendiri!” – DATO’ SRI VIDA

Kehadiran Dato’ Sri Vida (DSV) telah mencipta suatu fenomena dalam dunia hiburan tempatan. Beliau ketika itu bukan hadir sebagai seorang penyanyi malah bukan pelakon tetapi menjadi satu-satunya pengusaha kosmetik yang menaja rancangan hiburan secara besar-besaran di stesen televisyen sehingga menjadi tular. Sebut sahaja nama DSV pasti sudah terbayang seorang wanita yang berpakaian sedondon dan dilengkapi dengan barang kemas bergemerlapan termasuk mahkota di kepala.

Tanpa mempedulikan kata-kata orang, multimillionaire ini terus melangkah merancang strategi demi membangunkan empayar perniagaannya. Menurut wanita kelahiran Machang, Kelantan ini, beliau telah mengalami beberapa kali gagal dalam perniagaan dan juga dalam percintaan. Namun bersyukur kerana jatuh bangun dalam dunia perniagaan dan kehidupannya ini bukan melemahkan semangatnya malah telah menguatkan lagi daya juangnya.

“Apabila membaca kritikan daripada netizen nyata mereka tidak berada dalam kasut saya. Marketing, marketing juga, tetapi cerita saya bukan yang dibuat-buat. Saya genuine dengan bisnes dan kehidupan  saya. Apa yang saya tonjolkan selama ini adalah rutin kehidupan yang sebenar,” jelas DSV tentang netizen yang banyak menghamburkan kata-kata negatif terhadapnya.

Cuba mencungkil rahsia wanita yang mempunyai nama asal Dato Seri Dr. Hajah Hasmiza Othman ini tentang cinta, tuturnya jujur, “Sehingga kini, saya masih mengharapkan sebuah cinta yang tulus. Tetapi, kini saya lebih memilih untuk memiliki cinta kembali. Ini kerana begitu sukar untuk mencari cinta sejati dengan status saya kini. Kebanyakan lelaki yang mendampingi saya pada awalnya ikhlas berkawan. Tetapi mereka mula mengubah niat setelah masuk dalam kehidupan saya dan menjadi yang sebaliknya.

Jika Allah SWT mengizinkan saya untuk mengenali lelaki sekali lagi, saya benar-benar teringin jika mereka belanja saya makan. Saya tak pernah merasa orang belanja makan. Saya amat menghargainya jika ada yang sudi,” bicara DSV sambil tertawa nakal.

Melihat mahligainya yang terbentang luas dan dihiasi dengan perabot serba mewah, sudah pasti kehidupan DSV sudah lengkap. Jauh di sudut hati kecil ingin tahu apakah kekurangan pada kediaman ini dan perlu ditambah oleh DSV. “Saya rindukan suara-suara baby yang lahir daripada rahim saya sendiri. Bila melihat Dato’ Sri Siti Nurhaliza dapat baby baru-baru ini teringin pula nak menimang cahaya mata sendiri,” jawab DSV bersungguh.

Jika suatu hari takdirnya DSV sudah tiada lagi, bagaimana DSV mahu dikenang? Saya dah rancang dengan teliti, cuma nak laksanakan sahaja. This is most valueable and something out of box. Ia terlalu istimewa dan luar biasa. Moga dipermudahkan dan saya berharap semua orang mengaminkan doa saya yang satu ini, nantikan… ” ujar ibu kepada Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 13 tahun dan Muhammad Eric Zecquan, 11 tahun ini.

Dengarnya DSV sudah tidak terlibat dalam GV musim akan datang. Nantikan perkhabaran daripada beliau.

 

Didik Diri Jadi Individu Yang Sering ‘Dahagakan’ Ilmu, Kunci Sukses LINDA ABAS! Patut Tiru Kalau Nak Berjaya

Didik Diri Jadi Individu Yang Sering ‘Dahagakan’ Ilmu, Kunci Sukses LINDA ABAS! Patut Tiru Kalau Nak Berjaya

Linda Abas, seorang wanita yang amat mementingkan kualiti dalam setiap apa yang dilakukan dalam kehidupan. Ternyata, sikap yang dimilikinya menjadi azimat untuk dirinya berjaya sebagai salah seorang kontraktor wanita yang bersaing di dalam bidang yang kebanyakannya didominasi oleh kaum lelaki.

Menjalankan perniagaan sejak 2006, wanita cekal ini menganggap setiap cabaran dan rintangan dalam dunia perniagaan yang didominasi oleh kaum lelaki sebagai satu cabaran untuk dirinya lebih berdaya saing dan berjalan seiring demi mengejar cita-citanya untuk berjaya di dalam dunia perniagaan.

“Tidak kira apa jenis perniagaan yang diceburi, pastinya ia mempunyai cabaran dan dugaan. Pada pandangan saya, cabaran utama yang perlu diharungi adalah untuk mendapatkan kepercayaan daripada pelanggan serta memberi kepercayaan kepada mereka tentang kemampuan dalam menguruskan sesuatu projek.

Mendapat kepercayaan untuk memenuhi kehendak klien daripada segi produk dan perkhidmatan yang perlu dibekalkan. Pada masa yang sama, saya perlu memberi kepercayaan kepada kakitangan untuk proses perlaksanaan pula. Perlaksanaan itulah yang menjadi kunci utama. Dalam dunia usahawan ini kepercayaan boleh mendatangkan keuntungan atau kerugian. Penumpuan terhadap soal costing, perancangan dan perlaksanaan amatlah penting dan bidang ini memerlukan kerja berpasukan yang baik.

Saya bersyukur mempunyai kakitangan yang berdedikasi serta rakan kongsi yang pintar dan baik.Setiap elemen ini bergabung menjadikan organisasi ini kuat dan mampu berdaya saing di pasaran. Apabila memegang sebuah organisasi sendiri saya mengadun perkembangan syarikat mengikut acuan yang telah saya semat sejak dahulu,” ujar Linda sambil wajah mulusnya ditata rias oleh juru solek terkemuka, Datin Saidatulnisa Aminuddin.

Tambah Linda lagi, kejayaan yang dikecapinya kini tidak lengkap tanpa sokongan dan dorongan dari keluarga kerana mereka adalah tulang belakang terhadap kejayaannya kini. Jika tidak terikat dengan urusan kerjaya, Linda sering menghabiskan waktu bersama keluarga tersayang melakukan aktiviti-aktiviti riadah seperti bersenam di gimnasium ataupun bersenam di taman yang terletak berhampiran dengan kawasan kejiranannya. Bagi Linda, soal kesihatan perlu diberi perhatian yang khusus bagi membentuk minda yang cergas dan positif.

Dalam kesibukan menguruskan perniagaan, Linda mempunyai visi serta pandangan yang jauh untuk memajukan dirinya. Walaupun sudah berjaya dalam dunia perniagaan, Linda masih sempat meluangkan masa untuk melanjutkan pelajaran di Deakin University Melbourne, Australia. Bagi Linda, ilmu adalah satu perkara penting yang boleh membuka mata dan ruang untuk setiap individu berjaya di dalam hidup.

“Saya merupakan seorang individu yang sentiasa dahagakan ilmu. Saya sentiasa belajar daripada orang yang lebih berpengalaman. Menimba ilmu boleh diperoleh melalui proses pembelajaran dan pengalaman. Saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan diri sebagai nilai tambah kepada diri dan perniagaan yang diusahakan. Dalam masa yang sama, kreatif dan tingkah laku yang positif perlu ada dalam diri jika mahu maju dalam setiap apa yang diceburi. Sesuai dengan aspirasi kerajaan untuk melihat kaum wanita terus maju dan berjaya seiring dalam mengecap kemakmuran unit keluarga serta masyarakat umumnya,” ujar wanita yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi ini.

Tambah Linda lagi, wanita seharusnya memiliki kemahiran untuk mencapai kejayaan di dalam apa jua bidang yang diceburi. Tanpa kemahuan serta kesungguhan ia tidak akan mengerakkan usaha dan keinginan untuk mencapai ke tahap maksima.

”Namun demikian, wanita harus melihat kepada bekalan dalam diri atau self equipment. Dalam erti kata knowledge, skill, and attitude inilah yang memberi seseorang kelebihan yang kompetitif dan sentiasa meningkatkan diri sebagai nilai tambah kepada diri dan perniagaan yang diusahakan,” ujar wanita yang mampu membakar semangat untuk wanita lain berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau yang menjadikan Allahyarhamah Dato Maznah Hamid sebagai wanita adi wira dan idolanya kerana kagum melihat bagaimana beliau mampu bersaing di dalam industri keselamatan yang sekian lama didominasi kaum lelaki.

“Bukan calang-calang wanita mampu melakukan apa yang beliau lakukan selama ini. Kejayaan beliau menjadi dorongan untuk saya menguatkan semangat dan mencuba sebaik mungkin dalam bidang yang saya ceburi. Tiada yang mustahil untuk dilakukan oleh kaum wanita jika mempunyai keazaman dan usaha tanpa jemu untuk terus maju. Wanita mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan kehebatan wanita terletak pada keazaman yang tinggi dalam diri mereka untuk mencapai kejayaan. Saya yakin berkat usaha dan tawakal pasti kejayaan bakal menyusul,” ujar Linda seraya mengakhiri perbualan.

 

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: