
Mulia sungguh hati Ainina Ahmad B yang memilih untuk keluar dari senarai penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas pemergian anak syurganya, Allahyarham Nur Ara Elisya pada 22 Jun lalu.
Khabarnya tujuan Ainina memohon bantuan tersebut sebelum ini adalah untuk membiayai kos perubatan anak tersayang yang juga anak istimewa (OKU).
Kemuliaan hati Ainina diketahui umum selepas perbualan Whatsappnya dengan salah seorang pegawai LZS tular di media sosial. Malah, ia turut dimuat naik di akaun rasmi LZS.
โKami terima mesej ini daripada seorang insan seni yang pernah menerima bantuan zakat demi rawatan anaknya yang menghidap penyakit masalah tulang belakang.
Kini, selepas pemergian anak tersayang dan dengan sedikit ruang yang Allah beri untuk dia kembali bekerja semula, beliau memilih untuk keluar sendiri dari senarai penerima bantuan supaya bahagiannya boleh diberikan kepada orang lain yang lebih memerlukan.
Kami terharu dan kami doakan agar rezeki beliau terus diluaskan dan dipermudahkan segala urusan, dunia dan akhirat. Inilah antara kisah luar biasa yang berlaku hasil zakat anda semua.
Terima kasih kepada semua pengeluar zakat. Anda bukan sekadar membantu, anda sedang membina semula kehidupan.โ
Tindakan Ainina Ahmad B ini nyata meraih pujian dan wajar menjadi ikutan masyarakat.
Ainina yang juga aktres popular era 90an pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Mega iaitu Rahmad. Namun berpisah pada tahun 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Nur Arieana dan Nur Ara Elisya.
Difahamkan anak kedua mereka meninggal dunia akibat sindrom Prader Willi. Allahyarham dilapor menjalani pembedahan spinal untuk meluruskan tulang belakang yang membengkok disebabkan sindrom berkenaan atau penyakit jarang berlaku yang muncul ketika lahir serta menyebabkan beberapa masalah fizikal, mental dan tingkah laku.
Allahyarham Nur Ara Elisya kembali ke pangkuan ilahi selepas empat hari menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-16.
Ainina yang kini berusia 56 tahun dikhabarkan akan kembali berlakon demi menyara kehidupannya bersama anak sulung.
Selain berlakon, dia pernah terlibat dengan kerja di belakang tabir, suara latar dan alih bahasa.
Walau bergelar ibu tunggal namun Ainina sentiasa tampil positif dan ceria di samping anak-anak.
Allahyarham bapanya, Ahmad B menghembuskan nafas terakhir pada 2 Jun 2004 dan mempunyai empat orang anak iaitu Mohamad, Ainina, Omar Baki dan Abdul Rahman.
This website uses cookies.