Kesihatan

Tanda Awal Leukemia Yang Ramai Terlepas Pandang, Ketahui Gejala Kanser Darah Ini Sebelum Terlambat

Tanda awal leukemia sering disalah anggap sebagai keletihan biasa atau demam ringan. Ramai individu tidak menyedari bahawa gejala kecil yang dialami sebenarnya boleh menjadi petunjuk kepada kanser darah yang serius.

Leukemia ialah sejenis kanser darah yang menyerang sumsum tulang, iaitu tisu lembut di dalam tulang yang berfungsi menghasilkan sel darah. Apabila leukemia berlaku, sumsum tulang menghasilkan sel darah putih yang tidak normal, lalu mengganggu penghasilan sel darah merah, sel darah putih yang sihat dan platelet.

Di Malaysia, leukemia masih tergolong antara 10 kanser paling kerap berlaku, namun tahap kesedaran masyarakat tentang kanser darah ini masih rendah berbanding kanser payudara atau kanser paru-paru.

Masalahnya, tanda awal leukemia sering kelihatan seperti penyakit biasa seperti demam virus atau keletihan harian. Ramai individu hanya mengambil ubat sendiri atau menangguhkan pemeriksaan kesihatan, sedangkan rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa.

Berikut tanda awal leukimia yang ramai terlepas pandang, ambil tahu gejala kanser darah ini sebelum terlambat.

Jenis Leukemia Yang Perlu Diketahui

Secara umum, leukemia terbahagi kepada dua kategori utama iaitu:

1. Leukemia Akut

Leukemia akut berkembang dengan sangat cepat dan memerlukan diagnosis serta rawatan segera.

Antara jenis yang paling dikenali ialah:

  • Leukemia Limfoblastik Akut (Acute Lymphoblastic Leukaemia, ALL)
  • Leukemia Mieloid Akut (Acute Myeloid Leukaemia, AML)

Jenis ini boleh menjadi serius dalam tempoh yang singkat jika tidak dirawat.

2. Leukemia Kronik

Leukemia kronik berkembang secara perlahan dan kadangkala tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal.

Contohnya:

  • Leukemia Mieloid Kronik (Chronic Myeloid Leukaemia, CML)
  • Leukemia Limfositik Kronik (Chronic Lymphocytic Leukaemia, CLL)

Dalam sesetengah kes, pesakit hanya memerlukan pemantauan berkala sebelum rawatan dimulakan.

Mengapa Leukemia Sukar Dikesan Awal?

Berbeza dengan kebanyakan kanser lain, leukemia tidak membentuk ketumbuhan atau benjolan yang boleh dilihat pada tubuh.

Ini menyebabkan pengesanan awal menjadi lebih mencabar kerana:

  • Tiada program saringan rutin untuk orang ramai
  • Gejalanya sering menyerupai penyakit ringan
  • Ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan selepas gejala menjadi lebih serius

Diagnosis leukemia biasanya bermula dengan ujian darah asas yang dipanggil kiraan darah lengkap (Full Blood Count) bagi menilai jumlah sel darah dalam tubuh.

Namun di kawasan luar bandar atau komuniti yang kurang akses kepada kemudahan kesihatan, diagnosis sering berlaku lewat dan ini boleh meningkatkan risiko kematian.

Tanda Awal Leukemia Yang Tidak Patut Diabaikan

Memahami tanda awal leukemia boleh membantu seseorang mendapatkan rawatan lebih cepat sebelum penyakit menjadi lebih serius.

1. Keletihan Melampau

Pesakit sering berasa sangat letih dan lemah walaupun sudah berehat. Ini berlaku kerana kekurangan sel darah merah yang menyebabkan anemia (kurang darah).

2. Demam Berulang

Demam yang kerap atau berpanjangan boleh berlaku kerana sistem imun menjadi lemah.

3. Mudah Dijangkiti Penyakit

Antara tanda awal leukemia yang sering berlaku ialah jangkitan berulang seperti selesema atau jangkitan bakteria yang lambat sembuh.

4. Mudah Lebam atau Berdarah

Penghasilan platelet yang rendah menyebabkan:

  • Lebam tanpa sebab jelas
  • Gusi berdarah
  • Mimisan (hidung berdarah)

5. Penurunan Berat Badan Tanpa Sebab

Jika berat badan turun secara mendadak tanpa perubahan diet atau senaman, ia boleh menjadi tanda penyakit serius termasuk kanser darah.

6. Kelenjar Limfa Membengkak

Kelenjar limfa di leher, ketiak atau pangkal paha mungkin membengkak tanpa rasa sakit. Ini juga boleh menjadi tanda awal leukemia yang sering tidak disedari.

7. Limpa Membesar

Limpa yang membesar boleh menyebabkan rasa penuh atau tidak selesa pada bahagian kiri abdomen.

8. Sakit Tulang dan Sendi

Sesetengah pesakit mengalami sakit pada tulang atau sendi akibat pengumpulan sel leukemia dalam sumsum tulang.

9. Kulit Kelihatan Sangat Pucat

Kulit yang pucat boleh menandakan kekurangan sel darah merah, salah satu petunjuk penting dalam mengenal pasti tanda awal leukemia.

Rawatan Leukemia Kini Semakin Maju

Dr Farzana Rizwan dan Dr Imam Shaik, Universiti Taylor’s

Masih ramai beranggapan bahawa semua kanser darah pasti membawa maut. Hakikatnya, kemajuan perubatan telah meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit leukemia.

Dalam sesetengah kes, terutama pada kanak-kanak, leukemia kini boleh dirawat sehingga sembuh.

Antara teknologi diagnosis moden yang digunakan termasuk:

  • Sitometri aliran (Flow Cytometry)
  • Analisis sitogenetik
  • Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (PCR)
  • Penjujukan generasi seterusnya (Next Generation Sequencing)

Rawatan pula semakin canggih melalui:

  • Terapi sasaran
  • Pemindahan sel stem
  • Terapi imun
  • Terapi CAR-T (Chimeric Antigen Receptor T-Cell)

Selain itu, rawatan sokongan seperti pencegahan jangkitan dan pemindahan darah turut membantu meningkatkan peluang pemulihan pesakit.

Kesedaran Awal Boleh Menyelamatkan Nyawa

Setiap tahun, bulan September diiktiraf sebagai Bulan Kesedaran Kanser Darah di peringkat antarabangsa.

Di Malaysia, pelbagai pihak memainkan peranan meningkatkan kesedaran awam termasuk:

  • Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan
  • Jururawat serta sukarelawan kesihatan komuniti
  • Program kesihatan di sekolah
  • Karnival kesihatan masyarakat

Pertubuhan seperti National Cancer Society Malaysia dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) juga aktif menjalankan kempen kesedaran, saringan kesihatan percuma serta pendidikan masyarakat.

Jangan Abaikan Isyarat Tubuh

Leukemia boleh menyerang kanak-kanak, dewasa mahupun warga emas.

Namun perkara paling penting ialah tidak memandang ringan gejala yang berlarutan.

Jika mengalami tanda seperti keletihan melampau, demam berulang atau lebam tanpa sebab, lakukan pemeriksaan di klinik.

Kadangkala, satu ujian darah yang ringkas sudah cukup untuk memberi petunjuk awal. Mengenali tanda awal leukemia lebih awal boleh membantu pesakit mendapatkan rawatan tepat pada waktunya.

(Informasi ini disediakan oleh Dr Farzana Rizwan dan Dr Imam Shaik yang merupakan Pensyarah Kanan di Sekolah Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan & Perubatan, Universiti Taylor’s)

Artikel berkaitan: https://www.nona.my/helah-tingkat-produktiviti/

Share
Published by
Norzalina