Cantik, muda dan sukses itulah ungkapan paling tepat yang dapat menggambarkan personaliti ibu muda berusia 25 tahun ini. Walaupun kehidupannya nampak mewah namun anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang ini punya kisah tersendiri yang boleh dijadikan inspirasi.

Betapa bertuahnya Farah kerana dalam usia yang masih muda, kehidupannya kini terlihat sempurna dengan memiliki apa yang diimpikan oleh setiap wanita iaitu suami yang penyayang dan bertanggungjawab, zuriat, kesenangan hidup serta pengaruh yang kuat dalam dunia perniagaan.

IKLAN

Bergelar usahawan sukses dalam usia muda sesuatu yang cukup membanggakan bagi Farah Syazwani Mat Jusoh atau Farah yang menjadi impiannya sejak dulu. Farah merupakan pembekal dan pengedar kosmetik di samping pakaian jenama sendiri bersumberkan dari luar negara.

KONGSI REZEKI BERSAMA ANAK YATIM & TAHFIZ

Februari lalu bertempat di Restoran Meet & Dine, Farah dan suami mengadakan majlis sambutan hari lahir anak mereka, Nik Muhammad Rafael Ali yang kini usianya genap setahun. Apa yang lebih bermakna ialah majlis tersebut turut diraikan bersama anak-anak yatim dan tahfiz dari Sekolah Tahfiz Al-Habbah Gombak.

“Untuk majlis ini saya dan suami telah pun merancang tiga bulan awal dari tarikh sebenar. Memandangkan kami menempah dekorasi dan kek custom-made dari luar negara maka ia mengambil masa sedikit. Kami memilih tema Circus kerana Rafael sukakan haiwan dan warna-warna terang. Harapan kami agar Rafael teruja dan gembira pada hari itu.

IKLAN

Saya dan suami sememangnya sudah berniat untuk berkongsi kegembiraan dan kesyukuran bersama anak-anak yatim dan tahfiz sempena kelahiran putera kami. Untuk menambah keceriaan mereka kami turut menjemput ahli silap mata dan clown. Kami juga menyediakan pelbagai jenis permainan untuk mereka kongsi momen gembira bersama.

Semoga selepas ini lebih banyak peluang untuk kami meraikan majlis bersama anak-anak yatim. Ia memberi kami kebahagiaan apabila melihat mereka gembira. Kami mengharapkan Rafael menjadi hamba Allah SWT yang taat, sentiasa mementingkan akhirat, menjadi Hafiz Al Quran yang mampu membawa Mommy dan Daddy ke syurga. Seterusnya menjadi anak yang sentiasa dekat dengan ibu bapa dan memuliakan orang sekelilingnya.

Walaupun Rafael masih kecil, setiap hari saya sentiasa mengingatkannya bahawa dalam hidup ni Allah SWT yang pertama, Nabi yang kedua kemudian barulah kami ibu bapanya. Kami juga memberi kasih sayang sepenuhnya buat Rafael kerana kami percaya, anak yang dekat dengan ibu bapa pasti mempunyai tumbesaran yang sangat baik. Maka kami berusaha meluangkan masa sebanyak mungkin bersama Rafael.

IKLAN

Dari segi didikan kami mendidiknya dengan cara manja tetapi tegas. Kami sentiasa menerangkan apa yang baik dan tidak tanpa menggunakan kekerasan. Setiap hari kami tunjukkan contoh yang baik di hadapannya dari segi perbuatan mahupun percakapan.”

KERJA KERAS DEMI ANAK

“Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik buat Rafael yang menjadi pembakar semangat untuk saya dan suami bekerja lebih kuat. Waktu pulang kerja sebelum Maghrib kerana malam adalah masa untuk bersama keluarga. Jika perlu ke luar negara atas urusan kerja, kami tetap akan membawa Rafael.

Saya merasa bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan kuat daripada suami dan keluarga. Buat wanita-wanita di luar sana jadilah seorang yang berani. Jika ingin memulakan sesuatu jangan bertangguh. Jangan pernah putus asa.”

Kredit Foto: Instagram Farah Syazwani