Inspirasi

Thylane Blondeau Kahwin Usia 25 Tahun, Kisah ‘Kanak-Kanak Tercantik Di Dunia’ Kini Temui Bahagia

Thylane Blondeau kahwin usia 25 tahun selepas bertahun-tahun dikenali sebagai ‘kanak-kanak tercantik di dunia’, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya. Model terkenal kelahiran Perancis itu selamat bergelar isteri kepada pelakon dan usahawan Ben Attal dalam sebuah majlis perkahwinan intim di Paris.

Perkahwinan mereka bukan sekadar meraikan cinta, tetapi simbol perjalanan panjang seorang wanita yang membesar di hadapan dunia sebelum akhirnya menemui ruang untuk mencipta kebahagiaan mengikut caranya sendiri.

Perkahwinan Intim Penuh Elegan Di Paris

Pasangan itu disatukan dalam sebuah majlis akad sivil yang berlangsung secara sederhana tetapi cukup eksklusif di Dewan Bandaraya Paris’ 16th arrondissement atau Mairie du 16e arrondissement de Paris pada 29 Jun lalu.

Thylane Blondeau
Thylane Blondeau

Tiga bulan sebelum itu, Ben Attal melamar Thylane ketika mereka bercuti di Greece. Saat mengumumkan berita pertunangan di media sosial, Thylane menulis kapsyen yang menyentuh hati.

“I said yes to my best friend. Here’s to forever.”

Ungkapan ringkas itu mencerminkan hubungan mereka yang dibina atas persahabatan sebelum berkembang menjadi cinta sejati.

Pada hari bersejarah tersebut, Thylane tampil anggun dalam persalinan khas rekaan Eva Bouskila Bridal. Gaun putih minimalis dengan sentuhan cape lembut memberikan aura klasik yang cukup memukau. Penampilannya disempurnakan dengan jambangan bunga calla lily putih, sanggul kemas dihiasi kuntuman bunga kecil serta solekan lembut yang menyerlahkan kecantikan semula jadinya.

Thylane Blondeau

Ben Attal pula memilih sut hitam klasik yang menyerlahkan gaya maskulin dan elegan. Usai majlis, pasangan mempelai diraikan ahli keluarga serta rakan-rakan sebelum meninggalkan lokasi dengan sebuah kereta vintaj Porsche 356 Speedster, mencipta pemandangan romantis seakan babak filem klasik Perancis.

Malah, antara momen paling mencuri perhatian ialah kehadiran anjing kesayangan Thylane yang turut mengenakan tuksedo mini, menjadikan suasana lebih manis dan penuh nostalgia.

Dari Kanak-Kanak Popular Kepada Ikon Fesyen Dunia

Nama Thylane Blondeau bukanlah asing dalam dunia fesyen antarabangsa.

Thylane Blondeau

Pada tahun 2006, ketika baru berusia enam tahun, beliau mendapat perhatian global selepas Vogue Enfants menggelarnya sebagai ‘the most beautiful girl in the world’. Gelaran itu pantas tular di internet dan menjadikan wajah kecilnya dikenali di seluruh dunia.

Sebenarnya, perjalanan kerjayanya bermula lebih awal apabila beliau membuat penampilan di pentas Jean Paul Gaultier ketika baru berusia empat tahun.

Sejak itu, kariernya berkembang pesat apabila menjadi wajah kepada pelbagai jenama fesyen mewah seperti Dolce & Gabbana, Versace, Hugo Boss dan L’Oréal Paris sebelum menyertai agensi terkenal, IMG Models.

Lebih sedekad selepas gelaran tersebut diberikan, namanya sekali lagi diiktiraf apabila tersenarai dalam senarai 100 Most Beautiful Faces oleh TC Candler pada tahun 2018.

Di Sebalik Populariti, Pernah Berdepan Kritikan

Populariti yang datang terlalu awal turut membawa cabaran besar.

Ketika berusia 10 tahun, Thylane muncul dalam editorial Vogue Paris mengenakan solekan, kasut tumit tinggi dan pakaian berjenama mewah. Sesi tersebut mengundang kritikan hebat daripada masyarakat antarabangsa kerana dianggap menampilkan imej terlalu matang untuk seorang kanak-kanak.

Thylane Blondeau

Perdebatan mengenai dunia peragaan kanak-kanak kembali hangat apabila ramai mempersoalkan sempadan antara seni fesyen dan perlindungan terhadap kanak-kanak.

Walaupun membesar dalam perhatian umum, Thylane sentiasa cuba memisahkan dirinya daripada gelaran yang melekat sejak kecil.

Dalam temu bual bersama The Telegraph pada 2018, beliau berkata,

“Even today, people are like, ‘You are the most beautiful girl.’ And I’m like, ‘No, I’m still not, I’m just a human being, a teenager.'”

Ungkapan itu memperlihatkan sisi dirinya yang hanya mahu dikenali sebagai seorang insan biasa, bukan sekadar simbol kecantikan yang dicipta masyarakat.

Cinta Yang Dilindungi Daripada Sorotan Berlebihan

Walaupun aktif dalam dunia fesyen dan media sosial, Thylane memilih untuk tidak terlalu berkongsi kehidupan peribadinya.

Selepas majlis perkahwinan berlangsung, beliau meluahkan rasa kecewa apabila beberapa jurugambar memasuki dewan bandaraya dan menyiarkan secara langsung sebahagian majlis tanpa kebenarannya.

Menurut Thylane, sepanjang bergelar model beliau sentiasa menghormati tugas paparazi dan tidak pernah menolak permintaan bergambar.

Thylane Blondeau

Namun kali ini, beliau berharap detik paling bermakna dalam hidupnya diberikan sedikit ruang privasi.

“There’s a difference between photographing an outdoor event and meddling in a moment that was part of our intimacy. I just wish this line was respected. Today I was not the topic. I was just a woman getting married.”

Kata-kata itu menjadi penutup yang cukup simbolik kepada perjalanan hidup seorang wanita yang membesar di bawah perhatian dunia.

Di sebalik gelaran ‘kanak-kanak tercantik di dunia’, Thylane Blondeau akhirnya membuktikan bahawa kecantikan sebenar bukan hanya terletak pada wajah yang dipuja sejak kecil, tetapi pada keberanian memilih kehidupan yang lebih tenang, cinta yang tulus dan kebahagiaan yang tidak semestinya perlu dikongsi dengan seluruh dunia.

Artikel berkaitan: Rahsia Kecantikan Deanna Yusoff Pada Usia 59 Tahun, Konsisten Face Yoga & Clean Eating Jadi Kunci Awet Muda

Share
Published by
Norzalina