Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Rasmikan Logo Baru NASOM Dalam Memperkasa Komuniti Autisme
Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) baru-baru ini melakar satu detik bersejarah apabila memperkenalkan logo baharu sebagai simbol evolusi organisasi, diikuti perasmian bangunan Pejabat Sekretariat NASOM yang kini beroperasi di Unit B-3- 3, Pacific Place Commercial Centre, Ara Damansara, Petaling Jaya.
Dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, logo baharu ini membawa aspirasi NASOM untuk tampil dengan identiti yang lebih moden, progresif dan seiring perkembangan semasa, mencerminkan tekad berterusan persatuan dalam memperkukuh peranan sebagai peneraju perkhidmatan dan advokasi autisme di Malaysia.
Pengenalan logo ini membawa aspirasi untuk menampilkan identiti yang lebih moden, progresif dan relevan dengan keperluan semasa. Ia melambangkan keazaman NASOM untuk terus memperkukuh peranan sebagai peneraju perkhidmatan dan advokasi autisme, selaras dengan usaha berterusan memperjuangkan hak, peluang dan kualiti hidup individu autisme di Malaysia.
“Logo baharu ini merupakan medium pemerkasaan yang mencerminkan komitmen NASOM untuk terus responsif terhadap aspirasi komuniti autisme dan keluarga mereka. Ia menzahirkan usaha berterusan kami untuk mengambil kira pandangan, harapan serta keperluan ahli dan penyokong, selaras dengan misi NASOM untuk meningkatkan kualiti hidup individu autisme dan memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap golongan ini”, Mohd Nazrul Mohd Amin, Presiden NASOM.
Sejak ditubuhkan pada 3 Mac 1987, NASOM komited menyediakan sokongan sepanjang hayat kepada individu autisme melalui pelbagai program termasuk program intervensi awal, intervensi intensif, terapi cara kerja, latihan vokasional dan pembangunan kemahiran. Hari ini, NASOM mengendalikan 18 pusat di seluruh negara, memberi khidmat kepada lebih 400 pelajar dengan sokongan pasukan seramai 120 kakitangan termasuk guru terlatih.

