VIP & Selebriti Bergaya Raya Di Nona Lebaran 2026, Kiffy Razak Umum ‘Tutup’ Lembaran Karier!

Bahang Aidilfitri masih terasa. Bersempena 1 April 2026 bersamaan 12 Syawal 1447 Hijrah, Nona dengan kerjasama Nafaz Group menganjurkan majlis High Tea Nona Lebaran 2026 XOXO Kiffy Razak yang berlangsung meriah di Malaysian Petroleum Club (MPC), Tingkat 42, Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur.  

Selain beramah mesra dan meraikan tetamu serta organisasi yang pernah berkolaborasi bersama Nona sebelum ini, majlis turut bertujuan menghargai individu yang telah banyak berjasa dan memartabatkan jenama Nona ke tahap lebih tinggi.

Tidak lain dan tidak bukan, insan kreatif dan berbakat besar iaitu Zulkifli Abdul Razak atau lebih mesra disapa Kiffy Razak.  

Kiffy Razak Lebih 2 Dekad Teraju Jenama Nona

Lebih dua dekad mengemudi bahtera Nona, pelbagai kisah suka dan duka diharungi Editor Pengurusan Nona dan Mingguan Wanita ini. Namun demi minat dan kecintaannya terhadap fesyen, gaya hidup dan kisah kejayaan wanita berjaya tanah air membuatkan Kiffy Razak teguh memperjuangkan Nona.

Dari media cetak sehingga transformasi ke dunia digital, anak kelahiran Kedah ini tidak pernah lelah mencurahkan kreativiti untuk memastikan Nona kekal relevan di pasaran.

Dalam ucapan yang sarat emosi dan memori, Kiffy Razak menitipkan jutaan terima kasih kepada tetamu yang menyokong kerjayanya selama ini.  

Antara barisan tetamu yang hadir memeriahkan Nona Lebaran 2026 ialah Puan Sri Tiara Jacquelina, Puan Sri Nisa Bakri, Puan Sri Nooraisha Farizan Abu Bakar, Dato’ Adzliana Hasan, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed, Datin Norjuma Habib, Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff, Ili Zawani, Maria Tunku Sabri, Sharifah Shahora, pereka fesyen Rizman Ruzaini, Syafiqa Melvin, Rozlan Nasir dan ramai lagi.  

Nona Lebaran 2026 merupakan jalinan kerjasama buat julung kalinya dengan Nafaz Group sebuah syarikat korporat dan gaya hidup yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Yasser Abdul Manaf dan Pengarahnya, Aisyah Radhiah Adanan.  

Majlis istimewa ini turut diserikan dengan persembahan fesyen busana elegan Aidilfitri daripada jenama Larney.

Label ini diasaskan oleh Zura Zabidi pada tahun 2015 yang cukup terkenal dalam kalangan penggemar fesyen kerana keunikan dan identiti tersendiri yang mementingkan kualiti, gaya sofistikated, elegan dan selesa kepada pemakai.  

Bukan itu saja, Nona Lebaran 2026 turut dimeriahkan dengan acara Bespoke Floral Arrangement Experience by Shakila Bungaa House yang juga bertindak selaku penaja cenderamata berupa kuntuman bunga-bungaan segar kepada para tetamu yang hadir.  

Acara Bespoke Floral Arrangement ini menampilkan pengasasnya, Shakila Kamal bersama empat personaliti popular iaitu Puan Sri Tiara, Rizman Nordin, Maria Tunku Sabri dan Rozlan Nasir yang berpeluang menonjolkan bakat di samping mempelajari seni gubahan bersama Bungaa House.  

Artikel https://www.nona.my/azrinaz-mazhar-hakim-jemput-rakan-selebriti-beraya-ke-rumah-terpukau-tengok-mahligai-miliknya/

 

Share
Published by
Suzi