Fesyen

“Wanita Berusia Tidak Boleh Berfesyen, Siapa Yang Meletakkan Sekatan Itu?” Kak Zai

Wanita dan fesyen umpama sebuah irama dan lagu yang sukar dipisahkan. Andai dipisahkan juga maka akan rosak sebuah lagu dan pincang iramanya. Ramai wanita yang sering keliru dalam mempersembahkan personaliti diri melalui aturan fesyen dalam diri. Sehinggakan ada di kalangan wanita yang menjadi ‘mangsa fesyen’ yang sering ditertawakan oleh mata yang memandang. Bagaimana situasi ini boleh terjadi.

Wanita perlu sedar bahawa objektif kepuasan fesyen ialah untuk tampil cantik.  Jika seseorang itu mengambil berat tentang keterampilan dirinya, ia mencerminkan harga diri individu itu sangat tinggi. Kepuasan didapati apabila seseorang menerima pujian dari orang sekeliling kerana itu adalah satu kejayaan.

Benar kah wanita boleh mengekspresikan diri melalui fesyen? Berfesyen atau tata gaya seseorang  merupakan suatu bentuk komunikasi non verbal. Adalah mustahak bagi seseorang wanita mempersembahkan tata gaya yang menarik untuk mendapatkan reaksi positif.

 Kita sering dilemparkan dengan kata-kata wanita yang berusia dikatakan tidak boleh berfesyen secara berlebih-lebihan atau mengikuti perkembangan fesyen. Siapa kata? Siapa yang meletakkan sekatan itu? Tidak mengira peringkat umur tetapi setiap individu tidak seharusnya hilang fokus tentang siapakah diri mereka. Jika fokus diri itu hilang, akan hilang kawalan diri, akan hilang juga harga diri dan hilang hormat orang terhadap individu tersebut. Keadaan sekeliling mungkin mempengaruhi seseorang tetapi keputusan untuk meletak atau mengeluarkan sekatan itu adalah di tangan anda.

Sebenarnya langsung tiada terma atau sebarang syarat buat wanita berusia untuk bergaya atau berfesyen. Buat semua wanita tidak kira yang berusia atau yang masih muda sentiasa berusaha untuk sentiasa kelihatan rapi dan cantik. Jadi seorang wanita yang hebat, yang disegani!

Begitu juga dengan wanita yang tidak mempunyai tubuh sempurna, you are responsible for the person that you have created, berbahagialah dengan diri sendiri. Jangan pandang ketidaksempurnaan diri sebagai suatu kekurangan. If you do that, ia akan melemahkan keyakinan diri. Jika setiap wanita mempunyai keyakinan diri yang tinggi, tiada apa yang boleh menyekat mereka daripada mencapai matlamat yang diingini. Walaupun tidak mempunyai bentuk badan umpama seorang model.

Sering juga kita lihat ada wanita yang menyarung dari hujung rambut hingga hujung kaki dengan segala jenama mewah tetapi kelihatan murah dan begitu juga memakai jenama biasa-biasa sahaja tetapi kelihatan outstanding. Kelihatan murah ini terjadi apabila terdapat berbagai jenama dalam satu tata gaya, pada masa yang sama. Setiap jenama itu ‘menjerit’ meminta perhatian daripada orang yang melihatnya.

Analoginya ialah seperti memasuki sebuah pasar raya, apabila setiap penjual menjerit kepada pelanggan untuk melariskan produk jualannya. Juga, bila menggabungkan terlalu banyak jenama, ia akan ‘menenggelamkan’ jiwa dan pesona pemakai kerana mata orang akan tertumpu pada setiap  jenama tersebut bukan kepada pemakainya. Ia juga mencerminkan keyakinan diri yang rendah kerana jelas, pemakai memerlukan jenama tersebut untuk menaikkan keyakinan dirinya.

Jika ditanya saya lebih selesa memilih fesyen yang bagaimana? Pertama sekali, kita mesti relevan dengan apa yang terjadi di sekeliling kita, termasuk lah trend fesyen. Terdapat banyak trend yang diluahkan oleh Pereka Fesyen. Saya pilih, masukkan dan gabungkan trend semasa ini di dalam tata gaya supaya sentiasa kelihatan segar. Antara jenama favourit

e saya ialah Comme Des Garcon.

Jika kita sentuh sikit tentang adab menghadiri pentas peragaan fesyen, jangan kelihatan seperti ingin bersaing dengan model-model di runway. Ada bezanya di antara tata gaya untuk runway, tata gaya editorial dan tata gaya individu. Jangan keliru, kerana hasilnya nanti mungkin memalukan diri sendiri. Sebagai tetamu, bila merancang tata gaya untuk dikenakan, ikhlaslah dengan diri sendiri, niat dan perlaksanaannya.

Akhir sekali, buat semua pembaca setia Nona dalam kita berfesyen, ingat apakah impaknya terhadap alam sekeliling, tentang carbon footprint yang akan kita tinggalkan. Laksanakan tanggung jawab anda di dalam mengurangkan fashion pollution dengan tidak membeli fast fashion. Pilih kualiti daripada kuantiti.

Salam sayang,

Zaihani Mohd Zain @ Kak Zai

 

 

 

IKLAN
Share